Thursday 23 April 2009

Aduhai Bahasa Ku......

Masih ramai yang belum makruf dengan masalah PPSMI ini. Rata-rata yang menyokongnya adalah mereka yang terpelajar juga ataupun fanatis Mahathirism. Terasa sedih juga di hati namun saya tidak menyalahkan mereka 100%. Mereka tidak faham sebenarnya. Mungkin juga tak mahu faham.


Siapalah yang tak terasa sedih bila bahasa sendiri dihenyak-henyak. Bagai malukut di tepi gantang. Kera di hutan di susukan, anak sendiri di rumah mati kelaparan.


Di harap Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dapat memperluaskan lagi jaringan demi memberi kefahaman kepada rakyat Malaysia di dalam khasnya dan luar negara amnya. Saya akan menyentuh lagi bab ini sedikit masa lagi.

Tuesday 21 April 2009

Mencari sesuap nasi buat anak ku- Bahagian Satu


Malam itu umpama malam-malam yang lalu bagi Mona. Sesudah mengenakan serbuk putih dalam tin bercap nyonya dan gincu merah menyala ke bibir gebunya, baju miskin kain yang di beli di gedung di tengah ibu kota dengan harga RM10 di pakai dengan cermat. Sehelai demi sehelai di sarung ke tubuh molek itu. Dibetul-betulkan pakaiannya itu. Baju yang sememangnya miskin kain itu dipadan kan benar-benar. Bengkak di dada terdedah sedikit lurahnya, niat sahaja mahu menyatakan tarikan tanpa kata-kata. Di belek-belek seolah mencari cacat tercalit di keliling badan. Hemmm...tubuhnya yang lebih sedikit suku abad ini masih utuh dan pejal umpama dara pingitan. Dia sedar ramai yang masih menjeling tanda laku. Ramai juga yang kurang senang hati dengan kelibatnya mecari “rezeki” di situ. Sesudah merasa puas mencari tiada cacat dia menolak daun pintu rumah atau lebih tepat biliknya dengan cermat seusai memetik suis lampu. Tempat berteduhnya itu yang dikongsi bersama seorang anak kecil. Di jeling-jeling sekitar beranda bangunan using di tengah kota yang hampir 5 tahun dihuninya sejak Jalal Akram yang bedebah itu menggantungnya tak bertali.



“Syafiq, Syafiq” panggil Mona separuh teriak sambil mencari-cari permata hati, racun dan penawar jiwanya itu. Mungkin di bawah bermain-main bersama teman-teman sebaya dan senasib dengannya di kaki lima bangunan tua di tengah kota itu. Benar telahan Mona. Capal Jepun anak tunggalnya itu tiada di depan pintu rumah tanda dia sudah turun ke bawah seperti selalu. Sebelum keluar dari bilik tadi dia sempat membelek buku-buku kerja anaknya. Semua sudah disuruh agar dibereskan siang-siang lagi. Dia tak mahu anaknya menangguh-nangguh kerja hari ini. Mona menuruni anak-anak tangga yang kaya dengan daki dengan cermat. Dari tingkat dua robok buruknya kedengaran Lorong Haji Muluk sudah hingar-bingar dengan pelbagai suara manusia dan kenderaan. Pelbagai tujuan orang ramai berkerumun ke lorong kurang terang itu. Ada yang singgah di gerai lusuh di hujung lorong. Ada yang mencari makanan mengisi perut yang kosong sesudah penat pulang dari kerja. Ada juga yang mencari-cari insan seperti Mona kerana batin mereka lapar minta diisi. Terdengar juga suara-suara manusia yang kenyang dengan beer dan stout menyumbangkan beberapa buah lagu dalam bahasa Tiong Hua dari atas deret-deret bangunan yang sebaya dengan bangunan tempat tinggal Mona.



Beginilah keadaan malam minggu di Lorong Haji Muluk. Kelam dan serba kabut. Bagai ada buntil-buntil emas di celah-celah lorong penuh daki ini membuat manusia tak pupus mendatanginya saban malam lebih-lebih lagi di hujung minggu. Mona masih lagi belum nampak Syafiq. Selalu ada di tepi gerai Wak Dal yang menjual kretek kapal cap Gudang Gula bermain dengan Daniel dan Syafinaz. Seingat Mona anaknya itu belum makan apa-apa selain sandwich dan air sejuk kosong yang di sediakan sebelum masuk waktu Maghrib tadi. Ada juga di berikan duit belanja supaya Syafiq makan di kantin sekolah waktu rehat tak mahu dia berlapar ketika di sekolah. Namun tiba malam dia pasti lapar kembali kalaupun masih ada sisa sandwich yang dimakannya petang tadi. Mona tahu hal makan minum dia dan anaknya tak tersusun tak seperti anak-anak yang lain. Pagi, sudah sedia nasik lemak dan kuih dua jenis di atas meja. Tengah hari sudah ada nasi putih, ayam goreng atau masak merah serta sayur campur. Sirap limau dan jus oren menjadi minuman hari-hari. Petang pisang goreng, teh panas atau bubur kacang menjadi pemanis mulut. Begitu juga malam dan sebelum tidur ada sahaja makan tak pernah jumpa lapar. Namun Mona dan Syafiq hanya boleh mengangan-angankan sahaja segala macam kemewahan itu. Apa yang ada itulah dimakan. Apa yang ada itulah dipakai.



Jam sudah pukul 10.30 malam ketika Syafiq memanggil Mona. “Mama,mama Wak Dal bagi keropok lekor. Daniel ngan Syafinaz pun dapat. Sedap mama”. “Syafiq cakap terima kasih tak kat Wak?” Tanya Mona.”Cakap mama”, balas Syafiq. “Ha macam nilah anak mama. Nanti malam lepas mama habis kerja kita makan sama ye sayang. Nanti mama suap Syafiq ye. Syafiq main-main dulu tau tapi jangan jauh-jauh tau. Ha lagi satu jangan ikut orang tak kenal tau. Ye Syafiq. Meh mama sayang sikit ”, satu ciuman penuh mesra Mona kenakan ke ubun-ubun anaknya itu. Di lepaskan anaknya itu bermain-main semula dengan teman-temannya sambil dia memulakan kerja.....Bersambung


Nama Allah dan agama samawi yang lain-Bahagian Satu

Allah Kristian gempar lagi. Perkara yang dijuangkan golongan Katholik di Malaysia kembali panas. Herald, buletin berkala yang diterbitkan oleh Sidang Injil Borneo kini ditarik balik kebenaran menggunakan nama Allah. Bekas Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar mengakui ada kesilapan dalam perintah yang dikeluarkan sebelum ini yang menyatakan sebarang terbitan yang ingin menggunakan nama Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat harus meletakkan label hanya untuk orang Kristian sahaja. Sedangkan penggunaan nama Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat adalah dilarang sama sekali bagi orang bukan Islam.


Secara zahirnya pastilah perkara ini jika dibenarkan akan mencetuskan kekeliruan yang maha dahsyat terhadap umat Malaysia amnya dan Muslim khasnya. Ketika Forum Memeluk Islam anjuran Bar Council yang di jalan kan tempoh hari pun berlaku kejadian yang tak diingini. Mungkin forum itu yang dijalankan tanpa di rancang dan dibincangkan dengan lebih banyak pihak menyebabkan timbul salah faham dan kekecohan. Ada juga yang menangguk di air keruh dan memarahkan lagi keadaan. Justeru semua pihak termasuk Ulama Islam, Paderi-paderi, pakar bahasa, penasihat undang-undang harusnya duduk semeja berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang ampuh supaya segala permasalahan dapat dirungkai.


Saya secara peribadi mengambil jalan tengah dalam penggunaan nama Allah dan beberapa istilah lain yang digunapakai oleh agama selain Islam .


Yah, Allah bukan milik mutlak orang Islam. Allah adalah Pemilik jagatraya ini dan Penguasa apa sahaja yang terkandung didalam alam ini. Inilah intipati yang tekandung di dalam ayat pertama dalam Alquran iaitu Bismillahirrahmanirrahim (Alfatihah 1:1) Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Pemurah Allah adalah bersifat menyeluruh meliputi seluruh manusia ,Islam dan bukan Islam, pokok kayu, gunung ganang serta segala macam haiwan. Jadi tidak boleh lah kita menyatakan Allah ini milik orang Islam sahaja. Allah itu Rabb alam ini. Penjaga, Pemilik mutlak.


Di zaman jahiliah dulu juga jika ditanyakan kepada kaum kafir Quraisy siapa yang menciptakan langit dan bumi nescaya mereka akan berkata Allah. Allah itu adalah faham asas manusia tentang pemilik alam ini.Kemudian jika disemak penggunaan nama Allah dalam Injil dalam Bahasa Arab pasti akan bertambah pening mereka yang menentang Herald ini, kerana perkataan Allah sememangnya ada dalam kitab berkenaaan sedari dulu lagi. Tidak pernah menjadi polemik dalam masyarakat Arab sehingga kini pun.


Nama penunjuk jalan kepada Nabi Muhammad dan Saidana Abu Bakar dalam peristiwa hijrah pun Abdullah B Arqat dan dia seorang bukan Islam. Nabi tidak pernah membenci atau menyuruh beliau atau mana-mana kaum Quraisy yang bukan beragama Islam yang lain yang mengguna kan nama yang mengandungi Allah menukar nama mereka. Orang-orang Arab sebelum hijrah juga bersumpah dengan nama Allah (Wallahi-Demi Allah). Ketika umat Islam di boikot di Mekah,kaum Quraisy telah membuat satu surat perjanjian agar tidak beurus niaga,berkahwin dan bergaul dengan orang Islam. Kepala surat itu di mulakan dengan nama Allah. Nama Allah sudah di gunakan oleh orang bukan Islam dan tidak pernah sekali pun Nabi Muhammad melarang perkara tersebut. Buhaira seorang penganut agama Nasrani ketika melihat Nabi di bawa Abu Tholib beliau berkata “Bawa lah anak saudara mu ini pulang dan pelihara lah dia dari orang-orang Yahudi.Demi Allah,mereka akan berbuat sesuatu yang buruk ke atasnya jika mereka terlihat anak ini”-Fiqh Sirah,Dr.Mohamad Said Ramadhan Al-Buthi.


Namun perlu di jelas kan juga. Saya tidak lah seratus peratus akan membuta tuli setuju dengan mana-mana pihak yang mungkin ada agenda terselindung.


Tidak boleh di nafikan faktor jumlah Melayu Islam yang murtad dan mereka yang baru memeluk Islam kembali semula ke agama asal mereka perlu di ambil kira. Tambahan pula faham agama yang cetek umat umat Islam memparahkan lagi tuntutan kontrovesi ini. Dari sudut perundangan jelas Perkara 4(1) perlembagaan persekutuan menyatakan kerajaan boleh membuat undang-undang yang mengawal tindakan penganut agama lain menyebarkan ajaran mereka kepada umat Islam. Namun sejauh mana undang-undang ini terpakai masih menjadi persoalan yang amat besar.


Sekiranya di benarkan pengunaan perkataan-perkataan yang disebut tadi oleh orang bukan Islam secara mutlak, boleh kah mereka menjamin jumlah mereka yang murtad tidak akan bertambah. Mereka tidak boleh lepas tangan. Keadaan umat Islam sekarang umpama kanak-kanak. Walaupun televisyen itu ada faedah, bolehkah kita biarkan kanak-kanak ini menonton televisyen 24 jam sehari 7hari seminggu. Adakah mereka akan mendekati orang Islam dan menyebarkan ajaran mereka. Adakah mereka boleh menjamin tidak akan berlaku apa-apa konflik di masa hadapan berhubung hubungan antara agama di Malaysia. Tidak boleh masyarakat Kristian secara mendadak menimbulkan isu ini kalau benar niat mereka ikhlas. Mereka juga harus faham dengan keadaan Malaysia yang penuh dengan "loop holes" ini dan sebetulnya tidak mengambil kesempatan atas pengaruh beberapa tokoh yang di anggap liberal oleh sesetengah pihak.


Ajaran Islam amat-amat fleksibel dan menuntut penganutnya berlapang dada dan membawa keamanan. Pintu perbincangan dan dialog sentiasa terbuka. Sekiranya mereka ingin juga betul-betul menuntut kebenaran menggunakan nama Allah (walaupun Bible Bahasa Inggeris tidak pernah pun menggunakan nama tersebut) mereka juga harus bertanggungjawab terhadap tindakan mereka itu dan kata putus mesti berasaskan hujah, kepentingan awam dan keharmonian hubungan dua Agama ini. Ketika Portugis, Belanda dan Inggeris menjajah tanah Melayu, soal nama Allah tak pernah pun timbul. Namun Kristian tetap juga bertapak di Tanah Melayu. Adakah ketika itu Allah belum ada? Saya mengaku umat Islam ada yang tidak berhujah berasalkan ilmu dan melakukan perkara yang disangka dibenarkan oleh syara’. Namun suka juga diingatkan penganut agama lain juga tidak terlepas daripada masalah ini.


Kita perlu menerima hakikat bahawa terdapat ramai penganut Islam dan Kristian yang masih lemah iman mereka dan melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam agama masing-masing. Namun ini bukan masa menunding jari atau berkonfrontasi. Tetapi langkah lebih proaktif perlu diambil seperti peranan dialog antara agama perlu disuburkan dalam membentuk satu masyarakat yang berTuhan.


Dialog antara agama ini bukan medan menunjukkan kehebatan agama masing-masing. Itu bukan matlamatnya. Tetapi seharusnya masyarakat Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Konfusi, Tao dan sebagainya harus duduk semeja berbincang isu-isu semasa yang melanda umat ini seperti kemiskinan, pendidikan, kezaliman,keganasan rumah tangga dan seribu macam lagi bentuk isu-isu sejagat bersifat universal. Hal-hal cabang seperti ini bukan untuk dilagakan dan diperjudikan. Agama seharusnya di jadikan satu medium membawa rahmat ketengah masyarakat bukan sebagai punca perpecahan dan permusuhan.


Sejarah telah membuktikan Islam dan Kristian malah Yahudi sendiri pernah hidup rukun dan damai seperti di Kota Baitul Maqdis sebelum tangan-tangan kejam Zionis meranapkan dan memusnahkan kerukunan ini. Sudah tiba masanya kita hentikan apa jua konflik kemanusiaan yang timbul dek kerana kita menjual ayat-ayat Tuhan dengan harga yang murah semata-mata ingin mencari keuntungan dan kesenangan dunia yang sedikit dan kecil jika di bandingkan dengan Syurga Tuhan yang luas.



Saturday 11 April 2009

Dimana silapnya?




Entri saya kali ini adalah komen saya terhadap satu entri saudara Zulkifli Nordin , ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu. Secara kasarnya entri itu adalah respon kepada segelintir masyarakat yang sebenarnya mencalit arang di muka Islam. Walaupun arang yang dicalit bersungguh-sungguh itu disangkanya mascara Maybelline yang di gayakan artis cantik jelita Fasha Sanda. Dalam mereka menyangka merekalah pembela agama, bangsa dan negara namu sebenarnya merekalah perosak segala-galanya. Bagai gunting dalam lipatan, bagai api dalam sekam. Tulisan saya ini jauh sekali untuk membela atau mencela namun bagi saya yang benar itu benar. Lets call a spade a spade.


Ya memang benar terdapat kesalahan yang saya yakin bukan lah disengajakan pun dalam bacaan Saudara Nga Kor Meng ADUN Pantai Remis & MP Taiping itu. Tugas kita selaku Muslim bukan menghina beliau dan memberikan tuduhan yang tak diterima dek akal. Betulkan kesalahannya itu. Mudah-mudahan tebuka hatinya untuk Islam. Saya juga ingin merespon kepada komen pelawat Saudara Zulkifli Nordin yang menyatakan ketika saidina Umar ingin membaca Alquran yang didengarnya yang dibaca oleh adiknya Fatimah, Fatimah menyuruhnya mandi (untuk bacaan lanjut sila klik sini)


Sila rujuk balik mana-mana kitab sirah karangan ulama’-ulama’ mu’tabar sebagai contoh Fiqh Sirah karangan Syeikh Dr. Mohamad Said Al-Buthy. Namun kali ini saya ingin membawa autoriti dari Kitab Muhadharat Fi At-Tarikh Al-Islami muka surat 32 dan 33 karangan Dr.Amin Qudhah dan Dr.Muhammad Annuraimah pensyarah di Universiti of Jordan, Amman Jordan. Ya memang betul Saidina Umar di suruh mandi.Kerana waktu itu Umar ingin memegang mashaf yang sedang di baca Fatimah dan suaminya.Mungkin juga Fatimah meinta beliau mandi supaya reda sedikit kemarahannya. YB Nga bukan lah memegang Al-quran pun.Dia buat teks ucapan.Seperkara lagi walaupun Umar dah mandi dia masih belum Islam ketika itu.Selepas membaca lembaran Alquran itu beliau pergi berjumpa Nabi di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam baru beliau masuk Islam.


Jelas lah disini orang bukan Islam tidak pernah dilarang membaca atau mendengar Al-Quran. Kerana keterbukaan Islamlah memperdengarkan bacaan Al-Quran dan seterusnya membenarkan Umar membaca mashaf tersebut menjadi wasilah Umar memeluk Islam. Sepatutnya kita sebagai Muslim dan khususnya Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian agama dan bangsa, galakkan lagi orang bukan Islam baca Al-Quran. Daripada kita belikan bunga, kek atau jam sempena hari jadi misalnya apa kata cuba pula hadiahkan senaskhah Al-Quran beserta terjemahannya kepada teman-teman bukan Islam kita. Tunjukkan Islam ini benar-benar terbuka mudah didekati dan mesra.

Thursday 9 April 2009

Buat Nami dan teman-teman yang lain.....

Buat Nami dan teman-teman yang lain.....

Semalam bertemu teman-teman baru


Bukan temu haqiqi tapi maknawi juga adanya

Melontar pandangan ini dan itu

Bergadoh tidak bertukar-tukar pandangan hendaknya



Hidup ini terlalu singkat

dan tiada masa untuk kita bergaduh dan berperang teman-teman ku

Aku selalu merasakan ianya suatu jenayah

jadi aku minta kepada mu teman-teman ku



Kata sang pemimpi dalam bait-bait lagunya



Moga kita terus berkawan wahai mereka yang baru semalam kita bersua.......

Tuesday 7 April 2009

Tahniah Nizar Jamaluddin

PAS ; 21860
BN : 19071
BEBAS : 62
MAJORITI : 2789

TAHNIAH YB HJ NIZAR DAN SELURUH PENYOKONG DAN PENDOKONG PAKATAN RAKYAT MALAYSIA.

Berita Terkini.....

S Manikumar baru sekejap, jam 10: 45 mini malam diumumkan sebagai pemenang di DUN Bukit Selambat. Beliau menang dengan majoriti 2,403. DI BUKIT Selambau hujan masih turun. Keputusan pilihan raya DUN Bukit Selambau masih belum diumumkan lagi. Mengapa? Apakah ada sesuatu yang misteri berlaku di sana?

Kira-kira ham 9:00 tadi dua orang lelaki telah ditangkap dan diserahkan kepada polis kerana dikatakan membawa tong yang mengandungi kertas undi palsu. Sehingga ini belum dapat dipastikan apakah status dua lelaki berkenaan.

Sementara itu pelapor dari Bukti Selambau memberi tahu PKR dikatakan menang dengan majoriti 2,375 undi. Apa bila ditanya apakah keputusan sengaja dilewatkan, pelapor itu tidak menafikan dan ada tanda-tanda ke arah itu. _ msomelayu

Monday 6 April 2009

Dari celah dua bukit dan satu batang........






Dari celah dua bukit dan satu batang

Akan terpancut kemanisan dan ketenangan

Bagi yang hak akan tenang setenang-tenangnya

Bagi yang batil akan kalut gundah gulana


Apabila telah datang yang hak akan hancur lah kebatilan

Namun jika terpacul kebatilan maka ranaplah yang kebenaran


Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai

Semoga kami dapat melihat sinar kebenaran muncul

Dari celah dua bukit dan satu batang

SALUT NIZAR, SALUT MANIKUMAR, SALUT JAWAH GERANG