Friday, 12 June 2009

Komentar novel "Terasing"-Bahagian Satu

Pendahuluan :

Novel remaja Islamis menjadi yang trend masa kini merupakan salah satu daripada genre sastera Islam. Genre ini tidak datang dengan saja-saja.

Menurut sebuah tulisan mengenai Teori Pengkaedahan Melayu yang diperkenalkan oleh Hashim Yahya (Profesor. Dr.) antara dasar-dasar sastera Islam ialah karya yang mempunyai amanat keIslaman yang membawa slogan “sastera kerana Allah untuk manusia”. Kedua menunjukkan sifat keagamaan dimana pengarang itu sendiri memahami Islam dan dapat melahirkan keyakinan penuh terhadap Islam itu sendiri. Ketiga mempunyai nilai-nilai estetika yang bersumber keapda Al-Quran dan As-Sunnah. Keempat menggambarkan keindahan alam penciptaan Tuhan yang bertujuan menilai dan memuji ke Agungan-Nya. Dan dasar terakhir penulisan itu harus menimbulkan kesan positif kepada pembaca itu sendiri. Antara contoh penulisan Novel-novel yang didasari sastera Islam ialah seperti Julia, Cinta Madinah, Ayat-ayat Cinta Ketika Cinta Bertasbih. Novel-novel ini menjadi alternatif kepada lambakan novel-novel cinta murahan yang selalunya dilatari oleh percintaan remaja yang menyimpang dari syariat dan tatasusila adab ketimuran serta dipenuhi oleh budaya hedonism yang membejat .

Novel seharusnya menjadi bahan bacaan yang bukan sahaja boleh dijual kerana mutunya sewajibnya juga membawa nilai-nilai moral dan akhlaqul karimah yang akan membawa pembaca sedar dan melakukan perkara yang betul. Terasing dilihat cuba memenuhi dasar-dasar sastera Islam itu sendiri. Saudara Langit Ilahi membawa unsur-unsur dan fikrah Islam yang sarat sepanjang novel ini.

Dari hal “Terasing”.

Perwatakan.

Terasing membawa watak-watak protagonist dan antagonis yang pelbagai ragam. Watak Saifullah Jr (bagi membezakan dengan abang iparnya Saifullah senior) selaku watak utama digambarkan sebagai watak yang perfect tidak keterlaluan dikatakan terlalu perfect. Selaku seorang bekas pelajar sekolah agama yang melanjutkan pelajaran ke Jordan, Saif bertugas sebagai seorang pensyarah kanan di sebuah pusat pengajian tinggi. mempunyai segala-galanya . Rumah yang besar, isteri yang cantik, anak-anak yang baik, gaji yang banyak, kereta yang besar. Agak mustahil mencari ketidak sempurnaan Saif. Dalam masa sebelas tahun sahaja beliau sudah memperolehi gaji sebanyak RM 10,000 dan memandu Mercedes Brabus namun hanya memakai telefon bimbit N-Gage. Mempunyai fikrah Islami namun sedikit sinis terhadap permasalahan kecil seperti pemakaian jeans.

(Sebab itulah, bila pertama kali bertemu dengannya dengan pakaian jean serba hitam, membuatkan aku hampir mempunyai perasaan kurang senang kepadanya. Ms 76/b 13)

Terkadang timbul lawak-lawak yang tidak menggambarkan perwatakan intelektual seorang pensyarah

(Atikah mencemikkan muka. “ Abang berdua ni kan, memang la. Kalau tak sakat orang tak boleh ya? Mana aci, dua-dua suka sangat menyakat Ika. Ini dah masuk kes buli tau”. “ Sayang, aci kat India la” Aku menambah hangat.ms 13/b 5)

(“ Jalan baik-baik ayah!” Faizan berpesan separuh jerit.Ketika itu, kereta sudah bergerak sedikit meninggalkan mereka. Aku mengeluarkan tangan, menunjukkan tanda ‘peace’ dan menjerit dari dalam kereta,“ Ayah pandu kereta lah, bukannya jalan kaki!”ms 29/b 3)

Seorang pengamal ilmu mempertahankan diri lagak pendekar tetapi mempunyai hati yang lembut dan mudah menangis.

(Itulah yang tertulis. Hatiku remuk. Air mata yang sedari tadi kutahan-tahan, akhirnya mengalir juga. Aku benar-benar tidak mampu bertenang secara sempurna. Sudahlah Zaman, seorang sahabat yang dikasihi, dicintai, rupanya merupakan seorang penjenayah yang dikehendaki. Kini isteri dan anak-anak pula terlibat sama.ms 98/b1)

Seterusnya Tengku Atikah bt Tengku Muhammad, isteri kepada Saifullah. Bersekolah bersama dengan Saifullah. Seorang pengawas yang garang namun lemam lentok dan manja sesudah kahwin. Wataknya penuh sabar dan cuba sedaya upaya menjadi isteri yang solehah dan ibu mithali. Bekerja sebagai seorang peguam lulusan UIA. Sering sibuk naik turun mahkamah namun sempat pula pulang ke rumah menyediakan makan tengahari untuk keluarga . Satu idaman setiap peguam.

Tengku Saifullah Al-Maslul bin Tengku Muhammad, abang kepada Atikah dan ipar kepada Saifullah. Seorang pengurus Syarikat Tuju yang pada asalnya merupakan sebuah syarikat penerbitan, membuka restoran dan Rumah Anak yatim. Sering memberi nasihat, ingatan dan semangat kepada adik dan iparnya.

Kak Wardah. Isteri kepada Tengku Saifullah. Juga bersifat seperti Atikah. Sabar dan taat dalam mendidik anak-anak danmembantu suami mengusukan rumah tangga.

Amiri adik tengku Saifullah, abang Atikah dan ipar Saif. Seorang anggota ketua pasukan keselamatan elit negara di kenali sebagai SGE. Tegas dan bertanggungjawab dalam kerja.

Soleha, isteri Amiri. Hanya sedikit diceritakan di hujung novel.

Watak-watak lain seperti anak-anak Saif dan Atikah, Suraish, Waqas dan Faizan. Anak Saifullah Sr. dan Wardah,Syuwaikh.

Watak Kamaruzzaman atau Zaman pada asalnya luhur serta menjadi contoh kepada Saifullah. Namun terjebak dengan kumpulan kongsi gelap Yakuza dek kerana cintanya ditolak Atikah. Seorang yakuza yang paling lembik. Zaman menjadi orang harapan kepada Khairul Anuar, juga rakan sekolah mereka (MATRA) namun merupakan pelajar bermasalah dan dimusuhi Zaman dan SAifullah. Sering membuli pelajar lain, mengedar dadah dan vcd lucah seterusnya menjadi ketua kepada kongsi gelap Homurodama. Terlibat dengan penyeludupan senjata api, rompakan bersenjata dan peras ugut.

Tema.

Terasing membawa tema persaudaraan Islam (Ukhwah Islamiah) yang utuh antara seorang sahabat dengan sahabatnya yag lain. Persaudaraan ini dilakarkan dengan hubungan akrab Saifullah dan Zaman sejak dari bangku sekolah dan mereka saling sayang-menyayangi dan mengaharap titpan doa agar terus dijalan yang betul.

(“ Janji pada aku dua perkara” Zaman mengepal penumbuk dan mendekatkannya pada dada kiriku.“ Pertama, ingati aku dalam setiap doamu”Hati aku tiba-tiba rasa sebak. Sinaran mata Zaman, dan sentuhannya kepadaku membuatkan aku terasa seperti dia sedang meluahkan satu harapan yang teramat besar kepadaku.“ Kedua?”Zaman menarik nafas sebentar. “ Kedua, kalau aku jatuh, hulurkanlah tanganmu kepadaku, bila aku bengkok, kau luruskanlah aku”m/s 4 b25)

Cinta juga melatari novel dimana kasih sayang antara suami dan isteri ditunjukkan sebagai kasih sayang yang absalut. Saifullah amat menyayangi Atikah begitu juga sebaliknya. Persekitaran cinta itu tidak dihad kan kepada satu dua keadaan sahaja. Perasaan itu dibiar memugar dalam keluarga mereka dan dipertonton kepada anak-anak. Ini penting kerana si bapa haruslah menunjukkan kepada anak-anaknya siapa yg patut mereka sayang (ibu mereka dan sesudah berkeluarga isteri-isteri mereka). Namun kadang kala tema di tonjol terlebih-lebih sehingga membuatkan pembaca berasa lemas dan bosan kerana pengngulangan dialog dan adegan yang meleret-leret.

Tema kekeluargaan menjadi isi novel ini juga dan seolah-olah hanya keluarga ini sahaja yang menjadi watak-watak utama dalam terasing. Terasing adalah keluarga Saifullah dan keluarga Saifullah adalah Terasing. Sementalahan Saifullah dan ipar duainya sahaja yang mempunyai jawatan yang penting-penting sepanjang novel ini(i.e. pensyarah kanan, peguam yang berkawan dengan Peguam Negara, ketua pasukan elit, pemilik syarikat dan orang kaya)

Teras kepada terasing merupakan da’wah dimana setiap tindak tanduk watak-wataknya pasti akan dikaitkan dengan da’wah. Walaupun terkadang tema ini disurahkan dengan begitu panjang lebar namun tidak punya isi-isi yang mantap dan berbentuk lebih ilmiah.

Plot.

Peringkat pendakian cerita.

Novel ini dimuqadimahkan dengan bentuk prolog dimana cerita Saifullah dan Zaman bermula sejak dari bangku sekolah lagi. Mereka sudah berjanji akan menjadi sahabat sehingga bila-bila dan akan membantu satu sama lain selagi mampu. Selepas beberapa tahun melanjutkan pelajaran Saifullah terputus hubungan dengan Zaman. Pelbagai persoalan timbul sehingga Saifullah bermimpi semula akan janj-janjinya terhadap Zaman. Kemudian cerita berterusan dengan babak-babak bahagia keluarga Saifullah sehingga babak cubaan bunuh Saifullah.

Klimaks.

Puncak penceritaan novel ini bagi saya bermula lewat adegan pertempuran antara Khairul Anuar, Zaman,Amiri dan Saifullah. Pada peringkat ini saya berasa sedikit bosan kerana sekali lagi babak ini sengaja dipanjang panjangkan. Selaku seorang ketua kongsi gelap yang ‘berprestij’ takkan teragak-agak membunuh. Mereka pastinya sudah terlatih untuk mempunyai hati yang cukup kering dan tak kan terbawa-bawa dengan kata-kata mangsa serta teragak-agak dalam bertindak. Babak bergaduhan ini dicerita sepenuhnya dalam 2 bab iaitu bab 10 dan 11. Ketika ini lha segala-galanya terzahir dan siapa sebenarnya yang berselindung di sebalik Homurodama.

Peleraian.

Setelah tahap klimaks, novel ini mengalir ke tahap peleraian dengan tertumpasnya Khairul Anuar dek tangan Zaman sendiri. Segala-galanya telah selesai dan terjawab dimana pihak SEG sendiri telah memecahkan kod cip komputer milik Homurodama. Zaman juga digugurkan daripada semua pertuduhan kerana bekerjasama dengan pihak pasukan keselamatan. Berlaku beberapa kejadian yang agak pelik dimana amat mudah kes ini dipadamkan dari rekod sedangkan Zaman pernah terlibat dengan banyak kes berat. Sekurang-kurangnya Zaman perlulah disabitkan dengan beberapa kesalahan lain bagi tidak menimbulkan syak terhadap kes ini. Namun Zaman terus bebas dan boleh melawat sekolahnya semula sempena majlis alumni.

Penutup.

Mereka sekeluarga gembira kerana semuanya selamat dan kehidupan kembali sperti sedia kala. Novel di sudahi dengan epilog kenangan malam pertama Saifullah dengan Atikah. Usaha yang berani oleh Langit Ilahi tetapi tidak terlalu terperinci mungkin kerana menjaga batas-batas khalayak pembaca.

Latar tempat.

Secara umumnya novel ini berkisar sekitar beberapa tempat yang dinyatakan secara jelas dan tidak jelas. Satu di utara di mana tempat persekolahan semua watak dalam novel ini iaitu MATRA. Negara Jordan juga dinyatakan tempat belajar Saifullah ketika universiti serta bebrapa tempat lain seperti Petra. Kemudian Jepun tempat Saifullah sekeluarga bercuti. Hanya dua tempat dinyatakan secara jelas iaitu Nagano dan Tokyo. Kemudian kawasan sekitar Johor tempat Saifullah sekeluarga tinggal dan bekerja. Teluk Danga ternyata signifikan bagi menggambarkan Johor dan hanya itu sahaja tempat yang dinyatakan.

Latar masa.

Masa tidak dinyatakan dengan begitu jelas tetapi secara umumnya boleh difahami berlaku sekitar hujung 90 an dan ke atas.

Gaya bahasa.

Bahasa formal dan tidak formal di gunakan dalam cerita ini. Namun kebanyakannya formal. Ayat-ayat al-Quran juga diselitkan setiap kali ada perkara yang signifikan berlaku. Langit ilahi dilihat cuba bermain-main dengan bahasa dan dilenggang-lenggok kan dam bentuk falsafah.

(Mungkin sebahagian manusia akan menyatakan itu satu propaganda. Memang, aku sendiri tidak mempercayai bahawa kejadian itu didalangi oleh orang ISLAM. Malah, kalau orang ISLAM sendiri yang melakukan, aku percaya bahawa mereka adalah orang ISLAM yang telah dibeli oleh pihak-pihak tertentu. Tetapi, kerosakan ummat ISLAM itu sendiri bukan satu propaganda. diselitkan. Ms 79 baris akhir)

Ada juga frasa yang tidak begitu saya fahami maksudnya sepntas lalu namun sebenarnya unsur paradoks cuba diselitkan

(“ Aku sahabat kau. Tapi kau lakukan aku sebegini” Aku menunjuk ke bumi. Rasa kecewa yang menggunung tinggi. Ms 108 b-17)

No comments: