Monday, 23 March 2009

Dari Masjid ke Istana Negara

I

Dari Masjid ke Istana Negara

Manusia berbondong-bondong

Ada yang bertongkat ada yang berkerusi roda

Ada Pak Tua yang berbaju Melayu merah Jambu

Dia turun ke jalan raya bersama-sama rakyat terbanyak

Hatinya sayu mengenang Bahasa Ibundanya di henyak-henyak

Walau ditarik apa jua gelarannya

Yang menghamun dengan sindirannya

“Jangan diundi pemimpin yang …
bertelinga satu,
berlidah dua”

Dia tidak ambil pusing

Dia akan berjalan dari Masjid ke Istana Negara


II

Dari Masjid ke Istana Negara

Ada segerombolan orang asal Tanah Bertuah ini

Turut sama tersinggung bila orang besar di dalam kaca televisyen (Yang jarang-jarang dimilik oleh suku sakatnya)

Menyatakan perlu berbahasa penjajah jika mahu menjadi maju

“Saya tidak ingin bangsa saya ketinggalan hanya kerana nasionalisme kita terhad kepada kefasihan bercakap dalam bahasa sendiri” hujahnya

Pemimpin ini tidak sedar bangsa yang membunuh bahasa dan budayanya

Akan turut mati oleh lidah dan tangan-tangan mereka sendiri

Tanpa perlu benggali putih datang untuk kali kedua

Namun malang orang asal itu di halang ratusan anjing-anjing liar

Yang imannya hanya kepada tuannya

Meratah dan menyalak

Walau mahu berjalan dari Masjid ke Istana Negara


III

Dari Masjid ke Istana Negara

Ada anak-anak muda dan pak tua

Mengusung keranda 152

Tanda terbujur kakunya bahasa tercinta

Yang menyesakkan dada anak-anak di desa

Yang merunsingkan kepala anak-anak di kota

Walau yang sesak dada dan runsing itu anak bangsanya sendiri

Namun sang penguasa hanya sendat dan padatnya kepala

Dengan hijau ringgit dan teman-teman mabuknya

Keranda itu akan di usung dan akan di semadikan di pinggir pagar Istana

Biar anak bangsanya tatap dan talkinkan mayat itu

Kalau itu mahu sang penguasa durjana

Andai Keris mampu melihat semua ini

Pasti dia tersenyum tanda juangnya belum terpadam

Langit umpama memayungi anak-anak muda dan pak tua

Turut juga menitis air mata dari kaki langit dunia

Dari Masjid ke Istana Negara



IV

Lalu muntah cecair dan butir-butir kimia di tujah ke arah mereka

Layak medan perang di musuhi mereka

Benci dan jijik membusung di dada

Jangan biarkan seorang pun mara ke Istana

Hancur lah negara huru hara lah jadinya

Kalau dibiar orang-orang ini menyatakan hasratnya

Kepada payung dan penyatu rakyat jelata

Akan musnah lah negara akan leburlah nusa

Alasan jijik dan kotor menjadi syahadah mereka

Buat pejuang dan pencinta bahasa

Yang mahu berjalan dari Masjid ke Istana Negara



V

Biar pedih mata biar berpusing kepala

Biar sakit di luar biar perit jasad

Namun rakyat jelata sampai jua ke pagar Istana

Menghadap kepala Negara

Menyatakan dengan suci hatinya

Dasar ini hanya akan memusnah kan bangsa

Memamah setiap inci urat saraf nusa

Mengerat lidah-lidah bahasa

Konon mengejar syaitan bernama maju dan kuasa

Mereka berjaya merobohkan pecacai-pecacai yang mengangkang di jalan

Tidak sedikit pun gentar dan gusar hinggap di jiwa dan hati pejuang pecinta ini

Yang berjalan dari Masjid ke Istana Negara


V

Salut teman-teman ku

Salut komrad-komrad sekalian

Jangan takut jangan cabut

Anak bangsa dan cucu cicit mu

Tak kan marah datuk dan nenek moyang mereka

Mencipta sejarah buat tatapan generasi mendatang

Yang berjalan dari Masjid ke Istana Negara

3 comments:

The.Libyaman said...

cool. mahu melihat bobroknya alam lu kena ke satu alam yang lain. Jordan banyak mengajar gua bagaimana melihat kehidupan. Gua pasti lu juga menerima anugerah yang sama.

guntur said...

apa-apa pun dalam isu ppsmi,kita tanya siapa yang terlibat.gua pasti lu batch pertama ppsmi.gua tak terkata apa-apa pasal gua tak terlibat secara langsung.

guntur said...

Terima kasihlah atas komen anda.Dan yang aku tulis hanya berdasarkan apa yang aku lalui.

Aku faham kenapa Dr Mahathir buat begitu.Dia nak cari kelebihan.Tapi, dalam masa yang sama ada kekurangan dan kelemahan yang dilalui yakni isu martabat dan kefahaman.

Entahlah.Aku sendiri pun bingung.Tapi inilah pandangan jujur aku.Tanpa dipengaruhi politik.

Apa-apapun,idea biarlah selari dengan realiti.