Abdul Ghafur sudah kepenatan. Isi Gold Coastnya sudah semakin kering. Namun dia masih tidak dapat mengembangkan isi karangannya. Dia buntu. Dia runsing. Mahu juga rasanya dia membenamkan kepalanya dalam air sungai yang dingin umpama Socrates mendidik anak muridnya. Dia cuba mengorek-ngorek lambakan pelabagai jenis risalah, novel,antologi cerpen mahupun nota-nota kuliahnya kalau-kalau ada idea yang terpacul. “Aaaaaaaaaaaaaaaargh!”,tidak semena-mena dia menjerit lagak seorang suami yang baru mendapat berita tentang kematian isterinya ketika bersalin. Walaupun Abdul Ghafur belum berkahwin dan dia tidak pernah melihat ayahnya sendiri menjerit serupa itu, tapi drama-drama tv berjaya mendidik hatinya untuk menjadi seorang yang dramatik.
Abdul Ghafur sudah bosan akibat terlalu lama duduk mengadap laptop. Dia ingin keluar merayau mengambil angin malam. Dikenakan sehelai baju sejuk berwarna hitam, hadiah daripada adiknya Cemong dan berseluar cargo yang sudah dikerat paras lutut. Kunci motokar dicapai dari atas meja. Diluar langit kelihatan gelap ketika Abdul Ghafur mendongak ke atas. Tidak ada sebutir bintang mahupun najisnya. Malam juga mungkin bosan umpama bosannya Abdul Ghafur. Enjin motokar dihidupkan dan menggigil sebentar. Memang motokar ini akan sedikit menggigil tiap kali dihidupkan. Sudah lama motokar ini menemani Abdul Ghafur. Dia memasukkan gear untuk mengundur. Daun-daun kering dan ranting-ranting reput dari pohon mempelam telur jirannya berbunyi-bunyi apabila dilenyek tayar motokar Abdul Gahfur sewaktu mengundur. Motokar itu terus berjalan membelah embun jantan yang sudah mulai turun saat itu. Abdul Ghafur masih belum tahu ke mana arah tujunya.
Jam sudah menunjukkan jam satu pagi ketika Abdul Ghafur berhenti di lampu isyarat. Dia kini berada betul-betul dibawah stesen Monorel Chow Kit di jalan Tuanku Abdul Rahman. Kenderaan lain masih belum mengurang. Berada sebaris dengan motokar Abdul Ghafur adalah sebuah motokar besar. Pemandunya seorang Cina berpakaian kemas. Mungkin orang-orang besar baru pulang dari mesyuarat penting membincangkan kondominium baru yang bakal dibina di atas tapak Kampung Chubadak. Mungkin bersama-sama dengan orang Cina kaya ini seorang ahli partai politik Melayu yang juga bersekongkol merembat salah sebuah tanah kampung tradisi yang masih lagi wujud di kota raya serba kelam kabut ini. Dia terfikir berapa agaknya habuan ahli politik partai Melayu itu akan dapat jika projek kondominium itu berjaya dilaksanakan. Entahlah. Itu telahan Abdul Ghafur sahaja.
Ketika mengenangkan Kampung Chubadak, lampu isyarat bertukar hijau. Terkejut juga Abdul Ghafur kerana di hon oleh kenderaan di belakangnya kerana lambat bergerak. Gear ditolak lembut bagai menolak tangan lembut seorang kekasih . Jalan TAR masih lagi belum betul-betul lengang. Kelihatan di sana sini masih ramai lagi penjaja meneruskan perniagaan terutama berhampiran Menara Safwan. Lorong Haji Taib juga masih cerah. Di pinggir laluan penjalan kaki, terdapat dua kumpulan manusia sedang bermain catur. Berkerut-kerut dahi seorang pemuda yang memakai topi pink panther, salah seorang pemain catur berkenaan. Rambutnya yang kerinting panjang dibiar tidak diikat. Jambangnya panjang tumbuh meliar bagai tidak dicukur sebulan. Lawannya seorang pemuda juga tapi hanya bersinglet dan botak kepalanya hanya tersengih. Muka ada chance untuk beliau check mate kali ini.
Ingin sahaja Abdul Ghafur berhenti ikut turut sama memerhatikan kumpulan berkenaan. Tapi dia tidak ada nafsu untuk catur. Diteruskan lagi perjalannya melalui Jalan TAR. Seorang kupu-kupu malam yang separuh jantan melambai-lambaikan tangan sebaik kenderaan Abdul Ghafur melintasi One Café. Abdul Ghafur melambai-lambai kembali tanda muhibbah. Bukankah negara ini terkenal dengan semangat itu. Toleransi dan berbudi bahasa adalah budaya kita. Tidak salah kalau dia juga ingin berbaik-berbaik dengan maknyah-maknyah berkenaan. Mungkin satu hari mahu juga dia singgah dan mengajak mereka minum teh tarik dan pekena kerang bakar di warung-warung sebelah Bank Muamalat. Mungkin. Tapi tidak malam ini. Dia tidak bernafsu dengan kerang bakar. Kenderaannya terus bergerak.
Abdul Ghafur membelok ke kiri, memasuki Jalan Sultan Ismail. Di simpang jalan berkenaan ada suatu gerai makan. Seorang pelanggan sedang berkaraoke lagu Cinta Kain Putih dendangan kumpulan Putra. Di bawah pokok besar di hujung gerai berkenaan, Abdul Ghafur terlihat sebuah motorsikal Yamaha Vulcan 1600cc. Dia sudah lama kepingin dengan motorsikal berkenaan. Dia sering bermimpi membawa motorsikal berkenaan bersiar-siar waktu malam. Dan mimpi bersiar-siar waktu malam dengan easy rider akan bertambah indah jika Cahaya, bekas tunangnya duduk dibelakang memeluk erat. Alangkah indahnya. Abdul Ghafur hanya boleh bermimpi. Tidak lebih daripada itu. Kenderaan terus meluncur. Sesekali kedapatan mat-mat rempit mencilok-cilok di antara kenderaan lain. Bunyit bingit enjin motosikal seolah-olah muzik yang berdendang menghibur seisi kota.
Tiba di satu lagi persimpangan, Abdul Ghafur membelok sekali lagi ke kiri memasuki Jalan P.Ramlee. Dia sudah tiba ke salah satu daripada syurga- syurga dunia. Sepanjang jalan ini memang penuh dengan deretan kelab-kelab malam dan bar. Ada yang datang ingin bersenang-senang. Ada yang datang mencari teman. Tidak kurang ramai juga yang datang mencari mangsa. Telinga Abdul Ghafur segera menangkap lagu Sandstorm hasil adunan DJ Darude. Kakinya turut bergerak-gerak mengikut beat lagu berkenaan. Ditepi-tepi jalan tidak putus-putus manusia dari segenap lapisan umur berdedai-dedai memilih tempat persinggahan. Seorang wanita jalan terhoyong-hayang keluar dari sebuah kelab. Wanita berkenaan di papah pula orang seorang lelaki asing bekulit putih apabila kakinya terkehel kerana tersalah langkah. Dia muntah-muntah pula di situ. Mungkin terlebih minum Jack Daniel dan Smirnoff. Paling tidak pun sudah melantak sejag Heineken dan Carlsberg. Siapa pun akan mabuk dan muntah-muntah kalau minum sebanyak itu.
Abdul Ghafur kini menghampiri Jalan Ampang. Kalau dia kekiri, dia dia akan melintasi De Zouk dan Saloma Bistro kemudian bertemu semula dengan jalan Sultan Ismail. Kalau dia ke kanan di akan melalui KLCC dan boleh tembus ke MRR2. Ketika sedang berkira-kira itu, Abdul Ghafur teringat, dia sudah lama tidak bertemu Mona, seorang kupu-kupu malam yang pernah dia temuramah dulu untuk kerja kursus kajian sosialnya. Kalau-kalau dia boleh kembali ke Lorong Haji Taib dan bertemu Mona sekali lagi mungkin juga bagus. Mungkin ada cerita baru yang boleh dikongsi menjadi buah tangan untuk tulisannya nanti. Ketika tiba di kawasan Eon Bank, Abdul Ghafur mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya dan terus mendail nombor telefon bimbit Mona.
“Assalamualaikum Mona. Ingat tak lagi?. Ni Abdul Ghafur cakap ni”, Abdul Ghafur memulakan bicara.
“Waalaikumussalam. Eh, Ghafur. Lama tak denga khabar. Apa cerita sekarang. Menulis lagi?”, soal Mona mesra.
“Oh. Aku sihat-sihat sahaja. Nampaknya begitulah. Tapi masih belum tetap lagi. Menulis suka-suka sahaja. Kau dan Syafiq apa khabarnya? Kau masih di rumah lama?”.
“Aku sekarang sudah pindah. Sudah setahun meninggalkan Lorong Haji Taib. Aku dah bekerja sekarang. Di Gombak. Kau tahu Ghafur, seperti sudah janji pula kita ni. Aku memang tak tidur malam ni. Sedang memasak untuk hari kantin Syafiq esok. Kalau senang datanglah”, balas Mona.
Bunyi recikan sayup-sayup di hujung talian. Ada air berbaki dalam periuk panas sewaktu minyak dituang.
“Syafiq sekolah di mana sekarang? Insya Allah esok aku memang lapang. Pukul berapa mula?”
“Mula jam 8. Habis jam 4.30 petang. Kau datanglah bila-bila pun. Boleh kita berbual panjang esok”, sambung Mona.
“Esok aku datang waktu tengah hari. Eh kau masak apa untuk hari kantin ni. Sedap baunya sampi ke sini pun hehehe..”, Abdul Ghafur ketawa kecil.
“Kau ni ada-ada saja lah Ghafur. Tak abih-abih bergurau. Aku buat sate dan nasim impit. Ni tengah nak buat kuah kacang. Baik kalau begitu esok kita jumpa. Oh ya. Aku terlupa pula. Kita jumpa di SK Gombak Setia. Kau tahu kan”.
“Tau. Baik esok kita jumpa. Asalamualaikum Mona”.
“Walaikumussalam”.
Abdul Ghafur tidak jadi untuk singgah di Lorong Haji Taib. Dia terus sahaja memandu pulang. Esok dia akan bertemu Mona, kenalannya. Kenalan yang mungkin dipandang seroang oleh orang ramai yang tidak mengerti. Namun itu semua tidak pernah dihirau Abdul Ghafur. Baginya penulis tidak sahaja harus duduk bersenang-senang melayari internet dan menceceh. Mereka harus keluar dan mencari cerita bukan sekadar membuntuti cerita orang lain. Dan cerita-cerita masyarakat amat digemari Abdul Ghafur. Dengan cara itu dia akan lebih memahami apa yang sedang dialami oleh bangsanya sendiri.
Motokar sudah dikunci. Baju sejuk hitam hadiah Cemong sudah disangkut dibelakang pintu. Abdul Ghafur kini sedang berbaring di atas katil yang tidak bersarung tilamnya. Dia kira kepalanya yang tepu tadi sedikit lega sesudah keluar mengambil angin. Matanya semakin berat tidak dapat ditahan-tahan lagi. Sebelum terpejam dia berharap dapat bermimpi bertemu Cahaya sambil menunggang Yahama Vulcan.
4 comments:
OMG
mona's back !
maybe u should put links to previous mona stories
yup she's back huhu..U think so?okeh2 ill link it..
cayalah abdul ghafur
yeah abdul ghafur..reporter freelance yg serabai hhuhuhu..
Post a Comment