Saya jarang menulis. Saya bukanlah berbakat dalam dalam bidang penulisan. Saya tidak pernah dapat A dalam karangan ketika di bangku sekolah dulu kecuali ketika peperiksaan-peperiksaan awam yang kita pun tidak pasti bagaimana skema jawapan sesuatu kertas itu di nilai. Jadi saya fikir lebih baik saya tidak menulis.
Sasterawan negara A.Samad Said pernah berpesan. Bukan kepada saya. Tetapi kepada penulis profelik terkemuka tanah air Faisal Tehrani (Labaika ya Faisal) yang berjumpa sendiri Pak Samad di Masjid Negara suatu masa dahalu. Pesan Pak Samad untuk menjadi penulis anda perlu ada lima (5) perkara:
1) Membaca
2) Membaca
3) Membaca
4) Membaca
5) Menulis
“Kalau yang kelima itu pon membaca Pak Samad?”, soal Faisal Tehrani atau nama sebenarnya Haji Mohd Faisal b Haji Musa. “Kalau yang kelima itu pun membaca kamu akan jadi pembaca sahaja. Bukan penulis”, jawab Pak Samad.
Walaupun saya tidak ada ditempat kejadian sewaktu perbualan ini terjadi dan saya juga bukan pengkagum FT, namun saya percaya 100% apa yang Faisal Tehrani sampaikan melalui pesan Pak Samad tersebut. Seorang penulis harus lebih banyak membaca daripada pembaca. Jika tidak seseorang itu akan merapu-rapu atau meraban-raban seperti seorang yang disampuk hantu jembalang tanah. Kemudian orang yang dirasuk itu pula akan dirawat oleh seorang dukun yang tinggal dihujung kampung. Ketika proses rawatan tersebut, Tok Bomoh atau Pawang ini akan juga mengguna kan bahasa-bahsa yang tidak kita fahami atau tahu dari mana asal usulnya.
Daminit nama ibumu
Kaminit nama bapa mu
Aku rantai engkau dengan rantai Muhammad
Aku rantai engkau dengan rantai Lailaha illa Allah
Jadi seorang penulis yang tidak membaca akan menyampaikan sesuatu yang hanya difahami oleh penulis tersebut sahaja. Tidak lebih dari itu.
Saya menyatakan demikian kerana ada sesetengah penulis suka bercakap perkara-perkara yang biasa. Perkara yang hanya diulang-ulang. Setiap kali menulis tidak ada suatu fikrah baru. Akal jahat saya ini akan terus melabelkan penulis jenis ini sebagai malas membaca. Lebih malang tulisan yang dihasilkan terpesong dari sudut fakta kerana bukan dari sumber dan pemahaman yang sahih.
Kadang-kadang untuk menjustifikasi apa yang ditulis itu, dia masuk kan juga beberapa ayat Quran sebagai menunjukkan beliau seorang pejuang Islam sejati tanpa sesekali cuba mencari di dalam mana-mana tafsir-tafsir mu’tabar tafsiran sesuatu ayat yang disertakan tadi. Jadi ayat itu tidak berkembang. Tidak mampu disampaikan secara ilmiah.
Saya bukan lah pakar namun sekiranya saya ingin memilih bahan bacaan saya suka penulis yang membawa sesuatu yang baru. Tidak perlu terlalu berat namun cukuplah kalau saya terbaca tulisan itu ia dapat membuat saya berfikir dan seterusnya membuat saya berminat untuk mencari bahan-bahan rujukan lain mengenai topik yang ditulis tadi. Disebabkan saya juga memiliki bahan bacaan yang terhad, maka saya fikir lebih saya tidak menulis.
Suatu ketika di dalam kelas General Principle of Law II sewaktu saya berada di Matrikulasi UIA di Petaling Jaya (saya memang rindu saat di matrik), guru saya Cik Nazirah (kami panggil Miss Naz)memulakan kelas pertama kami pada semester tersebut dengan sessi suai kenal. Setiap pelajar akan ke hadapan memperkenalkan diri masing-masing. Setiap pelajar menyatakan nama dan tempat tinggal. 2 soalan tadi tidak lah sesukar mana hendak dijawab. Kalau ditanyakan kepada adik saya,Jimi yang berumur 6 tahun itupun dia boleh jawab.
Namun soalan ketiga yang jarang-jarang ditanyakan di dalam mana-mana sessi taaruf ialah “Anda sedang baca buku apa sekarang?”. Kebetulan memang saya sedang membaca sebuah novel ketika itu. “Hadji Murat” tulisan Leo Tolstoy penulis agung yang menghasilkan magnum opusnya “War and Peace” berasal dari negara komunis Russia. Namun malang seribu kali malang saya gagal menghabiskan novel tentang pejuang pembebasan Chechnya itu . Saya akan mencari semula novel tersebut. Dan jika saya jumpa dan mampu saya khatamkan Hadji Murat,saya akan ke Yasnaya Polyana, mengambil berkat Tolstoy di kuburannya.
Bila agaknya akan ada penulis sehebat Leo Tolstoy versi negara Islam seperti Malaysia. Ooops saya lupa. Penulis Malaysia tidak gemar menulis perkara yang berat-berat terutama yang menyentuh Bung-bung besar di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Nanti tidak boleh carik makan. Ataupun masuk I.S.A. Kalau mahu cepat kaya, tulis lah mengenai 1 Malaysia,rakyat didahulukan pencapaian diutamakan atau Islam Hadhari ataupun kisah cinta-cintun picisan. Tidak ketinggalan buku-buku motibasi “Siapa mahu jadi lekas-lekas kaya” Prof. Dr. Haji Ustaz Al-Kelentongi dari Universiti Kangkong. Kepada remaja Islam dan ingin bercinta ala ala lagu Kasih kekasih In-Team ,jangan risau carilah novel-novel cinta Islam yang banyak bercambah-cambah dipasaran sekarang. Dijamin masuk syurga.
Disebabkan saya tidak mahu menulis tentang Islam Hadhari, 1 Malaysia Rakyat di dahulukan pencapaian diutamakan,atau “Siapa mahu jadi lekas kaya”,atau menganut mazhab In-team, maka saya fikir lebih baik saya tidak menulis. Saya akan biarkan penulis-penulis muda yang lain menjadi kaya dan bertambah kaya walaupun mereka itu pada hakikatnya hanya membebel dan meraban seperti dirasuk jembalang tanah.
2 comments:
adei..
sila2 menulis.
agak2nya siapa yang perlu mendidik siapa. penulis peru didik pembaca dgn tidak menghasilkan tulisan2 picisan atau pembaca perlu didik penulis dengan tidak membaca tulisan2 picisan?
ada demand adalah supplynye.
Penulis pon kene cube didik masyarakat senanye.Penulis kene ade rase tanggungjawab kenape die menulis.ha mcm cikgu jugakla.Macam dulu penulis,sasterawan,wartawan pun berjuang untuk kemerdekaan.jadi zaman pasca merdeka ni penulis kene la pulak berusaha untuk mengisi kemerdekaan itu.ha betul tak
Post a Comment