Thursday, 20 May 2010

Mengapa skeptik: Sessi kenal orang lain.


“Korang semua ni buat apa tengok blog-blog kapiaq ni”,saran seorang Tok Guru Tareqat kepada anak-anak muridnya.



“Buat apa kau letak gambar Karl Marx dan Lenin ni. Mereka beruda ni Yahudi tau tak”, tegur seorang pelajar kepada sahabat sekuliahnya.



“Buat apa ikut pendapat orang lain. Dalam Islam ni semua dah ada”, pesan seorang Ustaz dalam kelas.




Mungkin kita biasa mendengar dialog-dialog di atas. Mungkin daripada televisyen. Mungkin daripada Youtube. Mungkin dari teman-teman serumah. Mungkin juga kita sendiri pernah mengucapkan kata-kata sedemikian. Ada bercakap atas dasar Islam itu tinggi tidak ada yang tinggi daripadanya. Ada pula yang bercakap kerana marahkan Zionis yang sehingga ke hari ini membantai saudara-saudara kita di Palestin. Boleh jadi juga kerana mereka ini (atau kita sendiri) begitu allergic dengan manusia bukan Islam maka kita menyimpulkan apa juga yang datang daripada mereka adalah jahat dan apa juga yang jahat datang daripada mereka.




Penulis sendiri tidak gemar menyatakan benar ataupun salah semudah-mudah itu kepada sikap skeptic ini yang rata-rata wujud dalam kebanyakan masyarakat. Penulis sedar kita terkadang terlalu cepat melatah apabila datang sesuatu yang tidak sama dengan apa yang kita imani atau percayai selama ini. Boleh jadi juga sikap ini timbul kerana kita mempercayai Yahudi dan Nasrani ini sering kali membuat masalah kepada nabi-nabi kita seperti dinyatakan di dalam Al-Quran. Namun jika kita menyemak dan membaca, Al-Quran sendiri mengajar pembacanya bagaimana cara kita bersikap terhadap satu-satu tuduhan, pandangan, pendapat yang datang walaupun daripada seorang yang kita kenal fasiq. Malah Al-Quran juga mengiktiraf pandangan yang benar datang daripada seorang Penyembah Matahari seperti terkandung di dalam surah An-Namlu (27: 34):

Raja Wanita itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja apabila masuk ke sesebuah negeri, mereka merosakkannya dan menjadikannya penduduk yang mulia menjadi hina dina. Sedemikian itulah mereka akan lakukan”.




Kata-kata ini keluar daripada raja negeri Saba’ ketika itu apabila mendapat surat daripada Nabi Sulaiman. Raja itu belum pun Islam. Namun padangannya terhadap raja-raja yang zalim sebelumnya dirakamkan di dalam Al-Quran. Malah dalam ayat sebelumnya juga raja tersebut mencemar duli dengan meminta pandagan bijak pandai di kalangan rakyatnya kerana beliau tidak mahu memberikan perintah sebelum mendapat nasihat. Di zaman tatkala belum wujud pun istilah separation of power itu, pantas sahaja raja memberikan apa-apa perintah kerana mereka punya kuasa yang mutlak. Namun tidak bagi Raja negeri Saba’. Nah! Jikalau semuanya yang datang daripada orang kafir itu salah, mana mungkin Tuhan memberikan kisah ini kepada Muhammad untuk kita teliti dan tekuni bersama-sama.





Dari sudut ilmu pengetahuan juga, ulama’-ulama silam dengan tradisi dan displin ilmu mereka yang tinggi tidak juga bulat-bulat “mengkafirkan ilmu” walaupun dari Yunani yang kita tahu syirik dalam akidah mereka. Zeus, Hera dan Apollo tidak membutakan mata Ibnu Sina dan Al-Ghazali daripada melihat beberapa mutiara yang datang daripada Socrates, Plato dan Aristotle. Falsafah, lojik dan mantik yang diajari oleh pemikir-pemikir Greek itu dikaji, disaring dan dimurnikan. Ulama Islam tidak bodoh sombong dengan menolak bulat-bulat ilmu dari Barat itu dan dengan megah mendabik dada “cukuplah Al-Quran dan Sunnah buat kami”. Bukan penulis merasakan Al-Quran dan Sunnah itu tidak cukup lantas kita perlu kepada sumber-sumber ilmu yang lain. Demi Tuhan, tidak. Tetapi dengan dorongan Ahsanul Kitab dan KhairulHadi itu lah yang membakar semangat umat Islam zaman tersebut berusaha mengoptimumkan akal mereka dengan mencintai ilmu dan berusaha mencerdikkan umat.




Sebagai contoh mudah Ibnu Sina tidak sahaja berasa sekadar cukup dengan ajaran gurunya Abdullah An-Natili. Malah pada usia yang muda beliau berusaha memahami mantik Aristotle dan membaca Isagoge karangan Porphry. Lantas apa yang dipelajarinya diuji dengan kritikan beliau terhadap mantik Aristotle. Cuba saudara-saudaraku bayangkan. Jika Ibnu Sina tidak ambil endah dengan kitab rujukan falsafah yang ditulis 700 tahun sebelum beliau lahir, mampukah beliau menjadi tokoh ilmuan. Beliau boleh sahaja hidup bersenang lenang lantaran jawatan bapanya sebagai gabenor Samaniah di Turki. Tetapi tidak. Beliau gigih mencari ilmu dan berhubung dengan ilmu walau dari mana pun ilmu itu berasal.




Begitu juga dari aspek sosial dan keadilan (tidak ada kena mengena dengan gejala sosial yang kita faham). Apabila sesorang itu punya faham sosialis dalam ucapannya atau aktiviti politiknya misalnya, jangan pantas kita melabelkan sesorang itu tidak bertuhan dan sebagainya. Kita juga sering di takut-takutkan dengan perkataan ini. Malah sering pula dianggap sebagai musuh negara barangsiapa cenderung kepada sosialisme ini. Namun sedarkah kita, dalam kebanyakan ideologi sosialis itu sudah pun jelas islamisnya. Setidak-tidaknya pada menentang kezaliman e.g. kaum buruh yang dipaksa bekerja lebih masa di kilang-kilang dengan bayaran yang tidak setimpal dan Islam mengajar agar di bayar upah seseorang itu sebelum kering peluhnya. Memandang semua manusia ini sama atau istilahnya perjuangan kelas dan penentangan kelas. Bukankah Nabi dalam khutbah terakhirnya memesan tidak ada beza kaum Arab itu dengan kaum bukan Arab. Tidak harus wujud kasta-kasta dalam masyarakat ini dan ini adalah pandangan alam Islam yang jelas tidak bertentangan pun dengan sosialisma.




Mungkin ada yang merasakan tulisan ini sebagai mendewa-dewakan barat . Tidak wahai saudara-saudarku. Beralih dari Ad-Deen (agama) dan memberhalakan sesuatu yang lain adalah satu bentuk agama juga apabila isme itu dipaksa untuk di anuti. Tidak ada niat penulis melainkan agar kita kembali mengadili dan membuka kembali suasana perbincangan agar menjadi budaya dalam hidup kita sehari-hari. Tulisan ini tidak berguna melainkan kita kembali menekuni wahyu pertama yang turun kepada Nabi kita iaitu Iqra yang membawa makna bacalah. Satu bentuk arahan agung supaya kita tidak sahaja duduk tanpa membuat sesuatu.




Sebagai kesimpulan, penulis ingin mengajak pembaca-pembaca sekelian merenung kembali kepada tajuk tulisan ini iaitu sikap skeptik yang sering timbul dalam diri masyarakat Melayu Islam sendiri yang kadangkala tidak bersikap adil pada ilmu. Kita sering menjadi korban visual apabila sering tewas pada gambaran-gambaran sesetengah pihak yang zalim pada pengetahuan lantaran sikap ego dan malas berfikir tumbuh subur dalam jiwa mereka. Segala-galanya diserahkan kembali kepada Tuhan yang memilik jagat raya ini mudah-mudahan ada kebaikan pada tulisan yang tidak seberapa ini.



Banyaknya udang banyaklah garam,

Laut terbentang beribu batu;

Mencari Ilmu hingga ke Syam

Jangan kau lupa tujuan hidupmu.

Saturday, 1 May 2010

Muntah kuning: reaksi penolakan terhadap clan-clan sejenis.




Seorang ahli perniagaan kelas menengah (baca lessen F) , Yang Mulia. Halim Daud sedang mengemas-ngemas kan mejanya. Setiausaha mudanya cuti hari ini. Kerana itu beliau sedikit kelam kabut. Selalu setiausahanya itu lah yang akan mengemaskan meja itu selepas ia “berselerak”. Tiba-tiba telefon bimbit beliau berbunyi.

(Para penonton..ibu-ibu, bapak-bapak, semua yang ada di sini…nada dering lagu seorang penyanyi dangdut dari seberang)

Dato’ Issa: Hallo! Encik Halim. How are you. Ini Dato’ Issa cakap. Kau orang Pasir Dua Butir kan?

Halim Daud: Ye Dato’. Apa khabar? Bila pulang dari Bandung? Tak. Saya anak jati Kuala Pasir. Lahir di Jalan Ipoh. Diam di Jalan Klang Lama. Ada apa hal Dato’?

Dato’ Issa: Oh begitu. Jadi kau jangan datang Pasir Dua Butir.

Halim Daud: Kenapa Dato’? Apa salah saya?

Dato’ Issa: Arahan Sultan Aminurrashid

Halim Daud: Aiseh man.Yeke Dato’. Susah lah macam ni.

Dato’ Issa: Ya.

Halim Daud: Apa sebenarnya titah Sultan Aminurrashid.

Dato’ Issa: Sultan Pasir Dua Butir, Sultan Aminurashid menegaskan, sesiapa yang tidak bersetuju dengan peraturan larangan berpolitik di masjid dan surau sebaiknya tidak perlu datang ke negeri ini.



Halim Daud: Aiseh man. Ada lagi?

Dato’ Issa : Ada lagi. Jika sekiranya seorang itu tidak bersetuju dengan peraturan yang telah ditetapkan di negeri Pasir Dua Butir ini, maka hendaklah beliau mengelakkan diri daripada datang ke negeri ini, titah baginda hari ini. Oleh itu kau antara orang yang aku banned.

Halim Daud: Damn it.

Dato’ Issa : Hey, you don’t talk shit, I repeat, you don’t talk shit I repeat for the third time, you don’t talk shit. Selepas ini PakcIk kau pun akan aku banned.

Halim Daud: Sorry Dato’. Habis macam mana dia nak mengajar di Universiti Lye Chi Kang? Dia mesti lalu Pasir Dua Butir juga. Lagipun memang la saya kadang tak puas hati dengan siak masjid and imam-imam yang sombong tu. Ada sekali tu, saya dapat pojek pasang lampu semua rumah ibadat negeri Pasir Dua Butir. Saya jumpa sami Buddha and Hindu, saya jumpa paderi Kristian saya jumpa orang masijd. Sami dengan paderi tu lagi soleh akhlaknya dari orang-orang masijd. Macam mana saya tak puas hati dengan undang-undang masjid ni.

Dato’ Issa: itu aku tak kira. Tapi tak apa. Aku akan sediakan pas masuk harian. Wajib cop tiap-tiap hari pada District Officer. Jangan ingkar..Kalau tak aku paksa Tan Sri Lye berhentikan Pakcik kau kerja dari Universiti.

Halim Daud: Oh My God. Please la Dato’. Saya nak cari makan. Pakcik saya pun nak cari makan. Susah lah Dato’ nak cop-cop ni. Saya dan Pakcik saya bukan ada masa Dato’. Lagipun Dato’ bukan tak kenal saya . Datuk saya, bapak Pakcik saya kan orang kuat Sungai Timah.

Dato’ Issa: Saya ada cakap pasal Sungai Timah? Saya cakap Pasir Dua Butir kan. Jangan masuk. Kalau tidak aku report.

Halim Daud: Sungai Timah dalam negeri Pasir Dua Butir Dato’.

Dato’ Issa: Sungai Timah dalam Pasir Dua Butir? Itu pembahagian kawasan ADUN lama. Sekarang aku dah tukar. Susah sangat nak menang kawasan tu. Aku pecahkan kawasan tu. Biar yang sokong pembangkang pergi ke kawasan lain.

Halim Daud: Ha? Betul ke ni Dato’. I tak tau pun.

Dato’ Issa: Ni nak bagi tau la ni.

Halim Daud: Tak kan tak ada notis seminggu dua Dato'?

Dato’ Issa: Notis ada dalam newspapers pemerintah. Awak jangan baca media-media baru ni. Penipu je semua tu. Mereka tu dah tak ada kerja, duduk rumah buat cerita macam-macam. Macam si Raja Putra tu. Bukan saya tak tau dia tu. Satu sekolah dulu di MKKC.

Halim Daud: Saye baca juga newspapers pemerintah Dato’. Tapi part nombor ajaib dengan kuda je.

Dato’ Issa: Baik-baik. Yang penting sekarang ni masuk Pasir Dua Butir lapor dulu. Jangan menderhaka.

Halim Daud: Ok. Saya report kat mana Dato’? Pasir Dua Butir dengan Kuala Pasir mana ada kastam atau imigresen.

Dato’ Issa : Niat dulu apa-apa hal. Niatnya begini. Sengaja aku masuk Pasir Dua Butir dan tak main politik di mesjid, kuil atau tokong. Ha macam tu caranya. Kalau nak cantikkan lagi tambah sikit kat belakang: kerana titah Sultan Aminurashid.

Halim Daud: Baik Dato’. Chivas Regal ada lebih Dato’? Saya nak buat parti sikit la.



Dato’ Issa: Chivas Regal? Saya tak minum. Saya tak minum. Ada nampak saya minum. Saya tak minum. Saya tak minum. Jangan percaya blog-blog ni. Saya tak minum. Ada nampak saya minum? Saya tak minum. Saya tak minum. Erk ekkk ekkk. Berrr berrrr….( bunyi seolah-olah keluar sesuatu dari mulut. Mungkin buih putih?

Halim Daud: Dato’,Dato’? Are You OK Dato’? Dato’?

Dato Issa: Eh sorry-sorry. Saya kena sawan la kejap tadi. Saya memang tak boleh dengar orang sebut-sebut nama liquor ni. Asal dengar je sawan saya mula lah datang. Yela consultant saya, UCPO tu dah pesan, kalau ada orang tanya bab-bab liquor ke perempuan ke kuda ke, jangan mengaku. Lagi bagus kita divert pula cakap orang lain yang minum, orang lain yang main perempuan, orang lain yang main kuda. Oh ya banyak je lagi dalam stor saya tu. Berapa barrel saya order itu hari. Mari lah datang ambil.

Halim Daud: Hush terkejut saya. Ingatkan Dato’ kena renjatan elektrik tadi. Sawan rupanya. Ha baik-baik. nanti saya datang. Pukul berapa Dato’?

Dato’ Issa: Macam biasa. Tapi datang jangan la sorang je. Bawak la sorang dua pemanis.

Halim Daud: itu janga risau Dato’. Macam lah tak kenal saya. Baik Dato’. Ini malam saya datang. Assalamualaikum.

Dato’ Issa: Waalaikumsalam.

Yang Mulia Halim Saad terus mengemaskan mejanya. Mujur malam ini malam minggu. Kalau nak pening-pening sedikit malam ini tidak menjadi masalah. Selesai mengemas suis lampu di padam. Dia memutar-mutarkan kunci motokar di hujungng jari telunjuk sambil bersiul-siul lagu dangdut artis negara seberang. Walaupun mulanya risau juga di banned oleh clan-clannya sendiri, tapi dia berasa lega. Kerana di negara ini segalanya mungkin. Yang Mulia Halim Saad tersenyum ketika menuruni tangga sambil mulutnya masih bersiul-siul.

Friday, 23 April 2010

Solat Jumaat,Cinta hari-Hari Rusuhan dan PRK Ulu Selangor.

Solat Jumaat

Hari ini solat Jumaat di masjid Ulya Tal. Tak pernah aku solat di sini. Jauh naik ke bukit. Cuba nak cari tempat solat lain. Yang tidak lazim. Khutbah Jumaat mengenai syaitan ,musuh manusia paling nyata. Syaitan manusia dan syaitan jin. Bahayanya kedua-dua syaitan ini tapi Tuhan dahulukan syaitan manusia dalam surah An-Nas. Mungkin kerana syaitan manusia ini syaitan yang mungkin berada di sekeliling kita. Somebody we might call friends. Mungkin boleh jadi orang paling rapat dengan kita. Mungkin bekas kekasih kita? Hahahaha..Pertama kali aku dapat tumpukan perhatian ketika khutbah. Selalunya selepas 2 minit aku akan merewang entah ke mana. Mungkin sampai ke Highgate Cemetery, mungkin sampai ke Gombak, mungkin juga sampai ke Pasar Karat belakang Ocean Ipoh. Bagusnya khatib di sini mereka tidak menggunakan teks. Mereka betul berpidato (berkhutbah) bukan sekadar membaca khutbah. Aku juga tak pernah tidur ketika khutbah di sini. Selepas khutbah ada seorang pak tua memberi peringatan. Mengajak manusia berfikir tentang syaitan. Mereka yang zalim ke atas penduduk Palestin itu lah syaitan. Berdegar-degar pak tua memberi ucapan. Mujur tidak ada apa berlaku selepas itu. Harap pak tua selamat sampai ke rumah.Maklumlah. Di negara "Islam" ini ada juga barua-baruanya.


Cinta hari-Hari Rusuhan

Novel hadiah daripada sahabat ku Irfan Abad sudah aku temui. Entah bagaimana boleh sampai ke rumah sebelah tak pula aku ketahui. Setahuku buku aku semua tak punya kaki. Hujan Pagi pun tak punya kaki. Al-Wafi Syarah Matan Arabin pun tak punya kaki, Animal Farm pun tak punya kaki. Entah lah. Kepertanggungjawaban itu yang aku lihat tidak ada. Mujur lah tidak tercampak ke mana-mana. Jika tidak menangis tidak berlagu lah aku sepanjang hidup di sini. Terima kasih kepada teman-teman yang simpati dan atas doa kalian. Begitu juga kepada Sepul yang ternampak kelibat buku ini. Rasa mahu buat seleberasi bersama teman-teman dengan Anggur Merah cap OrangTua. Tapi takut pula nanti ada yang muntah-muntah dan menuduh aku sesat. Takut juga kalau ada yang ingin jadi wakil rakyat nanti terlepas peluang pula. Perlu disusun buku-buku yang bersepah ini. Sudah tak lalu mata aku melihat selonggok di atas meja. Rak sudah ada. Hampir-hampir di tipu Arab bermulut manis. Mujur ada teman yang pernah membeli.


PRK Ulu Selangor

Hari Ahad hari membuang undi bagi Pilihanraya Kecil Ulu Selangor. Tak dapat juga ikut dari dekat. Aku juga tak mahu komen melampau kerana ada orang sudah nasihat. Cuma bagi ku dua-dua punya peluang. Zaid Ibrahim punya peluang. Kamalanathan @Kamal @Alan @Nathan punya peluang. Zaid tokoh pengamal undang-undang asal Kelantan lulusan ITM. Bekas pemimpin UMNO dan pernah menjadi wakil rakyat Kota Bharu. Cuma terpalit isu arak dan judi. Hampir tergelak mendengar hujahan ini. Kamalanathan calon MIC. Fasih berbahasa Melayu. Orang muda yang bersemangat. Cuma ada timbul cakap-cakap tentang sah laku sijilnya dari universiti. Betul atau tidak aku tak ambil pusing. Cuma siakap senohong gelama ikan duri,cakap bohong lama-lama jadi pak Menteri oooops…Tidak-tidak. Aku cuba jadi seneutral yang mungkin. Kedua-dua calon ada peluang. Siapa kuat bekerja boleh menang. Siapa sambil lewa akan kalah.

Monday, 19 April 2010

PENGUMUMAN!!!!!



PENGUMUMAN!!!!!

PERHATIAN KEPADA PARA PELAJAR MALAYSIA DI IRBID, JORDAN YANG ADA MENGAMBIL NOVEL CINTA HARI-HARI RUSUHAN KARANGAN FAIZAL TEHRANI SILA PULANGKAN SEMULA KEPADA SAYA KERANA BUKU TERSEBUT ADALAH HADIAH DARI SAHABAT SAYA.SAYA BAGI TEMPOH SEMINGGU SEBELUM TINDAKAN YANG LEBIH DRASTIK AKAN SAYA LAKUKAN.DIULANG SEKALI LAGI TOLONG PULANGKAN BUKU TERSEBUT…….

Thursday, 18 March 2010

Penulis muda...




Samad tehenti seketika di tangga batu pejabat surat khabar tersebut. Tangga batu yang punya lima anak tangga itu diperhati cermat-cermat. Dia terlihat putung rokok yang sudah dipijak betul-betul di tepi anak tangga yang pertama. Diambil putung tersebut dan dibuang ke dalam tong sampah yang sudah sedia ternganga. Tangannya ditepuk-tepuk bagi menghilangkan sisa-sisa debu. Baju putihnya di belek-belek kalau-kalau tidak kemas. Sebelum meneruskan langkah, dia meletakkan tangan di atas dadanya yang berdebar-debar. Rasa-rasa mahu terkeluar jantungnya yang seketul itu. Samad meneruskan langkah dan masuk ke dalam pejabat. Bunyi typewriter dan asap rokok segera ditangkap oleh telinga dan hidung Samad.






Di dalam pejabat para petugas sedang sibuk dengan hal masing-masing. Seorang budak pejabat berbaju kelabu taik anjing sedang menyapu sampah dan mengosongkan kotak-kotak abu rokok. Ada dua orang peon sedang bercakap dengan telefon. “Apa mau?”, sergah budak pejabat. Samad sedikit meloncat apabila ditanya soalan yang tiba-tiba itu. Hampir-hampir dia terlepas kertas-kertas dari pegangannya. “Sssaya mahu berjumpa dengan Encik Rahim. Saya mahu menghantar rencana”, jawab Samad separuh terketar. “Duduk sini. Jangan sibuk-sibuk. Sini office tau. Bukan rumah awak”, jawab budak pejabat lagi. Kali ini agak tinggi nada suaranya. Samad menundukkan kepala sahaja tanda faham dengan arahan budak pejabat berkenaan. Dia duduk di atas kerusi kayu panjang betul-betul di hadapan pintu utama. Bunyi kipas berputar laju sedikit tenggelam dengan bunyi typewriter. Samad mengesat peluh di dahinya. Pejabat kayu itu agak berbahang. Ada dua orang pekerja yang hanya bersinglet. Peon yang tadi sedang bercakap dengan telefon kini sedang menulis sesuatu di dalam buku lejar yang besar seperti buku kira-kira taukeh Ah Leong pemilik kedai runcit di kawasan rumah Samad di Kampung Melayu. Samad kembali memerhati keadaan pejabat akhbar berkenaan. Lantai papannya mengeriot sedikit setiap kali dia mengalihkan punggungnya. Kurang lebih 15 minit menunggu namanya di panggil oleh seorang gadis dari pintu sebuah bilik pejabat sambil menggamit tangannya memanggil Samad.






“Samad Ismail. Mari”. Wanita itu barangkali pembantu ketua pengarang. Umurnya dalam 20an barangkali. Dadanya yang sudah berhenti berdebar-debar tadi kembali berdub-dab dub dab macam enjin motobot. “Selamat pagi tuan”, Samad menunjukkan kan tanda hormat pada ketua pengarang berkenaan sebaik memasuki biliknya. Gadis tadi keluar selepas meletakkan secawan kopi di atas meja ketua pengarang. “Selamat pagi. Duduk. Intan khabarkan kau mahu menghantar rencana”. Baru lah Samad mengetahui pembantu ketua pengarang itu Intan namanya. “Iya tuan. Saya ada menulis sebuah rencana dan sebuah cerpen”, jawab Samad sambil menganggukkan kepalanya. “Sudah berapa lama kau menulis? Pernah kau menghantar tulisan kau pada mana-mana akhbar?”, tanya ketua pengarang sambil menghidupkan rokok cap Ikan Emasnya. Asap rokok berkepul-kepul di dalam bilik berkenaan. “Pernah tuan. Saya pernah menghantar rencana saya pada syarikat ini dan 2 cerpen pada Straits Times tuan. Tapi tak pernah pun tersiar”, jawab Samad kembali. “ Aku sebenarnya setiap hari tidak kurang 10 cerpen aku terima. Tapi tak semuanya dapat ku baca. Kadang-kadang terbiar sehingga berdebu”, jawab ketua pengarang. Samad menundukkan kepala sambil menjeling plak nama di atas meja ketua pengarang. ‘ABDUL RAHIM KAJAI’. Terpampang nama ketua pengarang berkenaan. Samad terus tunduk membisu. “Sebenarnya tuan, saya mahu pohon kerja juga tuan. Kalau dapat menjadi budak pejabat pun tidak apa tuan”.






Rahim Kajai hanya tersengih. Rokok cap Ikan Emasnya disedut dalam-dalam. “Kau pernah sekolah?”, tanya Rahim. “Pernah tuan. Saya baru selesai Senior Cambridge tuan”, jawab Samad. “ Baik. Aku terima kau sebagai calon pemberita di sini dengan gaji $5. Aku akan letakkan kau dalam tempoh percubaan selama 3 bulan. Kalau kau rajin dan laporan kau bagus kau boleh terus di sini. Jika tidak aku tendang kau keluar”, tegas Rahim. Samad yang tadi malu-malu kucing dan menundukkan pandangannya terus berdiri dan menggengan tangan Rahim. Perkataan terakhir yang keluar dari mulut Rahim sebentar tadi tidak langsung diingatnya dek kerana mendapat pekerjaan itu lebih aula dan utama bagi Samad. Dia berjanji akan tekun dan bekerja keras. Entah berapa kali dia mengucapkan terima kasih kepada Rahim sebelum keluar dari pejabat berkenaan. Hatinya tadi yang umpama motobot kini berbunga-bunga riang bagai seorang gadis dipinang orang. Dia akan mula bekerja esok. Sememangnya sudah lama juga dia menganggur. Berita ni harus segera dikhabarkan pada ayahnya setibanya di rumah nanti. Samad terus menerus tersenyum sambil menunggu bas tiba.



*Cerita ini adalah rekaan semta-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang sudah mati atau pun masih hidup. Jikalau ada pun hanya kebetulan semata-mata.

Monday, 22 February 2010

Andai aku punya Salina.......

Sebelum tidur saya sempat membelek blog seorang teman baru Pei Pan. Bercerita tentanggadis, kekasih lama. Kekasih ini dibidankan oleh Pak Samad Janggut. Saya pernah bersama dengan kekasih lama ini ketika tingkatan 1, tingkatan 5 dan ketika bulan puasa tahun sudah.





Kekasih ini tidak diswastakan kepada orang-orang atau tauke-tauke tertentu. Kekasih ini milik awam. Sesiapa juga yang tidak memilih bulu dan kulit semata-mata harus memiliki kekasih seperti ini. Kekasih ini walau di pandang hina oleh orang, namun hatinya sesuci embun pagi yang menitis di atas daun-daun hijau yang muda lagi segar.





Baginda Rasul pernah menyampaikankan pesan, kekasih seperti ini sementalahan hatinya baik, sanggup memberi minum seekor anjing yang kehausan dengan kasutnya sendiri, Syurga juga balasannya di hari kemudian. Kekasih seperti ini namanya Salina. Kekasih ini bukan ustazah atau seorang doktor gigi. Kekasih ini adalah watak-watak mangsa keadaan yang punya sekeping hati yang mulia. Saya tujukan sajak ini untuk salina dan Salina di luar sana.



(p/s-terima kasih Pei Pan beri peluang saya melepas rindu pada Salina)





Kalau lah aku bertemu Salina

Tak akan aku sia-siakan nasib mu terbiar di lorong-lorong gelap

Menjadi makanan batin pemuda lahap

Berhidung belang berkeris tumpul panjang





Andai aku punya Salina

Dosa ku membiar kau di baham Abdul Fakar

Manusia rakus tidak berguna walau sekupang

Menyedut madu mu Salina namun tuba yang dipulang





Sekiranya aku punya Salina

Akan ku belai rambutmu yang hitam sehitam tanah pohon zaitun

Aku ku sisir ikal mu bagai sudah tiada lagi hari esok bagi ku

Akan ku hiaskan bintang kejora menjadi kerongsang kebayamu





Kampung Kambing saksi seksa mu Salina

Kilang air batu berhembus bagai sama mengeluh jerih mu Salina

Namun kau kembali kuat kerana Hilmy ( bagai darah dan daging mu sendiri)

Namun kau terus gagah kerana Nadihah ( bagai saudara kandung mu sendiri)





Tangan ini tak mampu mengait awan menjadi selendang mu

Atau mengukir istana batu layak Khazanah Petra menjadi singgahsana mu

Atau membina kota seteguh Jerash menjadi taman permainan mu

Namun andai engkau sesat di Wadi Rum tangan ini mampu memimpin mu





Aku pernah bertemu salina

Berkongsi hati berkongsi mimpi

Namun hilang diragut masa

Patah tak tumbuh hilang tak berganti





Andai salina datang kembali

Atau ku temu Salina yang lain

Hati ku tidak Gerhana lagi

Hamba bersumpah tiada yang lain

Monday, 8 February 2010

Menunggu Penuh Debar...

Tidak sampai 24 jam dari sekarang, Mahkamah Pesekutuan,mahkamah tertinggi dalam Malaysia akan membuat keputusan bersabit kes Saudara Ir. Nizar Jamaludin VS Saudara Dr Zambry A. Kadir. To be or not be. Begitu lah agaknya yang sedang dikira, dimunajat dan didoa oleh kedua-dua Menteri Besar Perak Darul Ridzuan (1 Malaysia but 2 Menteri Besar). Walaupun saya bukanlah orang yang selayaknya bercakap soal politik Perak kerana pertamanya saya bukan orang Perak dan tidak punya LLB untuk bercakap soal keputusan mahkamah esok, jadi selaku orang-orang biasa, saya tidak terikat dengan apa-apa sekatan. Jadi kalau ada yang berasa kurang senang dengan tulisan saya ini, JawatanKuasa Displin PAS tak boleh lah nak kena kan tindakan terhadap saya huhu.






Sebelum saya becakap soal esok, rasa saya sudah ramai yang mengetahui apa sebenarnya yang terjadi di negeri Perak ataupun ramai juga yang buat-buat tak tahu (tak begitu Dato’ Nazri). Saudara Ir. Nizar Jamaludin telah diberikan kepercayaan oleh semua ADUN Pakatan Rakyat untuk menjadi Menteri Besar walaupun PAS memiliki jumlah kerusi paling sedikit berbanding PKR dan DAP. Namun ketokohan dan karismatik yang ada pada Saudara Nizar menutup mulut pelbagai pihak. Beliau bukan sahaja boleh diterima oleh orang-orang Melayu, malahan sokongan daripada masyarakat Tiong Hua dan India juga amat-amat memberangsangkan. Sungguhpun ada telahan daripada banyak pihak terutama daripada UMNO yang cuba mengapi-apikan keadaan ekoran pemberian sejumlah tanah kepada penduduk kampong tersusun yang majoritinya kaum Cina, ternyata fitnah yang dilemparkan itu tidak berhasil. Umum yang mahu tahu,sedar tanah-tanah yang diberikan adalah kepada penduduk yang sudah lebih dari satu generasi diam di situ. Bukan tanah-tanah baru yang diberi kepada chukong-chukong cina yang datang mahu bina kondo dan rumah-rumah banglo. Jadi tidak timbul masalah.






Kemuncak daripada pelbagai cemuhan dan kritikan yang datang daripada UMNO, satu rampasan kuasa telah dibuat yang diketuai oleh Perdana Menteri sendiri. Saya tidak mahulah menyatakan Perdana Menteri yang mana tapi saudara-saudari pasti ingat wajah beliau membuat pengumuman di kaca TV bersama dengan ADUN ala Ibrahim Ali berbunga riang menyeghonyeh di belakang PM. Adik saya yang paling kecil itu pun bertanya “Kenapa kepala dia shiny-shiny along” nak menunjukkan betapa riang, angkuh dan sombongnya mereka ketika itu. Sungguhpun dari segi undang-undang hanya ada tiga sahaja cara untuk mengosongkan jawatan Menteri Besar. Pertama Menteri Besar itu sendiri letak jawatan. Kedua undi tidak percaya yang mesti dilakukan di dalam dewan dan ketiga pembubaran Dewan Undangan Negeri. Sungguhpun undang-undang menyatakan sedemikian rupa, apalah erti undang-undang pada mereka yang tidak berhati perut ini. Maka bermula era pentadbiran Saudara Zambry A.Kadir ( bukan A.Malik ye Udet). Walaupun saya selalu nampak saudara Zambry ini mengambil anaknya waktu sekolah dahulu (kebetulan anak beliau satu sekolah rendah dengan saya), tak tersangkalah oleh saya dia akan menjadi MB Perak pada tahun 2009. Kalau saya tahu, sebelum UPSR saya dah isi borang UMNO.






Angin rebut dan sepoi-sepoi bahasa pun mula silih berganti di Perak. Pelbagai kisah berjaya dinukilkan sepanjang pemerintahan kudeta tersebut buat renungan generasi akan datang. Antaranya, mengetahui Pakatan Rakyat masih lagi punya majoriti dalam dewan mereka telah bersidang di bawah pokok dek kerana DUN dikunci. Tidak pernah terjadi dalam sejarah dunia, ada manusia yang mengunci DUN. Malaysia memang suka menempa rekod-rekod yang memalukan seperti ini. Saudara Nizar pun tidak kurang hebatnya. Sebaik sahaja kawasan Bukit Gantung kosong ekoran kematian Ahli Parlimennya, saudara Roslan Shahrom, sekali lagi Nizar membuktikan beliau masih menjadi favorite rakyat apabila memenangi pilihanraya kecil kawasan berkenaan dengan majoriti yang besar. Terduduklah kaki-kaki konspirator yang cuba memalitkan tuduhan derhaka dan kuda Cina kepada Nizar.






Nizar telah memfailkan kepada mahkamah dan meminta mahkamah membuat keputusan siapa MB yang sah. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telang membuat keputusan bahawa Nizar lah MB yang sah. Namun Zambry telah membuat rayuan dan esok keputusan Nizar VS Zambry akan diketahui. Kalau Nizar menang pasti bunyi headline dalam Utusan berbunyi begini “Zambry gagal teruskan cita-cita perjuangan rakyat”. Telahan saya lah. Saya bukan ketua editor di Utusan Malaysia. Namun apa pun keputusan esok (pagi ini), sudah ada yang membuat beberapa ramalan. Antaranya wartawan kegemaran saya Pak Sayuti Omar dalam blognya mengatakan Nizar tidak akan menang memandangkan mahkamah kini memanag milik pemerintah. Begitu juga guru saya Dr. Aziz Bari. Beliau berpendapat Perak akan lebih kucar kacir jika Nizar menang. Kerana banyak keputusan yan telah di buat Zambry sepanjang beliau menjadi MB termasuk meluluskan belanjawan 2 jam Perak 2010. Ini akan menggoyahkan keyakinan para pelabur yang sudah pun memulakan urusniaga mereka sejak Zambry memerintah.






Saya juga berpendapat sedemikian rupa. Kita harus akui, Pakatan Rakyat sememangnya sedang mengalami kecederaan yang serius. Terjahan kasar daripada pelbagai pihak menyebabkan Pakatan Rakyat gagal berfungsi dengan baik. Ditambah pula dengan faktor dalaman apabila beberapa munkee-munkee yang mula bersuara dalam PR seolah-olah menunjukkan PR sedang kucar kacir. Sehebat-hebat Wayne Rooney pun kalau sudah ditackle sampai nak jalan pun terhencut-hencut pasti tidak akan mampu menjaringkan gol. Adalah lebik baik ADUN,MP dan semua ahli PR melakukan gerak kerja yang lebih drastik di kawasan masing-masing. Saya nyatakan lebih drastik bagai mahu runtuh dunia ini. Kerana serangan ini bukan sekadar serangan meriam buluh. Ini serangan bom nuklear. Jalankan lebih banyak program penerangan. Buat checklist tentang manifesto yang masih belum terlaksana semenjak 8 Mac 2008 yang lalu. Lupakan projek-projek padang golf (ooops sori Dato Zaharin) yang cuba nak dibolot buat masa ini. Pastikan mereka yang layak mengundi sudahpun berdaftar. Pastikan setiap rumah dalam kawasan masing-masing pernah mendegar dan kenal YB-YB mereka. Jangan tunggu pilihanraya. Ingat kita hanya punya setahun lagi masa untuk PRU 13. Sekiranya PR masih lagi gagal dalam meyakinkan rakyat bahawa merekalah “Government In Waiting”, percayalah sesuatu yang buruk akan berlaku. Rakyat akan berpendapat, kalau negeri pun mereka tidak dapat urus dengan baik inikan pula Malaysia. Kita memahami kalau media arus perdana memainkan pelbagai jenis serangan yang bertubu-tubi. Namun jika PR gagal dengan serangan ini, bermakna PR masih belum layak untuk memerintah. Kerajaan yang baik bukan sahaja kerajaan yang baik urus tadbirnya tetapi juga kerajaan yang kuat menghadapi segala macam mehnah (ujian) dari luar dan dalam. Bukan sekadar menunding jari menyalahkan si polan dan si polan.






Soal-muzakarah dengan UMNO, isu nama Allah, demonstrasi SEDAQ dan perbicaraan Anwar Ibrahim tidak harus dijadikan alasan untuk bersikap defensive. Susun gerakan massa agar isu-isu yang timbul ini tidak meleka parti aktivis. Kita tahu ini semua diversion. Para pimpinan PR bukan calang-calang manusia. Kalau nak dibandingkan dengan UMNO BN jauh lebih tokoh pemimpin-pemimpin ini. Namun para pedokong perlu ingat, kita tidak pula harus meletakkan 100% tanggungjawab pada pimpinan. Mereka tidak akan larat membawa agenda ini dengan sekadar ceramah dan ceramah. Ali Shariati dan Ayatollah Khomeini memang menjadi artikek dalam Revolusi 79 Iran. Namun rakyat tidak pula berlepas tangan membiarkan dua tokoh itu bekerja sendiri. Para mahasiswa, ahli politik, kaum buruh, para petani dan rakyat kebanyakan juga sama-sama bergerak sehingga terhambatnya Shah Iran dari Tehran. Ini semangat yang perlu disemai dan dibumikan oleh pendokong Reformasi. Kita sudah tidak punya banyak masa.






Saya sayang negeri Perak seperti saya sayang tanah tumpah darah saya juga. Di negeri inilah saya boleh katakan saya membesar. Kurang lebih 5 tahun saya bersekolah di Perak. Negerinya aman, tenang. Sibuk. Masih sibuk. Tapi ada ciri-ciri atestika yang masih dikekalkan. Bangunan-bangunan lama yang masih digunapakai di sekitar pekan lama terus lagi berdiri kukuh. Ipoh sebagai contoh masih lagi bandar yang klasik dan penuh dengan nila-nilai sentimental. Siapa yang tidak percaya tontonlah Sepet dan Gubra. Cinta saya juga berada di Ipoh. Jadi saya ingin melihat Perak kekal stabil. Saya akan berada di depan laptop menanti keputusan esok pagi dengan penuh debaran.