Maka bertebaran lah puing-puing angin yang busuk lagi meloyakan keseluruh negeri Perak. Puing-puing ini berterbangan dan merebakkan bau yang amat kurang senang, busuk dan membusukkan. Sekalian rakyat pun bertanya-tanya dari manakah datangnya bau yang amat busuk dan meloyakan ini. Dari Bukit Chandan kah? Dari Jalan Kuala Kangsar kah? Yang pasti bukan dari Jalan Raja Di Hilir. Oh ya. Sudah semalaman rakyat berkampung di jalan Raja Di Hilir, bersama memanda Menteri Besar yang sah menunggu dan mencari punca puing-puing yang busuk lagi meloyakkan ini.
Syahadan gemparlah seluruh rakyat jelata apabila tersebar pula khabar berita ada hamba sahaya pecacai najis telah hilang dari istana. Maka tahulah rakyat puing-puing angin busuk itu datang dari jamban istana adanya. Rakyat merasa susah hati kerana jika tiada pecacai ini siapa pula yang akan mencuci najis yang sudah sedia membusuk di jamban istana itu. Bertambah gempar rakyat jelata apabila mendapat tahu bukan seorang, bukan juga dua tapi 4 orang pecacai telah hilang. Semakin peninglah kepala rakyat jelata dek kerna tidak menahan bau yang semakin membusung di hidung itu.
Khabarnya hamba sahaya yang baru sahaja di bebaskan pun hilang juga kerna kununnya ingin menjadi pecacai semula. Ada pecacai yang merajuk kerana khabarnya pihak istana tidak membeli cawat baru kepadanya manakala memberi sahaja cawat yang lama yang sudah masam dan berdaki. Maka merajuklah pecacai ini dan lari mencari batu betangkup. Dua lagi pecacai yang hilang itu kini sedang berenak-enak bersemenda dengan anak gadis dari negeri China. Di mana lubang sembunyi pecacai-pecacai ini tidaklah diketahui oleh rakyat jelata mahupun Menteri Besar.
Sudah lebih sepekan pecacai-pecacai ini menghilang diri. Bau-bau busuk masih jugak tidak hilang. Semakin pusing kepala rakyat, semakin runsing kepala Menteri Besar. Mahu diberitahu Dato’ Temenggong, orang-orang Dato’ Temenggong masih berpeluh-peluh mencari musang berjanggut. Maka rakyat pun bersabar lah di teratak Menteri Besar mencari buah fikiran apa jalan boleh menyahkan bau busuk ini.
Syahadan, dengan tidak semena-mena muncul lah gerombolan Raja Lanun melabuhkan kapal di Kuala Sungai Perak dengan membawa pecacai-pecacai istana yang hilang sepekan sudah. Mereka bukan lah hilang tapi di sembunyi oleh Raja Lanun dan gerombolannya. Pecacai-pecacai tu pun sudah berubah wajah mereka. Sudah bebaju baru lagaknya. Sudah bercawat dari sutera. Berseri-seri wajah pecacai sehingga rakat jelata pun hamper tidak mengenal mereka. Maka adapun al-kesah lanun-lanun itu pula ada yang serupa orang dari benua keling, ada yang yang bebibir merah bak delima. Tidak diketahui dari mana asalnya Raja Lanun ini dan gerombolannya.
Maka dengan gaya gagah perkasa Raja Lanun cuba melanggar istana dan teratak Menteri Besar dengan segala kekuatan yang ada. Segala bedil dan meriam juga di tembak dengan harapan hancurlah negeri Perak dilanggar Raja Lanun dan gerombolannya. Difikirnya rakyat Perak akan alah kerana kerana bau busuk yang sengaja di tinggal kan oleh pecacai-pecacai istana itu akan memeningkan kepala rakyat jelata.
Namun Raja Lanun alpa. Rakyat Perak tidak semudah disangka. Menteri Besar pun bukan calang-calang orangnya. Pernah menuntut ilmu dari negeri atas angin. Maka keluarlah rakyat negeri Perak dengan senjata rahsia mereka. Segala panah dan lembing racun sudah di persiapkan di atas Bukit Chandan. Sementara di sepanjang Sungai Perak itu pun sudah tersedia duri-duri beracun buat mengelak serangan musuh. Gajah-gajah perang yang diternak di Hutan Belum pun bersedia melanggar gerombolan Raja Lanun.
Pahlawan merah Perak bersiap di Lembah bersembunyi di sebalik gerai-gerai rakyat menjual laksa. Pahlawan hijau Perak bersedia di kaki bukit Chandan manakala pahlawan laut Perak ada yang bersembunyi di Sayong, akan menyerang Raja Lanun dari belakang dan mengepung mereka. Sementara ibu-ibu dan anak-anak kecil bersiap di rumah sakit seandai ada rakyat jelata yang cedera. Meriam-meriam besar turut berdentum bakal memamah jasad lanun-lanun keparat.
Bertempur hebat lah rakyat Perak dengan di imamkan Menteri Besar yang menunggang gajah yang bernama Cula Si Manja Kini. Serangan datang dari depan dan belakang. Pahlawan laut menuggu sekira-kira Raja Lanun berlabuh kesemuanya maka di hentam kapal-kapal Raja Lanun. Seusai turun dari kapal, terpijak pula gerombolan lanun duri beracun yang di tanam di gigi air Sungai Perak membawa ketebing.
Lembing dan panah beracun dilepaskan berperingkat-peringkat dari bukit Chandan. Bedil dan meriam berdentum-dentam. Setibanya gerombolan di darat di hentam pula dengan Pahlawan merah yang sedia menunggu. Gemerciklah pedang-pedang dan bertikam hebat lah rakyat Perak di kuala sungai. Rakyat jelata mabuk darah. Terkia-kial lah Raja Lanun dan gerombolannya menahan serangan rakyat tanpa ada sesiapa pun yang berjaya masuk ke istana.
Bertempiaranlah lanun-lanun itu berenang di sungai melarikan diri dek kerna telah hancur kapal-kapal mereka dan ramai juga yang mati katak terbuntang di medan. Yang tidak mampu lari di jadikan hamba abdi istana menggantikan tugas-tugas pecacai yang turut sama mati buntang. Menteri Besar mengangkat pedangnya tanda berjaya dah alah lah Raja Lanun dan gerombolonnya di bumi Perak.
Monday, 9 February 2009
Al-Kesah Negeri Perak dan Gerombolan Raja Lanun
Labels:
Barisan Nasional,
Bencana,
Menteri Besar,
Perak,
Raja-raja
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment