Aku jumpe artikel ni dalam Detikdaily mase boring2 lepak depan PC member aku Ustaz R.
Oleh Mohamad Sabu
Naib Presiden PAS
Seminar mengenai rasuah dan permasalahannya pernah diadakan di sebuah kelab golf di Seremban. Pembentang utama dalam seminar tersebut ialah Tan Sri Harun Hashim. Ia diadakan tiga atau empat bulan sebelum Tan Sri kembali ke rahmatullah. Saya ikuti seminar tersebut dengan penuh minat, mendengar pandangan tokoh yang saya hormati dari sudut integriti dan etika.
Pemandunya terlewat datang dan hujan pula lebat, membolehkan saya berbual panjang dengan Tan Sri Harun dari hati ke hati, terutama pengalaman beliau membentuk Badan Pencegah Rasuah setelah diarah Tunku Abd Rahman.
Tan Sri mengingati kembali arahan Tunku kepadanya: "Hang bentuk satu badan untuk lawan rasuah, aku tak mau Malaya kita jadi macam negara pariah di keliling kita." Tunku merujuk beberapa negara jiran dilanda amalan rasuah yang amat tinggi.
Tan Sri membahasakan dirinya "patek" bila bercakap dengan Tunku Abd Rahman. Setiap kali ada orang besar Umno mahu ditangkap BPR di bawah Harun Hashim, Tunku lebih suka dilakukan ketika beliau berada di luar negara. Kalau berada dalam negara apabila penangkapan berlaku, maka kaum keluarga mangsa akan datang merayu pada Tunku, sedangkan Tunku tidak mahu campur tangan langsung dalam urusan BPR.
Beliau selalu teringat pesanan Tunku: "Hang ada bukti, hang tangkap, jangan kira sapa, cuma kalau hal besar, kalau boleh hang tangkap masa aku di luar negara." Menurut Tan Sri Harun, memang tidak ada langsung pesanan Tunku supaya "tangkap orang ini dan jangan tangkap orang itu".
Beliau menggambarkan betapa susah untuk membuktikan kesalahan kes-kes rasuah di mahkamah. Beliau mengakui rasuah hanya dapat diperangi dengan amalan etika pentadbiran yang bersih, berbanding undang-undang pencegahan rasuah.
Pengalaman beliau dalam pentadbiran yang dilatih PTD British dicurahkan kepada saya. Etika pentadbiran, sikap dan amalan pegawai kerajaan sekarang (di waktu perbualan itu) terhadap bencikan rasuah dan salah guna kuasa telah jauh merosot daripada etika pertadbiran yang diperkenal British.
Seseorang itu bukan hanya membuktikan ia bersih tetapi hendaklah juga dilihat bersih. Bukan semua yang membawa kenderaan melebihi kelajuan ditangkap oleh polis, secara random sahaja aau kebetulan ditangkap, yakni bila memandu laju, polis trafik pula ada di situ. Ribuan manusia menyertai demontrasi, yang ditangkap hanya beberapa orang untuk membuktikan ada undang-undang larangan berdemonstrasi tanpa permit.
Begitulah hal amalan rasuah, yang ditangkap dan dibuktikan adalah terlalu kecil. Tan Sri mengeluh bila membincang hal amalan rasuah terutama soal akhlak dan etika tidak dipedulikan lagi. Bagaimana kita mahu dilihat bersih memandangkan jika kita berjalan-jalan di sesebuah kawasan perumahan, kita akan temui rumah-rumah besar dan mewah yang dimiliki, misalnya pegawai juruteknik daerah yang berpendapatan RM1,500 hingga $3,000 tapi mampu membina rumah mencecah jutaan ringgit.
Bagaimana seorang pegawai polis yang bergaji antara RM2,000 hingga RM5,000 tapi mampu memiliki rumah mencecah jutaan ringgit dan mempunyai premis perniagaan yang banyak. Lihat pula pegawai yang terlibat dalam urusan tanah dan perbalakan, cara dan gaya hidup mereka tidak sesuai langsung dengan pendapatan.
Tan Sri Harun mengambarkan usaha perangi rasuah dan gejala rasuah berkurangan bukan dengan banyak penangkapan dan pendakwaan tetapi melalui satu sistem etika yang tinggi. Sudah tentu untuk melahirkan satu budaya bencikan rasuah dan salah guna kuasa ia mesti datang dari pemimpin-pemimpin negara, sama ada perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, menteri besar dan ketua menteri. Integriti dari atas ini boleh dipancarkan ke bawah. Masalanya, integriti dari atas itu hampir sudah tidak ada sekarang.
Saya teringat pandangan Tun Hanif Omar yang mengatakan lebih 40 peratus pegawai tinggi polis boleh didakwa kerana mengamalkan kehidupan seharian yang tidak sepadan langsung dengan pendapatan. Bagaimana pula dengan pegawai bomba, pegawai pejabat tanah, JPJ, JKR, apakah ia juga sama dahsyat seperti yang dimaklumkan oleh bekas Ketua Polis Negara itu, yang kini menjaga Genting Berhad.
Siri penangkapan terhadap pegawai JPJ, imigeresen dan kastam kebelakangan ini lebihmengesahkan pandangan Almarhum Tan Sri Harun Hashim itu. Saya teringat perbualan dan percakapan dengan orang yang dilatih oleh British dahulum seperti Tan Sri Harun Hashim, Tan Sri Ahmad Nordin, Hj Ismail yang menjaga Kohilal, hakim-hakim seperti Tun Sufian, Tun Saleh Abas dan banyak lagi pegawai yang berintegriti.
Elemen "dilihat bersih" itu sekarang sudah mulai hilang sama ada, daripada Perlis, Kelantan hinggalah ke Sabah. Revolusi pentadbiran dan etika memerangi rasuah dan salah guna kuasa mesti dimulakan, tetapi bukan oleh kerajaan BN yang ada sekarang, ia mesti dilaksanakan oleh kerajaan lain melalui pemimpin yang dibuktikan bersih dan dilihat bersih.
source:
Detik daily-Posted on Tuesday, September 16 @ 01:47:39 MYT by reformis
No comments:
Post a Comment