Tuesday, 12 January 2010

Penyimpangan




Kesesakan lalu lintas antara hantu-hantu yang sering hadir pada hidup pemandu-pemandu kenderaan. Kesesakan ini boleh terjadi disebabkan oleh kenderaan yang sememangnya sudah sedia banyak memenuhi jalanraya terutama ketika waktu puncak, jalan sedang diperbaiki -maaf kesulitan amat dikesali-kemalangan jalanraya, kenderaan bergerak perlahan kerana melihat lihat kenderaan yang terlibat dengan kemalangan di jalan sebelah sana ataupun disebabkan hari itu ada pasar malam di kawasan berkenaan. Apa pun sebabnya tidak ada manusia yang suka kan kesesakan lalu lintas. Ini antara sebab saya tmemilih untuk tidak mahu memiliki kereta.

Sekiranya berlaku kesesakan terutama akibat jalan rosak, selalunya pihak yang bertanggungjawab akan memberikan laluan alternatif ataupun diversion kepada pemandu-pemandu bagi mngurangkan kesesakan. Sebagai contoh jika kita dari Jalan Pahang menuju ke MRR2 dan jalan di hadapan Court’s Mammoth Jalan Genting Klang berlaku sebarang kemalangan atau kerosakan jalan, para pemandu boleh lah menggunakan Jalan Gombak untuk ke MRR2 misalannya. Atau pun Jalan Sultan Azlan Shah di Ipoh ditutup dan kita mahu ke Jusco ataupun Tesco, kita boleh lah menggunakan jalan Taman Polo dan keluar semula di persimpangan Pantai Medical Centre.

Cuma bukanlah niat saya ingin bercerita tentang penyimpangan materil atau fizikal. Saya ingin menyentuh persoalan penyimpangan maknawi. Penyimpangan yang kadang-kala melalaikan manusia. Atau penyimpangan daripada satu isu kepada isu yang lain. Fokus kita teralih dengan penyimpangan itu Ada juga istilah dalam ilmu media dipanggil mengolah persetujuan.

Sebagai contoh seorang lelaki membunuh teman wanitanya di dalam rumah saat mereka berdua-duaan. Sesudah membunuh teman wanitanya lelaki itu akan menggeladah rumah berkenaan seolah-olah berlaku kejadian pecah rumah bagi mengalih pandangan pihak polis daripada mengesyaki pembunuhan ini dilakukan oleh orang yang rapat dengan masa. Jika tidak teliti polis akan mengklafikasikan kes itu sebagai kes rompakan bersenjata atau pecah rumah. Ini satu contoh penyimpangan atau diversion.

Contoh penyimpangan atau mengolah persetujuan dalam media terjadi seperti berikut- Rakyat sudah turun ke jalan raya dan tunjuk perasaan agar tahanan tanpa bicara seperti tahanan ISA misalnya dimansuhkan oleh pihak pemerintah. Apabila melihat keadaan ini pihak pemerintah akan mengeluarkan kenyataan “ISA AKAN DIKAJI” atau “SUDAH MASANYA ISA DIPERTIMBANG UNTUK DIKAJI” untuk seolah-olah bersetuju dengan rakyat . Maka media yang diupah pemerintah akan mengeluarkan dalam halaman utama mereka “ISA AKAN DIKAJI”. Walhal sesudah beberapa purnama dan sesudah rakyat senyap ISA hanya dikaji dan kerajaan mengeluarkan kenyataan “ISA TIDAK AKAN DI MANSUHKAN”. Ini contoh penyimpangan maknawi yang berlaku di depan mata kita semua tetapi tak tersedar oleh mata kasar.

Begitu juga dengan apa yang sedang terjadi dalam negara kita saat ini. Kita mengetahui kerajaan seolah-olah sedang tenat dan sesak nafas akibat daripada beberapa insiden yang berlaku dalam negara. Ketirisan yang berlaku dalam kes Pelabuhan Klang Free Zone (PKFZ) yang dikatakan turut melibatkan bekas pemimpin utama negara, kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E,royalti minyak Kelantan dan tak ketinggalan kes mendiang Teoh Beng Hock. Perkara-perkara ini merupakan fokus utama yang sedang melanda kerajaan khasnya dan harus di perhati betul-betul. Kita tidak harus lupakan apa yang sedang terjadi ini lantas melompat pula ke arah satu sudut yang lain yang pada pandangan saya boleh diselesaikan secepat mungkin seperti contoh kes nama Alah yang sedang riuh itu pula.

Kita mengetahui dalam banyak prosiding mahkamah, kerajaan UMNO-BARISAN NASIONAL amat mudah membuat keputusan melalui “mahkamah” mereka. Mereka boleh mengatur hakim malah kita kadang-kadang boleh mengagak keputusan yang bakal dibuat oleh hakim berkenaan terutamanya kes-kes yang melibat kerajaan sendiri. Kes Mahkamah Rayuan melibatkan Menteri Besar Perak yang sah Ir Nizar Jamaluddin begitu cepat diputuskan supaya keputusan Mahkamah Tingggi yang menyebelahi Nizar ditangguhkan. Namun dalam kes Herald Tribune, mengapa kerajaan boleh membiarkan pula seorang hakim berbangsa Cina dan kuat pegangan Kristiannya memutuskan kes berkenaan. Mengapa ini boleh berlaku. Kes nama Allah ini kini sedang merebak pula apabila melibatkan 7 buah gereja iaitu Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) di Lake Square Seremban, Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta, Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing , Life Chapel Seksyen 17, Petaling Jaya,Gereja All Saints dan pos pengawal SM Convent di Taiping, Perak dan yang terbaru Gereja Good Sheperd dekat Lutong Bazaar, kira-kira 10km dari Miri Sarawak.

Saya melihat kes nama Allah ini seolah-olah satu bentuk penyimpangan fokus masyarakat daripada kes-kes yang lebih besar melibatkan jutaan ringgit yang sudah saya sebutkan sebentar lagi. Perkara ini sengaja diheret bagi mengaburi mata rakyat. Tambahan pula secara tiba-tiba kerajaan berlembut hati kepada mereka yang melakukan demonstrasi membantah keputusan mahkamah tinggi berkenaan. Kita sememangnya sudah sedia maklum dengan sikap pemerintah yang begitu anti kan demonstrasi. Hujah-hujah seperti akan menggugat keamanan, merosakkan harta benda awam dan hujah demonstrasi bukan budaya masayrakat Malaysia sering dibesar-besarkan bagi mengabsahkan tindakan menghalang rakyat berdemonstrasi. Justeru kenyataan membenarkan demonstrasi oleh Perdana Menteri sendiri dilihat begitu ironi dan berat sebelah. Saya juga berpandangan wujud usaha untuk sengaja membiarkan rakyat hidup di dalam ketakutan. Kita harus ingat pertelagahan antara agama akan mengakibatkan ketidakstabilan yang lebih parah.

Tulisan saya ini tidaklah bermaksud menuduh mana-mana pihak secara khusus bertanggungjawab atas sebarang insiden. Tetapi kita harus sedar penyimpangan atau diversion ini hanya akan merugikan kita sekiranya kita salah memilih jalan penyelesaian. Jangan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Soal nama Allah itu juga saya serahkan pada kalian untuk menilai. Hujah daripada kedua-dua pihak sama kuat. Sebagai penutup renung-renungkanlah ayat berikut:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul Allah dan kepada Ulil Amri daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam satu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannjay kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) RasulNya-jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demekian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih baik pula akibatnya (Alquran Surah Annisa’ 4 : 59)”*

Sekian terima kasih.

*Terjemahan : Alquran Mashaf Malaysia dan Terjemahan Cetakan Kedua Yayasan Restu 2006 Shah Alam Selangor.

No comments: