Tuesday, 21 April 2009

Nama Allah dan agama samawi yang lain-Bahagian Satu

Allah Kristian gempar lagi. Perkara yang dijuangkan golongan Katholik di Malaysia kembali panas. Herald, buletin berkala yang diterbitkan oleh Sidang Injil Borneo kini ditarik balik kebenaran menggunakan nama Allah. Bekas Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar mengakui ada kesilapan dalam perintah yang dikeluarkan sebelum ini yang menyatakan sebarang terbitan yang ingin menggunakan nama Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat harus meletakkan label hanya untuk orang Kristian sahaja. Sedangkan penggunaan nama Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat adalah dilarang sama sekali bagi orang bukan Islam.


Secara zahirnya pastilah perkara ini jika dibenarkan akan mencetuskan kekeliruan yang maha dahsyat terhadap umat Malaysia amnya dan Muslim khasnya. Ketika Forum Memeluk Islam anjuran Bar Council yang di jalan kan tempoh hari pun berlaku kejadian yang tak diingini. Mungkin forum itu yang dijalankan tanpa di rancang dan dibincangkan dengan lebih banyak pihak menyebabkan timbul salah faham dan kekecohan. Ada juga yang menangguk di air keruh dan memarahkan lagi keadaan. Justeru semua pihak termasuk Ulama Islam, Paderi-paderi, pakar bahasa, penasihat undang-undang harusnya duduk semeja berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang ampuh supaya segala permasalahan dapat dirungkai.


Saya secara peribadi mengambil jalan tengah dalam penggunaan nama Allah dan beberapa istilah lain yang digunapakai oleh agama selain Islam .


Yah, Allah bukan milik mutlak orang Islam. Allah adalah Pemilik jagatraya ini dan Penguasa apa sahaja yang terkandung didalam alam ini. Inilah intipati yang tekandung di dalam ayat pertama dalam Alquran iaitu Bismillahirrahmanirrahim (Alfatihah 1:1) Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Pemurah Allah adalah bersifat menyeluruh meliputi seluruh manusia ,Islam dan bukan Islam, pokok kayu, gunung ganang serta segala macam haiwan. Jadi tidak boleh lah kita menyatakan Allah ini milik orang Islam sahaja. Allah itu Rabb alam ini. Penjaga, Pemilik mutlak.


Di zaman jahiliah dulu juga jika ditanyakan kepada kaum kafir Quraisy siapa yang menciptakan langit dan bumi nescaya mereka akan berkata Allah. Allah itu adalah faham asas manusia tentang pemilik alam ini.Kemudian jika disemak penggunaan nama Allah dalam Injil dalam Bahasa Arab pasti akan bertambah pening mereka yang menentang Herald ini, kerana perkataan Allah sememangnya ada dalam kitab berkenaaan sedari dulu lagi. Tidak pernah menjadi polemik dalam masyarakat Arab sehingga kini pun.


Nama penunjuk jalan kepada Nabi Muhammad dan Saidana Abu Bakar dalam peristiwa hijrah pun Abdullah B Arqat dan dia seorang bukan Islam. Nabi tidak pernah membenci atau menyuruh beliau atau mana-mana kaum Quraisy yang bukan beragama Islam yang lain yang mengguna kan nama yang mengandungi Allah menukar nama mereka. Orang-orang Arab sebelum hijrah juga bersumpah dengan nama Allah (Wallahi-Demi Allah). Ketika umat Islam di boikot di Mekah,kaum Quraisy telah membuat satu surat perjanjian agar tidak beurus niaga,berkahwin dan bergaul dengan orang Islam. Kepala surat itu di mulakan dengan nama Allah. Nama Allah sudah di gunakan oleh orang bukan Islam dan tidak pernah sekali pun Nabi Muhammad melarang perkara tersebut. Buhaira seorang penganut agama Nasrani ketika melihat Nabi di bawa Abu Tholib beliau berkata “Bawa lah anak saudara mu ini pulang dan pelihara lah dia dari orang-orang Yahudi.Demi Allah,mereka akan berbuat sesuatu yang buruk ke atasnya jika mereka terlihat anak ini”-Fiqh Sirah,Dr.Mohamad Said Ramadhan Al-Buthi.


Namun perlu di jelas kan juga. Saya tidak lah seratus peratus akan membuta tuli setuju dengan mana-mana pihak yang mungkin ada agenda terselindung.


Tidak boleh di nafikan faktor jumlah Melayu Islam yang murtad dan mereka yang baru memeluk Islam kembali semula ke agama asal mereka perlu di ambil kira. Tambahan pula faham agama yang cetek umat umat Islam memparahkan lagi tuntutan kontrovesi ini. Dari sudut perundangan jelas Perkara 4(1) perlembagaan persekutuan menyatakan kerajaan boleh membuat undang-undang yang mengawal tindakan penganut agama lain menyebarkan ajaran mereka kepada umat Islam. Namun sejauh mana undang-undang ini terpakai masih menjadi persoalan yang amat besar.


Sekiranya di benarkan pengunaan perkataan-perkataan yang disebut tadi oleh orang bukan Islam secara mutlak, boleh kah mereka menjamin jumlah mereka yang murtad tidak akan bertambah. Mereka tidak boleh lepas tangan. Keadaan umat Islam sekarang umpama kanak-kanak. Walaupun televisyen itu ada faedah, bolehkah kita biarkan kanak-kanak ini menonton televisyen 24 jam sehari 7hari seminggu. Adakah mereka akan mendekati orang Islam dan menyebarkan ajaran mereka. Adakah mereka boleh menjamin tidak akan berlaku apa-apa konflik di masa hadapan berhubung hubungan antara agama di Malaysia. Tidak boleh masyarakat Kristian secara mendadak menimbulkan isu ini kalau benar niat mereka ikhlas. Mereka juga harus faham dengan keadaan Malaysia yang penuh dengan "loop holes" ini dan sebetulnya tidak mengambil kesempatan atas pengaruh beberapa tokoh yang di anggap liberal oleh sesetengah pihak.


Ajaran Islam amat-amat fleksibel dan menuntut penganutnya berlapang dada dan membawa keamanan. Pintu perbincangan dan dialog sentiasa terbuka. Sekiranya mereka ingin juga betul-betul menuntut kebenaran menggunakan nama Allah (walaupun Bible Bahasa Inggeris tidak pernah pun menggunakan nama tersebut) mereka juga harus bertanggungjawab terhadap tindakan mereka itu dan kata putus mesti berasaskan hujah, kepentingan awam dan keharmonian hubungan dua Agama ini. Ketika Portugis, Belanda dan Inggeris menjajah tanah Melayu, soal nama Allah tak pernah pun timbul. Namun Kristian tetap juga bertapak di Tanah Melayu. Adakah ketika itu Allah belum ada? Saya mengaku umat Islam ada yang tidak berhujah berasalkan ilmu dan melakukan perkara yang disangka dibenarkan oleh syara’. Namun suka juga diingatkan penganut agama lain juga tidak terlepas daripada masalah ini.


Kita perlu menerima hakikat bahawa terdapat ramai penganut Islam dan Kristian yang masih lemah iman mereka dan melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam agama masing-masing. Namun ini bukan masa menunding jari atau berkonfrontasi. Tetapi langkah lebih proaktif perlu diambil seperti peranan dialog antara agama perlu disuburkan dalam membentuk satu masyarakat yang berTuhan.


Dialog antara agama ini bukan medan menunjukkan kehebatan agama masing-masing. Itu bukan matlamatnya. Tetapi seharusnya masyarakat Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Konfusi, Tao dan sebagainya harus duduk semeja berbincang isu-isu semasa yang melanda umat ini seperti kemiskinan, pendidikan, kezaliman,keganasan rumah tangga dan seribu macam lagi bentuk isu-isu sejagat bersifat universal. Hal-hal cabang seperti ini bukan untuk dilagakan dan diperjudikan. Agama seharusnya di jadikan satu medium membawa rahmat ketengah masyarakat bukan sebagai punca perpecahan dan permusuhan.


Sejarah telah membuktikan Islam dan Kristian malah Yahudi sendiri pernah hidup rukun dan damai seperti di Kota Baitul Maqdis sebelum tangan-tangan kejam Zionis meranapkan dan memusnahkan kerukunan ini. Sudah tiba masanya kita hentikan apa jua konflik kemanusiaan yang timbul dek kerana kita menjual ayat-ayat Tuhan dengan harga yang murah semata-mata ingin mencari keuntungan dan kesenangan dunia yang sedikit dan kecil jika di bandingkan dengan Syurga Tuhan yang luas.



No comments: