Bekas Perdana Menteri Tun DR. Mahathir memang sudah sekian lama tidak pernah saya suka. Walaupun ketika pilihanraya 1995 awal pengenalan pertama saya dengan pilihanraya di Malaysia (ketika itu saya darjah 3),ketika itu lah baru bergema dalam benak fikiran saya dan perbualan orang sehari-hari tentang Mahathir, tentang Barisan Nasional, tentang Anwar dan tentang PAS. Saya yang begitu naïf ketika itu nyata tidak punya maklumat dan cerita-cerita di sebalik "Pemimpin-pemimpin Malaysia".
Walaupun saya tidak menyokong pembangkang ketika itu, saya bukanlah kanak-kanak yang di doktrin supaya 'mencintai kerajaan' sejak kecil. Walaupun Almarhum datuk saya (YM Raja Othman B. Raja Jaafar) merupakan bekas ketua bahagian UMNO Sg. Besi dan sepupunya Datuk Harun B Idris (mantan MB Selangor), dan saya selaku cucu yang paling rapat dengan beliau, tidak pernah saya diberitahu dan dihidang kan dengan segala macam keramat dan kesaktian pemimpin-pemimpin UMNO. Malah seingat saya datuk saya juga (yang meninggal pada 2001) bukanlah pengkagum Mahathir Mohamad. Tidak lah saya mengatakan yang beliau membenci Mahathir (saya tidak tahu) namun acap kali Mahathir muncul di kaca televisyen ada sahaja kritikan dari mulut datuk saya.
Pasca 1998 menguraikan segala-galanya pada saya. Semenjak hari itu, memang Mahathir semakin jauh untuk saya katakan sebagai wira, pemimpin, pemikir atau segala macam pe yang lain yang sering kali di surahkan oleh penjilat-pengampu beliau.
Ketika membaca Malaysiakini edisi Bahasa Melayu pagi ini Mahathir seolah-olah menjatuhkan lagi derajatnya sekurang-kurangnya di mata saya. Kelibat beliau yang turun berkempen bagi calon BN P59 Parlimen Bukit Gantang Ismail Saffian dikatakan sebagai pengubat duka lara penyokong UMNO yang kecewa pada PRU 12 yang lepas. Namun seperti kata pepatah sepuluh jong berlalu anjing tetap bercawat Mahathir ialah Mahathir. Malahan dalam kempen itu yang dikatakan disertai oleh 2000 penyokong UBN (TukarTiub lapor 200++ sahaja) Mahathir terus merapu, merepek dan meraban.
Sudah tentu lah yang paling sedap dizikirkannya tentang keburukan bekas timbalannya , Anwar Ibrahim tak lupa juga di selang selikan dengan cercaan ke atas calon Pakatan Rakyat Nizar Jamaluddin. Tanpa was-was soal derhaka di laung-laung kan kembali. Mungkin Mahathir mudah lupa (seperti pepatahnya juga) isu derhaka sepatutunya tak disentuh oleh beliau. Kerana bapa segala derhaka zaman moden ini seharusnya dinobatkan kepada Mahathir Mohamad kerana "jasa beliaulah krisis perlembagaa 1980-an terjadi".
Kalau ingin dibandingkan kes Nizar sembah derhaka Sultan dan Mahathir "menjunjung kasih Sultan" kita akan dapati fakta kes yang sangat-sangat berbeza. Manakan sama yang seorang menderhaka kerana marahkan Sultan lantas imuniti sultan di cabut yang seorang lagi mohon ( bukan paksa) sembah derhaka atas dasar tidak mahu berkonfrontasi dengan pihak istana dan meminta jasa baik Sultan agar keputusan diserah kembali kepada rakyat ketika pihak Istana meminta beliau (Nizar) meletakkan jawatan sebagai MB. Nizar tidak menyebabkan pihak Istana terkesan dengan tindakannya itu. Tidak juga menyebabkan berkurangnya kuasa istana.
Walaupun dari segi undang-undang tidak pernah ada dalam perlembagaan mana-mana negeri hatta Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kita harus membuta tuli menerima apa sahaja titah Istana. Tetapi inilah juga sebenarnya alasan yang digunakan Mahathir ketika krisis Kehakiman (pemecatan Tun Salleh Abbas) suatu ketika dahulu. Beliau ketika itu tiba-tiba pula meyatakan titah Agong tidak boleh dipersoal lantas tribunal yang di bentuk untuk memecat Salleh Abbas penuh dengan noda dan dosa serta dipertikai kan kelayakan hakim-hakim yang menganggotai tribunal tersebut.
Cukuplah Mahathir. Cukuplah. Ketika umur begini gunakanlah ruang waktu yang ada untuk muhasabah, muzakarah dan munajat lah banyak-banyak. Gunakan ilmu yang bersarang di dada ke jalan yang memberi manfaat kepada manusia lain. Bukankah beliau amat bangga dengan PPSMI? Buka satu institut untuk anak-anak luar bandar khasnya yang terkesan dengan polisi ini. Jadikan Malaysia pusat rujukan science and mathematics seantero donia. Bukankah lebih molek.
Mengenai hal beliau yang nampak begitu anti kan Saudara Anwar Ibrahim tidak lah berhajat saya mengulasnya dengan panjang lebar sebab sebenarnya saya cukup tahu orang yang bernama Mahathir Mohamad itu amat-amat rindukan bekas timbalannya itu hahahahahah. Begitu juga dengan senarai ratusan syarikat yang dipengerusikan anak-anak beliau Marina, Mukhriz dan Mokhzani yang tersiar dalam sebuah akhbar pembangkang suatu ketika dahulu kerna terlampau banyak. Tak terdaya saya nak menaipnya. Ini bukan tilikan penulis-penulis politik melainkan hanya idea romantik saya pada Tun Dr Mahahir A/L Mohamad sahaja.
Dengan ledakan teknologi maklumat tanpa sempadan kini seharusnya rakyat perlu lebih cekap dan teliti dalam menerima apa-apa berita dari sesiapa hatta bidadari dari langit sekali pun turun. Bukan lah menadah telinga sahaja dalam menerima apa-apa berita, qaul, hikam atau pun madah tanpa merujuk asalnya dan percaya bulat-bulat.
No comments:
Post a Comment