Sunday 14 December 2008

Kenyataan Media 9 Disember 2008:Deklarasi GERAK Malaysia

Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia) ingin menyarankan agar ahli-ahli Parlimen Malaysia membahaskan secara serius, matang dan berkesan rang undang-undang Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM esok 10 Disember 2008. Atas kesedaran ini, GERAK Malaysia telah menggagaskan 17 Deklarasi berkaitan usaha-usaha membudayakan integriti dan anti rasuah. GERAK juga ingin menegaskan agar SPRM diberikan kuasa pendakwaan mutlak melalui undang-undang yang bakal dibentuk bagi mengendalikan kes-kes rasuah serta diletakkan secara independent di bawah Parlimen. GERAK Malaysia juga mencadangkan agar SPRM yang bakal ditubuhkan kelak mampu menjalinkan hubungan secara langsung dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran & Kementerian Pembangunan Wanati, Keluarga dan Masyarakat bagi menggalakkan lagi usaha-usaha memperkasakan pendidikan integriti & anti rasuah.

Berikut adalah DEKLARASI PERMUAFAKATAN INTEGRITI & ANTI RASUAH oleh GERAK Malaysia:


PERMUAFAKATAN INTEGRITI & ANTI RASUAH

DEKLARASI PERMUAFAKATAN INTEGRITI & ANTI RASUAH 2008

Menginsafi bahawa rasuah adalah gugatan terhadap iman dan nilai moraliti yang boleh meruntuhkan asas akhlak dan kepimpinan dengan merendahkan martabat bangsa dan tidak menjunjung undang-undang;

Menyedari bahawa rasuah adalah sering berpunca daripada perasaan tamak, pilih kasih, dorongan nafsu dan cita-cita melulu demi memenuhi kepentingan individu sama ada di dalam mengumpulkan kekayaan peribadi, di dalam memajukan perniagaan secara mudah, di dalam mencapai aspirasi politik menerusi jalan paling singkat atau menebus perilaku yang melanggar undang-undang;

Mengakui bahawa jenayah rasuah yang merebak secara parah boleh mendorong ke arah ketidakadilan, menindas golongan kurang berada dan melupuskan kos kecekapan (cost efficiency) serta mengancam keselamatan negara, menghuru-harakan kerajaan, meruntuhkan tamadun, membinasakan bangsa dan mengugat pendukungan demokrasi;

Menerima hakikat bahawa kepemimpinan yang bermaruah serta mempunyai iltizam yang tegas adalah pemimpin yang menjadi pemangkin gerakan massa untuk memerangi rasuah di semua peringkat secara komited, konsisten dan berkesan;

Menyokong, menghargai serta mengiktiraf bahawa iltizam politik serta ketegasan kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan memerangai rasuah dan ini merupakan tindakan positif ke arah negara yang sifar toleran terhadap rasuah;

Meyakini bahawa kewujudan masyarakat madani Malaysia akan menjadi pemangkin kebangkitan negara yang sifar rasuah dan mampu membentuk Good Governance;

Maka Permuafakatan Integriti dan Anti Rasuah mengambil ketetapan bahawa:

  1. Kerajaan hendaklah mengkaji semula kuasa, tugas dan tanggungjawab Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mencakupi aspek-aspek pendidikan, pencegahan, penyiasatan dan pendakwaan yang menyeluruh. Ini akan membolehkan BPR atau SPRM mempelopori gerakan pendidikan anti rasuah yang komprehensif di kalangan masyarakat, melakukan kegiatan pencegahan yang lebih berkesan, menjalankan penyiasatan dengan lebih cekap dan adil serta membuat perakuan-perakuan pindaan yang berwibawa ke atas segala amalan dan prosedur di sektor awam yang didapati menggalakkan rasuah.

  1. Kerajaan hendaklah memberikan kuasa penuh kepada BPR atau SPRM untuk meminta mana-mana individu yang disyaki melakukan rasuah untuk menjelaskan harta yang dimilikinya menerusi kenyataan bersumpah. Jika individu berkenaan gagal memberikan penjelasan yang memuaskan berhubung pemilikan harta yang melebihi pendapatannya, maka pendakwaan hendaklah dibuat ke atasnya. Sekiranya didapati bersalah, harta individu tersebut hendaklah diambil/disita oleh pihak kerajaan seadilnya dan dimanfaatkan semula untuk kepentingan rakyat.

  1. Kerajaan hendaklah menubuhkan sebuah jawatankuasa penilai peringkat tertinggi (review committee) yang bertanggungjawab mengkaji semula semua kes rasuah yang telah disiasat oleh BPR dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, tetapi kes berkenaan tidak dibawa ke makhkamah. Jawatankuasa ini hendaklah melantik Ketua Hakim Negara sebagai Ex-Officio dan dianggotai oleh perwakilan rakyat atau individu yang berwibawa tinggi serta bertanggungjawab terus kepada Parlimen. Jawatankuasa ini juga harus membincangkan kaedah terbaik bagi membentuk sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

  1. Di samping hukuman-hukuman berat yang dikenakan ke atas pesalah rasuah, Kerajaan hendaklah juga mengenakan juga hukuman sebat ke atas pesalah-pesalah tersebut.

  1. Kerajaan hendaklah mengutuk amalan rasuah sebagai musuh no.1 negara yang lebih dahsyat bahayanya daripada penagihan dadah. Justeru, kerajaan hendaklah merestui kewujudan sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Suruhanjaya ini hendaklah bertanggungjawab mengesan, mengkaji serta menganalisa amalan rasuah, kesan dan implikasinya terhadap sosio ekonomi, politik dan keselamatan negara. Suruhanjaya ini hendaklah dibentuk dan diwujudkan menerusi kerangka undang-undang, mempunyai jawatankuasanya di peringkat negeri dan daerah serta bergerak seiring dengan BPR atau SPRM ataupun terus menggantikan peranan BPR setelah BPR itu sendiri distrukturkan semula ke arah menjadi suruhanjaya bebas yang benar-benar efisyen.

  1. Kerajaan hendaklah menggalak serta mengiktiraf kewujudan satu gerakan anti rasuah sama ada dalam bentuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggembleng penyertaan rakyat jelata, sektor awam, sektor swasta, pertubuhan politik dan pertubuhan sukarelawan di semua peringkat, di seluruh negara. Gerakan bersepadu ini juga hendaklah bergerak seiring dengan BPR ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang bakal ditubuhkan kelak.

  1. Seluruh jentera, sistem, peraturan dan undang-undang yang boleh mendorong amalan rasuah dan didapati menyulit, menghalang atau melambat-lambatkan pembangunan, kemajuan dan modenisasi ekonomi dan perindustrian negara hendaklah dikaji semula dan dibaiki keberkesanannya. Kerajaan hendaklah memperkasakan peranan Kementerian Kewangan dengan membentuk sistem ekonomi dan sistem penyampaian ekonomi yang berkesan serta berupaya memantau dan menutup ruang-ruang yang boleh berlakunya rasuah dan penyelewengan.

  1. Sektor awam, swata dan kalangan politik hendaklah diberi kefahaman mendalam dan terperinci bahawa pembangunan, kemajuan dan modenisasi negara, khususnya di bidang ekonomi dan perindustrian, adalah tanggungjawab bersama selaras dengan semangat dan dasar untuk membentuk Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

  1. Hendaklah diwujudkan mekanisma perundangan yang berkesan untuk menyelia urusan yang melibatkan sektor perniagaan dan Kerajaan. Perilaku kakitangan awam yang memproses, menganalisa, membuat perakuan, mengendali, menyelia dan meluluskan semua aspek percukaian, perlesenan, projek pembangunan dan projek penswastaan di peringkat pusat, negeri dan daerah mestilah telus dan bebas daripada rasuah. Warga korporat yang berurusan dengan sektor awam mengenai penswastaan atau perlaksanaan projek pembangunan di semua peringkat juga dituntut berperilaku telus dan bebas daripada rasuah.

  1. Sebuah sistem kawalan dalaman bagi jabatan-jabatan utama Kerajaan yang mengendalikan projek-projek penswastaan dan projek pembangunan negara yang besar hendaklah dipastikan telus, amanah dan berintegriti dalam mengendalikan maklumat-maklumat penting supaya tidak berlaku pembocoran rahsia dan maklumat yang bernilai komersial dan yang dapat diperdagangkan dengan nilai pasaran ataupun dengan nilai rasuah yang tinggi.

  1. Semua anggota penguatkuasa undang-undang dan kakitangan awam di jabatan yang sering terdedah dengan amalan rasuah hendaklah mempunyai tatacara yang telus, berintegriti dan berkesan. Semua sektor swasta juga hendaklah mewujudkan Tatacara Etika Integriti & Anti Rasuah dalam organisasi masing-masing.

  1. Sumpah jawatan bagi seluruh perlantikan awam, swasta dan politik di semua peringkat hendaklah mengandungi elemen kemurnian akhlak, keluhuran undang-undang serta membudayakan integriti dan anti rasuah.

  1. Seluruh kakitangan awam, kepimpinan politik dan kepimpinan korporat di mana Kerajaan mempunyai saham hendaklah dimestikan mengisytiharkan harta masing-masing kepada sebuah jawatankuasa di bawah pimpinan Perdana Menteri dan juga Parlimen.

  1. Usaha mewujudkan masyarakat madani yang menjunjung keluhuran undang-undang, mengamalkan tradisi bermoral yang murni, berbudaya, berintegriti dan tidak berkompromi terhadap rasuah perlu diperhebat dan diperkasakan lagi gerakannya di setiap lapaisan masyarakat Malaysia. Seluruh jentera pembangunan generasi anjuran kerajaan, parti-parti politik, organisasi korporat dan badan-badan sukarela di semua peringkat perlu mendukung usaha mewujudkan masyarakat madani ini menerusi gerakan kesedaran dan modul latihan ketatanegaraan dan keagamaan yang rapi, khusus, bersepadu dan berterusan.

  1. Elemen-elemen dan mesej integriti dan anti rasuah hendaklah diterapkan ke dalam jiwa segenap generasi muda Malaysia menerusi kurikulum khas pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi anjuran kerajaan dan swasta. Elemen dan mesej integriti dan anti rasuah ini juga hendaklah diterapkan ke dalam jiwa pelatih menerusi kurikulum khas di semua agensi latihan awam dan swasta. Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Malaysia harus memberikan keprihatinan terhadap usaha-usaha membentuk budaya integriti dan anti rasuah melalui sistem pendidikan negara.

  1. Pihak media massa hendaklah diberi galakan untuk melaporkan gejala dan amalan rasuah oleh segenap lapisan masyarakat secara jujur, adil dan berwibawa.

  1. Mengoptimumkan fungsi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membentuk keterlibatan langsung golongan wanita dalam usaha-usaha membudaya integriti dan anti rasuah bermula dengan pengukuhan budaya integriti dan anti rasuah dalam keluarga.

Berasaskan deklarasi ini GERAK Malaysia ingin menyatakan pendirian bahawa semua pihak sama ada Ahli Parlimen Malaysia, Pimpinan Parti-parti politik, mahasiswa, badan-badan bukan kerajaan dan pertubuhan atau persatuan belia dan anak muda harus menguatkan tekad dan iltizam untuk bangkit membentuk budaya integriti dan anti rasuah bagi memastikan terbentuknya permuafakatan bersepadu di kalangan kita dalam usaha membentuk Good Governance dan kepimpinan yang adil, amanah dan bertanggungjawab demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.


GERAK Malaysia juga menyatakan harapan tinggi kepada seluruh Ahli Parlimen Malaysia agar dapat membahaskan secara matang dan konstruktif rang undang-undang penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Parlimen pada awal Disember 2008 ini.


Semoga dengan terbentuknya SPRM ini mampu memberikan harapan, perubahan dan nafas baru terhadap kewibawaan dan kredibiliti BPR lantas memberikan erti yang lebih serius terhadap usaha-usaha kerajaan dengan kerjasama pihak pembangkang bagi memperkemaskan struktur, undang-undang dan pendidikan yang menjurus ke arah membentuk budaya integriti dan anti rasuah.


Deklarasi oleh:

Gerakan Rakyat Anti Korupsi

(GERAK Malaysia)

Mohd Nazree Mohd Yunus

Pengerusi GERAK Malaysia

sk: Badan Pencegah Rasuah (BPR)

Ahli-ahli Parlimen Malaysia

Institut Integriti Malaysia

Transparency International-Malaysia

Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Belia dan Anak Muda Malaysia

Pimpinan UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC & Gerakan

Kementerian Pengajian Tinggi

Kementerian Pelajaran

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat

Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (INSKA)

Pimpinan Mahasiswa Universiti Seluruh Malaysia

Bar Council (Majlis Peguam)

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS)

Belia 4B Malaysia

MAYC Malaysia

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

TERAS Pengupayaan Melayu

No comments: