Thursday 2 April 2009

Gila-gila dan saya




Malam ni sewaktu Najib sudah berkira-kira untuk melangkah ke Pejabat Perdana Menteri, ketika Nizar sedang ligat di Bukit Gantang saya berehat depan laptop. Ke sana ke sini saya masuk. Jumpa lah satu blog pasal majalah satira no 1 dalam Malaysia. Tak lain dan tak bukan 'Gila-gila'(GG). Saya punya pengalaman yang romantik dengan (GG). Sekitar berumur 5 tahun GG merupakan antara komik yang wajib berada di rumah saya kerana ayah saya antara pelanggan setia komik ini sejak dari usia mudanya juga.




Komik yang berkonsepkan 'Mad' gaya Malaysia ini sering menggeletek jiwa saya dan komik ini tak pernah kekeringan idea dalam menyajikan isu-isu semasa, satira politik dunia dan tanah air dengan gayanya tersendiri. Saya pandai membaca pun kerana GG. Saya sering meminta ibu bacakan GG ketika kecil (kerana belum pandai membaca). Sampai satu masa saya disindir ibu, "Kalau nak baca GG belajar la membaca". Saya pun tidak ingat bilakah saya mula mengenal huruf dan ayat. Namun tak dapat dinafikan GG lah cinta hati saya yang pertama dalam membaca. Malah album pertama GG (Gila-gila Hits) dan album keduanya turut saya beli dengan duti raya yang kami kumpulkan adik-beradik.






Pendekar Jaki dan Jaki Jipang (karya Asan), Sembang-sembang (Nuds), Manjalong (Cik Li), Liza (Zunar), Meor vs Ibrahim (Imuda) tulisan-tulisan Wak Samad (A.Samad Ismail) antara ruangan-ruangan yang saya minati. Kartun-kartun lain lukisan Pak Jab (Rejabhad), Kerengge, Lee Inas, Zainal Buang Hussein, Ambo dan ramai lagi kartunis lain sentiasa mekar dan segar idea mereka dalam berkarya.




GG tidak menghidangkan lawak-lawak bangsat, murah ataupun kering dari idea dan mesej. Sindiran atau pojokan terhadap sesetengah perihal masyarakat Malaysia khasnya dan dunia amnya seringkali menjadikan GG sebuah komik yang utuh berprinsip dan bermaruah. Jiwa tempatannya juga membat kan kita seolah-olah berada di tengah masyarakat sewaktu membaca nya. Karya Amir Astar (Koleksi Shah-Shahwati) turut saya bawa ke bumi Jordan ini buat oleh-oleh merehat otak.




Saya akui, tidak semua anak muda yang boleh menerima GG. Mereka mungkin lebih senang dengan budaya 'Manga' melalui komik-komik dan kartun dari luar. Namun seperti yang saya katakan tadi GG punya identitinya tersendiri dan adunan ciri-ciri tempatan dan global yang ada dalam GG itulah yang menjadi rencah, perasa dan bahan utama dalam GG.


Sesudah mejangkau 31 tahun nyata GG tak lekang dek hujan dan tak lapuk dek panas. Hampir terlupa saya ingin mengucapkan selamat hari ulang tahun pada 1 April yang lalu. Salut Gila-Gila. Salut.

2 comments:

guntur said...

Aku dulu pun peminat Gila-gila. Tapi dah lama tak dapat bekalan. Waktu aku balik Malaysia tahun lepas pun, majalah-majalah yang ada dah dilupuskan.

Ada cerita sikit. Waktu dulu aku memang minat sangat-sangat dengan Mastika.Waktu ia jadi majalah informatif.Tapi lepas dapat sentuhan baru pengarang dia,aku dah hilang minat.Konon-konon nak tarik peminat sebab dah kurang pembeli.Itulah cara dia nak bertahan.

Kalau kat Jordan ni, ada kartun ala-ala Gila-gila jugak.Cuba kau search Abu Mahjoob.

atiqahdahalan said...

masa kecik2 dulu bace la gila-gila... tapi lepas ada ujang, rasa gila-gila dah x best...huhu..

p/s: boleh le pinjam shah shawati...