Thursday, 20 May 2010

Mengapa skeptik: Sessi kenal orang lain.


“Korang semua ni buat apa tengok blog-blog kapiaq ni”,saran seorang Tok Guru Tareqat kepada anak-anak muridnya.



“Buat apa kau letak gambar Karl Marx dan Lenin ni. Mereka beruda ni Yahudi tau tak”, tegur seorang pelajar kepada sahabat sekuliahnya.



“Buat apa ikut pendapat orang lain. Dalam Islam ni semua dah ada”, pesan seorang Ustaz dalam kelas.




Mungkin kita biasa mendengar dialog-dialog di atas. Mungkin daripada televisyen. Mungkin daripada Youtube. Mungkin dari teman-teman serumah. Mungkin juga kita sendiri pernah mengucapkan kata-kata sedemikian. Ada bercakap atas dasar Islam itu tinggi tidak ada yang tinggi daripadanya. Ada pula yang bercakap kerana marahkan Zionis yang sehingga ke hari ini membantai saudara-saudara kita di Palestin. Boleh jadi juga kerana mereka ini (atau kita sendiri) begitu allergic dengan manusia bukan Islam maka kita menyimpulkan apa juga yang datang daripada mereka adalah jahat dan apa juga yang jahat datang daripada mereka.




Penulis sendiri tidak gemar menyatakan benar ataupun salah semudah-mudah itu kepada sikap skeptic ini yang rata-rata wujud dalam kebanyakan masyarakat. Penulis sedar kita terkadang terlalu cepat melatah apabila datang sesuatu yang tidak sama dengan apa yang kita imani atau percayai selama ini. Boleh jadi juga sikap ini timbul kerana kita mempercayai Yahudi dan Nasrani ini sering kali membuat masalah kepada nabi-nabi kita seperti dinyatakan di dalam Al-Quran. Namun jika kita menyemak dan membaca, Al-Quran sendiri mengajar pembacanya bagaimana cara kita bersikap terhadap satu-satu tuduhan, pandangan, pendapat yang datang walaupun daripada seorang yang kita kenal fasiq. Malah Al-Quran juga mengiktiraf pandangan yang benar datang daripada seorang Penyembah Matahari seperti terkandung di dalam surah An-Namlu (27: 34):

Raja Wanita itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja apabila masuk ke sesebuah negeri, mereka merosakkannya dan menjadikannya penduduk yang mulia menjadi hina dina. Sedemikian itulah mereka akan lakukan”.




Kata-kata ini keluar daripada raja negeri Saba’ ketika itu apabila mendapat surat daripada Nabi Sulaiman. Raja itu belum pun Islam. Namun padangannya terhadap raja-raja yang zalim sebelumnya dirakamkan di dalam Al-Quran. Malah dalam ayat sebelumnya juga raja tersebut mencemar duli dengan meminta pandagan bijak pandai di kalangan rakyatnya kerana beliau tidak mahu memberikan perintah sebelum mendapat nasihat. Di zaman tatkala belum wujud pun istilah separation of power itu, pantas sahaja raja memberikan apa-apa perintah kerana mereka punya kuasa yang mutlak. Namun tidak bagi Raja negeri Saba’. Nah! Jikalau semuanya yang datang daripada orang kafir itu salah, mana mungkin Tuhan memberikan kisah ini kepada Muhammad untuk kita teliti dan tekuni bersama-sama.





Dari sudut ilmu pengetahuan juga, ulama’-ulama silam dengan tradisi dan displin ilmu mereka yang tinggi tidak juga bulat-bulat “mengkafirkan ilmu” walaupun dari Yunani yang kita tahu syirik dalam akidah mereka. Zeus, Hera dan Apollo tidak membutakan mata Ibnu Sina dan Al-Ghazali daripada melihat beberapa mutiara yang datang daripada Socrates, Plato dan Aristotle. Falsafah, lojik dan mantik yang diajari oleh pemikir-pemikir Greek itu dikaji, disaring dan dimurnikan. Ulama Islam tidak bodoh sombong dengan menolak bulat-bulat ilmu dari Barat itu dan dengan megah mendabik dada “cukuplah Al-Quran dan Sunnah buat kami”. Bukan penulis merasakan Al-Quran dan Sunnah itu tidak cukup lantas kita perlu kepada sumber-sumber ilmu yang lain. Demi Tuhan, tidak. Tetapi dengan dorongan Ahsanul Kitab dan KhairulHadi itu lah yang membakar semangat umat Islam zaman tersebut berusaha mengoptimumkan akal mereka dengan mencintai ilmu dan berusaha mencerdikkan umat.




Sebagai contoh mudah Ibnu Sina tidak sahaja berasa sekadar cukup dengan ajaran gurunya Abdullah An-Natili. Malah pada usia yang muda beliau berusaha memahami mantik Aristotle dan membaca Isagoge karangan Porphry. Lantas apa yang dipelajarinya diuji dengan kritikan beliau terhadap mantik Aristotle. Cuba saudara-saudaraku bayangkan. Jika Ibnu Sina tidak ambil endah dengan kitab rujukan falsafah yang ditulis 700 tahun sebelum beliau lahir, mampukah beliau menjadi tokoh ilmuan. Beliau boleh sahaja hidup bersenang lenang lantaran jawatan bapanya sebagai gabenor Samaniah di Turki. Tetapi tidak. Beliau gigih mencari ilmu dan berhubung dengan ilmu walau dari mana pun ilmu itu berasal.




Begitu juga dari aspek sosial dan keadilan (tidak ada kena mengena dengan gejala sosial yang kita faham). Apabila sesorang itu punya faham sosialis dalam ucapannya atau aktiviti politiknya misalnya, jangan pantas kita melabelkan sesorang itu tidak bertuhan dan sebagainya. Kita juga sering di takut-takutkan dengan perkataan ini. Malah sering pula dianggap sebagai musuh negara barangsiapa cenderung kepada sosialisme ini. Namun sedarkah kita, dalam kebanyakan ideologi sosialis itu sudah pun jelas islamisnya. Setidak-tidaknya pada menentang kezaliman e.g. kaum buruh yang dipaksa bekerja lebih masa di kilang-kilang dengan bayaran yang tidak setimpal dan Islam mengajar agar di bayar upah seseorang itu sebelum kering peluhnya. Memandang semua manusia ini sama atau istilahnya perjuangan kelas dan penentangan kelas. Bukankah Nabi dalam khutbah terakhirnya memesan tidak ada beza kaum Arab itu dengan kaum bukan Arab. Tidak harus wujud kasta-kasta dalam masyarakat ini dan ini adalah pandangan alam Islam yang jelas tidak bertentangan pun dengan sosialisma.




Mungkin ada yang merasakan tulisan ini sebagai mendewa-dewakan barat . Tidak wahai saudara-saudarku. Beralih dari Ad-Deen (agama) dan memberhalakan sesuatu yang lain adalah satu bentuk agama juga apabila isme itu dipaksa untuk di anuti. Tidak ada niat penulis melainkan agar kita kembali mengadili dan membuka kembali suasana perbincangan agar menjadi budaya dalam hidup kita sehari-hari. Tulisan ini tidak berguna melainkan kita kembali menekuni wahyu pertama yang turun kepada Nabi kita iaitu Iqra yang membawa makna bacalah. Satu bentuk arahan agung supaya kita tidak sahaja duduk tanpa membuat sesuatu.




Sebagai kesimpulan, penulis ingin mengajak pembaca-pembaca sekelian merenung kembali kepada tajuk tulisan ini iaitu sikap skeptik yang sering timbul dalam diri masyarakat Melayu Islam sendiri yang kadangkala tidak bersikap adil pada ilmu. Kita sering menjadi korban visual apabila sering tewas pada gambaran-gambaran sesetengah pihak yang zalim pada pengetahuan lantaran sikap ego dan malas berfikir tumbuh subur dalam jiwa mereka. Segala-galanya diserahkan kembali kepada Tuhan yang memilik jagat raya ini mudah-mudahan ada kebaikan pada tulisan yang tidak seberapa ini.



Banyaknya udang banyaklah garam,

Laut terbentang beribu batu;

Mencari Ilmu hingga ke Syam

Jangan kau lupa tujuan hidupmu.

6 comments:

Mursyid said...

Doctors in Cuba, a socialist country are given the same wage as other government workers. But in return, they get respect that they thoroughly deserve.

Doctors in Malaysia are ill-treated and often disrespected by other medical professionals.

We can brag about Malaysia having many muslims and prominent muslim scholars, but in terms Man-management and discipline, Socialist countries is much more better.

Mursyid said...

*Correction

Socialist Countries are much more better

psychedelicmundo said...

yep..damn right..

psychedelicmundo said...

Viva Cuba libre..

Pei Pan said...

Itu sikap kita yang mudah memberi label pada orang dan masyarakat kita juga terkenal suka mengkafirkan orang itu, orang ini yang tidak sehaluan dengan mereka sedangkan pandangan yang tidak sehaluan itulah pandangan yang bernas.

Mereka kadang-kala tidak banyak membaca tapi lebih suka menghentam, tidak memahami intipati tapi tunjuk-tunjuk pandai. Selagi intipati tidak sehaluan, selagi itulah mereka sukar menerima walaupun kadang-kala idea tersebut lebih baik dari sebelumnya.

Jangan suka menghakimi orang lain - itu sahaja.

Nasha Islem said...

Nadiah likes this times 3245644532545 :D