Wednesday, 13 January 2010

Program..

Pagi itu terasa lain benar. Tak seperti pagi-pagi yang sebelum ini. Pagi ini panas dan berbahang. Badan separa Mansor Kardi terasa belengas. Melekit dari pangkal lengan hingga ke celah kelengkangnya. Pagi yang terasa sial itu ditambah-tambah pula dengan hingar bingar dari luar bangunan mahallah Mansor Kardi. Bangunan 4 tingkat itu terasa bising benar . Ada orang sedang menggerudi jalan 20 meter dari bangunan asramanyanya. Sebuah trailer 8 tayar membawa kabel elektrik bawah tanah di letakkan tidak jauh dari tempat manusia-manusia itu bekerja. Dia menoleh ke arah kipas besi yang dipinjam daripada Wafdi kerana kipas yang sedia ada di biliknya rosak sebulan yang lalu. Kipas yang dipinjam itu juga tidak berfungsi. Walaupun sudah 2.3 hari kipas itu meragam tapi tak disangka pagi itu akan habis hayat kipas buruk itu.



“Celaka punya kipas. Berpeluh-peluh aku pagi ini”.



Kipas yang tak berdosa satu apa itu seolah-olah mendapat ucapan selamat pagi yang paling indah dari Mansor. Mansor bangun sambil mengeliat malas. Badannya yang dibungkus sehelai seluar kecik itu sahaja terasa sengal-sengal. Rambutnya yang berombak mencecah bahu dikibas-kibas. Kepalanya terasa berpinar sedikit. Dia mencari-cari sesuatu bagai meraba di dalam gelap. Dicapainya kotak Gold Coast dari atas meja dan mengeluarkan sebatang isinya lantas menangkap bibir kecil Mansor. Api dinyalakan lalu membawa aroma yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Mansor meneguk air mineral cap Gunung sambil berkumur-kumur. Dia bangun dan ke bilik air menyelesaikan hajatnya.



Matahari sudah agak tinggi bila Mansor menjenguk ke luar tingkap. Memang manusia-manusia tadi masih tekun bekerja. Mansor kembali ke dalam bilik. Dia mengenakan t-shirt merah Coca Cola sambil berseluar jeans yang rabak dilutut. Telefon bimbitnya dibelek-belek. Ada satu pesanan. Lantas dibaca pesanan ringkas itu.



Malam ini saya akan call. Dalam jam 8. Ada perkara perlu saya katakan.



Begitu tertulis pesanan ringkas itu. Datangnya dari Cahaya. Satu-satunya gadis yang bertakhta di hati Mansor. Mereka pernah bercinta namun selepas Mansor digantung dari universiti satu ketika dahulu gadis itu sudah mula gelabah beruk dan kurang yakin lagi dengan Mansor. Cahaya merasakan Mansor hanya mencari masalah. Mansor membalas ringkas pesanan itu.OK. Itu sahaja. Mansor memasukkan kertas kerja setebal 20 muka surat dan buku catatan kedalam beg silang PVC bewarna coklat. Beg ini sudah menemani Mansor selama 10 tahun. Lebih lama dari usia “cintanya” dengan Cahaya. “Nampaknya kau lebih setia daripada seorang gadis”.


Mansor menyarung sandal buruknya dan bergegas menuruni tangga . Hampir-hampir dia terjatuh kerana terpijak plastik aiskrim yang bertabur di anak tangga.


Celaka betul. Aku memang pantang orang buang sampah rata-rata ni lah”.


Ini memang pantang Mansor. Dia amat jelik melihat manusia-manusia terpelajar di bangunan tempat dia tinggal ini kurang ajar. Kurang ajar pada alam. Kurang ajar pada jiran. Kurang ajar pada dia. Tapi kemudian manusia-manusia kurang ajar ini akan berdekah-dekah bercerita tentang kebersihan itu sebahagian daripada Iman. Dia amat tidak suka dengan manusia-manusia hipokrit ini. Baginya manusia-manusia semacam ini apabila pulang terjun ke dalam masyarakat nanti akan memburukkan lagi keadaan. Mansor menjeling jam di tangan. Sudah jam 1045. Dia punya 15 minit lagi untuk untuk temu janjinya. Sebetulnya Mansor ada perbincangan pagi itu. Dia kira inilah perbincangan terakhir sebelum program yang telah dirancang sejak 6 bulan yang lalu bakal terlaksana. Selepas ini mereka yang terlibat akan terus melakukan tugasan masing-masing. Perkara ini mesti jadi.



Mansor tiba tepat jam sebelas. Mereka sudah berjanji akan bertemu di sini, perpustakaan Dar Al-Hikmah. Nasha, gadis dari Selatan, timbalannya untuk program kali ini sudah menjeling jam dan menoleh-noleh kiri dan ke kanan. Dia kira, itu petanda tidak baik.Menunggu itu satu penyeksaan- bak kata pujangga. Dia tahu dia akan di “teow” oleh Nasha. Nasha tidak suka menunggu. Begitu juga Mansor. Dia akan cuba memujuk Nasha sebaik mungkin. Mungkin ke Restoran A. Malik selepas ini.



“Kau agak sekarang pukul berapa?”, Nasha bertanya. “ Jam sebelas lewat 2 minit”, jawab Mansor pendek. “Kau fikir ketika Pearl Harbor di bom oleh armada Jepun dulu, sekiranya perisik-perisik Amerika dapat tahu 2 minit lebih awal, bukankah mereka mampu memberi amaran kepada penduduk Hawaii ketika itu”, tanya Nasha lagi dengan nada sinikal. “Hemm. Tak usah la kau pura-pura tidak tahu. Amerika sengaja “menjemput” Jepun untuk mengolah persetujuan rakyat Amerika bagi terlibat dalam Perang Dunia Kedua. Pengeboman Pearl Harbor merupakan sandiwara Amerika sahaja. Kau pun tahu”, balas Mansor. “Ya. Aku tahu. Tapi alasan Roosevelt itu tak harus pula kau ikut kan semata-mata kau lewat 2 minit. Sudah kita mulai sahaja. Aku juga tak mahu menangguh-nangguh lagi”, jawab Nasha separa merajuk. “Janganlah begini Nasha. Kau tak manis kalau merajuk. Nanti aku belikan kau nasi kandar di A.Malik ya?,” jawab Mansor memujuk. Mereka terus berbincang.



Sebuah bilik perbincangan sudah ditempah malam tadi. Mereka tidak terus menunggu Hakimi dan Abad. Perbincangan ini sekadar preliminary sahaja.Hakim dan Abad akan tiba jam sebelas setengah bersama timbalan masing-masing, Miza dan Atiqah. Mereka harus memastikan sebelum mesyuarat sebenar tidak ada perkara yang tercicir. Perkara ini mesti jadi. Jika tidak, insiden sepertimana tahun lepas akan berulang lagi. Tidak elok jatuh ke dalam lubang yang sama buat kali kedua. Sesudah perkara-perkara yang dirasakan penting di catit jelas-jelas di dalam diari, Nasha segera menelefon Hakim. Mereka sudah berada di tingkat bawah. Beberapa minit lagi akan tiba di bilik perbincangan itu.


“Terima kasih kerana sudi hadir dalam perbincangan ini. Saya harap kalian sudah membuat persediaan sebelum tiba ke sini. Ingat perkara ini mesti jadi. Kita tidak mahu apa yang kita usahakan sejak 6 bulan yang lalu gagal”, ucap Mansor memulakan mesyuarat.



“Aku kira bagi pihak ku, tempatnya sudah dikenal pasti. Keadaan trafik di situ sangat membantu. Aku sudah kenal pasti 3 tempat. Pertama, dataran di hadapan “Moot Court”, dataran di depan masjid dan HS café”, jelas Hakim.



“Tapi bukankah HS café’ dan dataran di hadapan masjid itu terlalu dekat. Apa kau fikir betul sesuai?”, soal Mansor kepada Hakim.


Yang lain sedang menumpukan jawapan dari Hakim.



“Betul.Tapi aku kira kawasan di HS café akan menjadi tempat alternatif sekiranya cuaca tidak mengizinkan”, balas Hakim.



“Bagaimana dengan tangga besar. Tangga Firaun itu kawasan panas juga kan. Sangat dekat dengan bangunan pentadbiran. Mudah lah orang-orang senat mendengar kata-kata kita nanti”, cadang Nasha. Kata-kata ‘mendengar kata-kata kita’ itu sengaja ditekan.



“Bagus juga. Ya. Kita tambah satu lagi tempat. Tapi kita gunakan sekiranya perlu sahaja. Misalnya jika Presiden Persatuan Mahasiswa sendiri yang akan berucap. Biar bergegar tangga Firaun itu”, sambung Hakim.




Perbincangan sudah selesai. Semua yang hadir sudah dapat membayangkan bagaimana perjalanan sewaktu program itu akan berlangsung nanti. Beberapa orang wakil-wakil persatuan dan kelab sudah dimaklumkan tentang hal itu. Mereka berjalan beriringan menuju ke gerai A.Malik bagi mengisi perut yang sememangnya kosong sedari pagi. Ditengah perjalanan, betul-betul dihadapan ITD, hakim bersuara.



“Kau yakin perkara ini boleh jadi. Kalau-kalau ada yang akan sakit hati kalau kita teruskan pula hal ini. Kau pun sendiri maklum kau sudah didakwat merahkan oleh pihak pentadbiran bukan?”.



“Aku tahu itu semua Hakim. Aku cuma mahu kampus ini akan meriah seperti dahulu. Ini bukan perkara baru. Ini tradisi mahasiswa sekian lama. Cuma setelah tragedi 74’, ramai mahasiswa menjadi mandul. Universiti ini pun tak ubah seperti sebuah kilang yang mengeluarkan produk-produk layak robot sahaja. Yang hanya tahu bekerja apabila punatnya ditekan. Tidak lebih dari itu. Kau mahu jadi robot Hakim?”, soal Mansor. Semua diam dan fikiran masing-masing merewang di balik zaman. Tragedi 74 tidak akan mereka lupa.



Hampir-hampir masuk waktu asar baru Mansor tiba di Mahallah Uthman, asrama tempat tinggal Mansor. Hakim, Abad,Tiqah dan Miza tidak terus pulang ke asrama kerana ada perkara perlu diselesaikan dengan beberapa orang lagi wakil-wakil persatuan. Mereka terus sahaja menunggu di HS cafe. Sebelum ke bilik air bersiap untuk solat asar, telefon bimbit Mansor berbunyi. Ada pesanan dari Nasha.




“Aku rasa baik sahaja kau menjadi robot Mansor. Robot tidak punya hati. Paling tidak kau tidak akan menderita lagi makan hati“



Mansor terdiam mengenangkan kata-kata Nasha itu. Gadis itu sememangnya faham akan isi hati Mansor. Tidak diendahkan pesanan ringkas berkenaan kerana azan dari surau Mahallah Uthman berkumandang. Dia terus bergegas ke bilik air.




Mansor terus pulang ke biliknya sesudah selesai tutorial. Perutnya berkeroncong minta diisi. Sesudah menyangkutkan pakaianya di kepala paku di dinding biliknya, Jambang terpacul di muka pintu dengan dalam keadaan termengah-mengah bagai dikejar hantu jembalang.

“Kau dari mana ni Jambang? Bagai lari tak cukup tanah sahaja”, soal Mansor.

“Mansor. Aku rasa ada yang tak kena. Aku dapat berita kawan-kawan kita ada yang dipanggil mengadap rektor. Aku fikir ada sangkut paut dengan program kau itu”, jelas Jambang.

“Mengapa pula ni. STADD dah luluskan program itu. Mengapa sampi ke Rektor pula ini”

“Baik kau segera ke pejabat pentadbiran. Nasha, Hakim dan Abad semua ada di sana.”

“Terima kasih jambang. Kau tolong beritahu yang lain,walau apa terjadi program kita akan tetap berjalan juga. Tunggu berita dari aku”.



Mansor bergegas ke pejabat pentadbiran. Ketika melalui kawasan Kulliyah Ekonomi, Mansor mendapat panggilan dari Miza. Dia dan Tiqah pun ada didatangi oleh fellow masing-masing meminta mereka segera ke bangunan ‘Admin’. Macam-macam yang terbayang dalam kepala Mansor. Adakah rancangan kali ini akan menemui jalan buntu juga.



Dia menolak pintu kaca ruang menunggu pejabat Rektor. Di dalamnya tercetok Nasha,Hakim dan Abad. Masing-masing kelihatan gelisah. Mansor sudah agak rancangannya dan kawan-kawan kali ini gagal lagi.




“Rancangan kita gagal. Ada pelajar lapor kepada rektor, kita cuba mengulangi gerakan 74. Memang mahasiswa sekarang mandul”, bisik Nasha ke telinga Mansor.



“Mansor bin Kardi. Ha masuk. Hendak tunjuk hero sangat ye”,panggil seorang pegawai Hal Ehwal Pelajar.



Mansor hanya diam seribu bahasa.

2 comments:

atiqahdahalan said...

semakin hari semakin pesat nampaknye.

kalau yg nmpak di depan mata lagi kan mcm robot, yg jauh beribu batu, tiap2 malam diselubungi hirom dlm kesejukan winter menjamah sajian movie2 terkini agaknya mcm ape ye? robot tak siap? kuang kuang kuang...

psychedelicmundo said...

Kalau duduk dalam hiram.tgk movie lepas tu buat review tak pe.ha itu lagi bagus.huhu..Baru lah FT pun boleh terkedu baca