Tuesday, 3 February 2009

Jangan Bunuh Bahasa Ibunda








Ini bukan niat nak masuk jawi bagi cina muallaf yang baru masuk Melayu. Bukan juga larangan di dinding-dinding masjid atau pinggir-pinggir jalan menuju ke kebun bunga. Ini adalah kata-kata hikmah dan amaran seorang penulis muda, seniman jalanan sejati tak mengharap walau sekupang pun dari bapak menteri, Rahmat Haron.

Tempoh hari di ibu kota berlangsung pelancaran Gerakan Mansuh Program Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP). Gerakan utuh mencabar dasar bangsat kerajaan memaksa anak-anak bangsa Malaysia belajar Sains dan Matematik dalam lidah penjajah. Program bermula tepat jam 3 petang. Seawal jam 2.00, sudah mula berkumpul di dataran Sogo. Hujan lebat turun mencurah semahu-mahunya namun merenyai sebaik program hendak dimulai. Kelibat pejuang-pencinta bahasa muncul seorang-demi seorang. Antara yang awal-awal tiba ialah Ainon Mohamad, Dr Abdullah Hassan, Dr Shahrir Md Zain dan Dato’ Hassan Ahmad. Pak Samad hadir lewat sedikit. Diikuti Khalid Salleh dan Pyan Habib. Para wartawan, penulis juga aktivis politik juga mula terpacul ketika hampir program hendak dimulai.





Hadir bersama beberapa orang teman, kami mula sedari kelibat siput-siput babi (SB) memesang mata dan telinga berlagak selamba dan seperti biasa kalau tak kena cara bila-bila masa akan menjadi alat pencetus rusuh. Namun syukur tiada sebarang perkara bodoh berlaku.

Tepat jam 3.00 petang acara pun bermula. Gerakan dilancarkan dengan pengumuman road-show satu semenanjung dan kemuncaknya pada 7 Mac 2009 di hadapan Istana Negara. Pengurusi GMP, Dato’ Hassan Ahmad juga sempat menjawab beberapa soalan daripada pihak wartawan. Suka di ingatkan program petang Sabtu lalu bukanlah program kemuncak kepada gerakan ini namun hanyalah upacara buka gelanggang sebelum sesi penerangan seluruh negara dimulakan.



Seawal jam 3.30 petang program selesai. Cukup ringkas dan padat. Tidak ada ceramah, tidak ada pekikan tidak ada gas pemedih mata. Ini hanya permulaan. Pelancaran gerakan menentang dasar bangang kerajaan Barisan Nasional. Khalas. Selepas pelancaran masing-masing bersantai-santai di kedai kopi di sebelah pintu masuk Sogo. Mungkin Polis juga terpinga-pinga dengan pelancaran yang sekilas ikan di air lagaknya ini. Mungkin sudah terbayang ada yang akan makan belantan. Atau kenyang menelan gas. Namun sekelumit pun tidak tersentuh para peserta pra-demonstrasi ini.





Saya bersama teman-teman mengedar risalah program. Terdetik juga sedih di hati apabila terdapat beberapa kerat manusia berkulit sawa matang yang kami yakin bangsanya Melayu seolah mencemuh usaha mengembalikan nilai sebenar bahasa ibunda ini. Seorang penjaja kaedah matematik yang biasa mindar-mundar di tengah kota (orang Melayu juga) separuh melaung, menghala kan pembesar suara memperkecilkan Gerakan Mansuh PPSMI ini. Walhal, kaum lain yang membanjiri kawasan ibu kota saat itu kalaupun tidak terlibat dengan GMP tidak pun memperlekehkan usaha ini.





Sehingga jam 5.00 petang, risalah-risalah program masih berbaki. Para petugas berbaju biru masih setia menunggu kami di kaki lima. Kira-kira jam 5.30, kami pun mula beredar untuk pulang. Petang Sabtu di ibukota akan di kenang sampai keliang.

foto ihsan Mohd Sayuti Omar

No comments: