Showing posts with label PPSMI. Show all posts
Showing posts with label PPSMI. Show all posts

Wednesday, 12 August 2009

Masih jauh perjalanan ini.


Saya penyokong tegar Gerakan Mansuh PPSMI(GMP). Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam jawatankuasa bertindak saya turut hadir dalam pelancaran gerakan tersebut dengan jemputan beberapa rakan yang terlibat secara langsung dengan GMP di hadapan SOGO di ibu kota ketika saya pulang cuti ke Malaysia bulan Januari lalu. Saya harap pihak MSD tidak memanggil saya kerana ini bukan gerakan radikal bawah tanah atau gerakan poltik atas tanah. Ini persoalan bahasa saya dalam mimpi saya dan bahasa ibunda saya.


Namun saya memang amat berdukacita kerana sewaktu demonstrasi GMP dijalankan saya sudah berada di Irbid. Perasaan sayu melihat Pak Samad pedih-pedih mata, seolah terasa sampai ke lubuk hati saya. Begini katanya cara memperjuangkan bahasa. Demnstrasi itu nampak berhasil apabia kerajaan setuju menamatkan dasar PPSMI walaupun bukan serta merta, namun berperingkat sehingga 2012. Syabas diucapkan kepada para demonstran yang sanggup turun ke jalan raya walaupun tiada nasi bungkus dan duit poket.


Apa yang menarik perhatian saya sepanjang dasar ini mula dipekenalkan sehingga dinaytakan untuk di tamatkan, muncul beberapa kumpulan atau pecahan-pecahan yang menykong dan menentang dasar berat sebelah ini.

1) Golongan yang sememangnya percaya dan tahu dasar ini membebankan rakyat, tidak praktikal dan salah dari perlaksanaannya. Mereka ini terdiri daripada golongang akademik yang membuat kajian, penyelidikan dan seterusnya mendapati dasar ini akan menghancurkan bahasa dan bangsa Melayu itu khususnya. Para sarjana dalam pelbagai bidang seperti sastera,kejuruteraan,falsafah,pendidikan, sains dan teknologi yang percaya Sains dan Matematik harus di ajar dalam bahasa Melayu tidak bercakap kosong dan melemparkan retorik semata. Malangnya, hasil kajian ini tidak dipandang sebelah mata pun oleh kerajaan.

2) Golongan aktivis. Terdiri daripada mahasiswa, anak-anak muda dari pelbagai latarbelakang pendidikan dan ideologi. Mereka ini penggerak utama gerakan untuk memansuhkan PPSMI. Mereka menganjurkan forum, perbincanag meja bulat malah berdemo menyatakan perasaan dan fikiran mereka melalui pelbagai medium. Golongan ini menyedarkan masyarakat tentang apa yang sedang berlaku pada pendidikan dalam negara yang kita cintai ini. Golongan ini juga sering dicemuh kerana tidak sebulu dengan kerajaan, senasib denan golongan pertama tadi.

3) Golongan ketiga adalah golongan yang pro PPSMI. Mereka selalunya berlatarbelakang kan pendidikan Inggeris, tinggal di kawasan-kawasan perumahan mewah. Kadangkala susah juga ingin kita mendengar walau satu perkataan Melayu pun dari mulut mereka. Sesiapa yang pernah membaca cerpen “Penyambutan” dalam antologi cerpen Sasterwan Negara Shanon Ahmad “Debu Merah” dapat memahami jenis dan perangai golongan ini. saya namakan mereka ini golongan ibu bapa yang poyo.



4) Golongan seterusnya golongan diluar pagar. Golongan anak-anak era Mahathirism. Mereka ini terdiri dari golongan para pelajar berasaskan Sains dan Matematik (Perubatan,Farmasi,Kejuruteraan dan sebagainya) sama ada penuntut universiti luar mahupun dalam negeri. Mereka ini boleh juga dikatakan bakal meggantikan ibu bapa yang poyo satu hari nanti. Mereka memndang sinis rakan-rakan mahasiswa mereka dalam GMP. Bagi mereka amat mudah belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Mengapa perlu diubah kepada Bahasa Melayu semula. Mereka merasakan apa yang diperjuang GMP hanya retorik politik yang mereka muak mengetahuinya. Bagi mereka ini 3K sudah mencukupi, Kelas,Kafe,Kolej (Asrama atau tempat tinggal). Selain dari 3K will be null and void.



5) Golongan terbawah munkin juga terbanyak dalam negara ku Malaysia adalah golongan yang tidak ambil pusing barang satu apa pun. Nak belajar Bahasa Melayu? Belajar. Nak belajar Bahasa Inggeris? Belajar. Malas belajar? Tidur. Lapar, ibu bapa masih memasak untuk ku. Buat apa pusing-pusing soal masyarakat. Janji perut kenyang sudah. Golongan harus disedarkan. Jangan mudah bersa senang dengan sekadar apa yang ada.

Saya meneliti, berbincang dan saya membuat kesimpulan.


1) Pertama GMP harus lebih kerja kuat kerana asar ini masih belum difahami oleh keseluruhan warga Malaysia kerana munculnya golongan-golongan yang tidak faham apa itu PPSMI.

2) Kalaupun dasar ini dimansuhkan pun, GMP harus pula memastikan Komponen sastera yang di ajar di sekolah-sekolah bukan mati segan hidup tak mahu. Bahas adalah inti kepada ketamadunan. Kalau Pro Syed Naquib Al-Attas sering menyatakan umat Islam kini sudah kehilangan adab maka bahasa juga adalah salah satu daripada komponen untuk adab dan peradaban itu.

3) Golongan yang masih sinis dengan GMP mulalah mencari maklumat dan fikirkan lah apa yang terbaik buan sahaja untuk perut dan tembolok sendiri. “No man is an island”. Belajar hidup bermasyarakat.

4) Kepada semua warga belajarlah untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.


Saya tidak membenci Bahasa Inggeris. “Animal Farm” dan “1984” karangan George Orwell antara novel kegemaran saya. Namun saya tidak pernah lupa “Salina” ( A.samad Said),” Debu Merah” (Shanon Ahmad), “Saudagar Besar dari Kuala Lumpur” (Keris Mas). Saya juga bukan pentaksub bahasa Inggeris. Saya merasakan warga negara Malaysia harus mengetahui lebih dari 2 bahasa. Kajian sebuah university terbuka di United kingdom mendapati dalam masa 10 tahun lagi Bahasa Inggeris akan menjadi bahasa nombor 3 terpenting sesudah Bahasa Sepanyol dan Bahasa Mandarin. Belajarlah 1000 bahasa pun. Namun pastikan kita kenal dan memahami jatidiri kita.

Thursday, 23 April 2009

Aduhai Bahasa Ku......

Masih ramai yang belum makruf dengan masalah PPSMI ini. Rata-rata yang menyokongnya adalah mereka yang terpelajar juga ataupun fanatis Mahathirism. Terasa sedih juga di hati namun saya tidak menyalahkan mereka 100%. Mereka tidak faham sebenarnya. Mungkin juga tak mahu faham.


Siapalah yang tak terasa sedih bila bahasa sendiri dihenyak-henyak. Bagai malukut di tepi gantang. Kera di hutan di susukan, anak sendiri di rumah mati kelaparan.


Di harap Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dapat memperluaskan lagi jaringan demi memberi kefahaman kepada rakyat Malaysia di dalam khasnya dan luar negara amnya. Saya akan menyentuh lagi bab ini sedikit masa lagi.

Monday, 6 April 2009

Kerana ini saya bencikan Mahathir Mohamad





Bekas Perdana Menteri Tun DR. Mahathir memang sudah sekian lama tidak pernah saya suka. Walaupun ketika pilihanraya 1995 awal pengenalan pertama saya dengan pilihanraya di Malaysia (ketika itu saya darjah 3),ketika itu lah baru bergema dalam benak fikiran saya dan perbualan orang sehari-hari tentang Mahathir, tentang Barisan Nasional, tentang Anwar dan tentang PAS. Saya yang begitu naïf ketika itu nyata tidak punya maklumat dan cerita-cerita di sebalik "Pemimpin-pemimpin Malaysia".

Walaupun saya tidak menyokong pembangkang ketika itu, saya bukanlah kanak-kanak yang di doktrin supaya 'mencintai kerajaan' sejak kecil. Walaupun Almarhum datuk saya (YM Raja Othman B. Raja Jaafar) merupakan bekas ketua bahagian UMNO Sg. Besi dan sepupunya Datuk Harun B Idris (mantan MB Selangor), dan saya selaku cucu yang paling rapat dengan beliau, tidak pernah saya diberitahu dan dihidang kan dengan segala macam keramat dan kesaktian pemimpin-pemimpin UMNO. Malah seingat saya datuk saya juga (yang meninggal pada 2001) bukanlah pengkagum Mahathir Mohamad. Tidak lah saya mengatakan yang beliau membenci Mahathir (saya tidak tahu) namun acap kali Mahathir muncul di kaca televisyen ada sahaja kritikan dari mulut datuk saya.



Pasca 1998 menguraikan segala-galanya pada saya. Semenjak hari itu, memang Mahathir semakin jauh untuk saya katakan sebagai wira, pemimpin, pemikir atau segala macam pe yang lain yang sering kali di surahkan oleh penjilat-pengampu beliau.



Ketika membaca Malaysiakini edisi Bahasa Melayu pagi ini Mahathir seolah-olah menjatuhkan lagi derajatnya sekurang-kurangnya di mata saya. Kelibat beliau yang turun berkempen bagi calon BN P59 Parlimen Bukit Gantang Ismail Saffian dikatakan sebagai pengubat duka lara penyokong UMNO yang kecewa pada PRU 12 yang lepas. Namun seperti kata pepatah sepuluh jong berlalu anjing tetap bercawat Mahathir ialah Mahathir. Malahan dalam kempen itu yang dikatakan disertai oleh 2000 penyokong UBN (TukarTiub lapor 200++ sahaja) Mahathir terus merapu, merepek dan meraban.




Sudah tentu lah yang paling sedap dizikirkannya tentang keburukan bekas timbalannya , Anwar Ibrahim tak lupa juga di selang selikan dengan cercaan ke atas calon Pakatan Rakyat Nizar Jamaluddin. Tanpa was-was soal derhaka di laung-laung kan kembali. Mungkin Mahathir mudah lupa (seperti pepatahnya juga) isu derhaka sepatutunya tak disentuh oleh beliau. Kerana bapa segala derhaka zaman moden ini seharusnya dinobatkan kepada Mahathir Mohamad kerana "jasa beliaulah krisis perlembagaa 1980-an terjadi".



Kalau ingin dibandingkan kes Nizar sembah derhaka Sultan dan Mahathir "menjunjung kasih Sultan" kita akan dapati fakta kes yang sangat-sangat berbeza. Manakan sama yang seorang menderhaka kerana marahkan Sultan lantas imuniti sultan di cabut yang seorang lagi mohon ( bukan paksa) sembah derhaka atas dasar tidak mahu berkonfrontasi dengan pihak istana dan meminta jasa baik Sultan agar keputusan diserah kembali kepada rakyat ketika pihak Istana meminta beliau (Nizar) meletakkan jawatan sebagai MB. Nizar tidak menyebabkan pihak Istana terkesan dengan tindakannya itu. Tidak juga menyebabkan berkurangnya kuasa istana.



Walaupun dari segi undang-undang tidak pernah ada dalam perlembagaan mana-mana negeri hatta Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kita harus membuta tuli menerima apa sahaja titah Istana. Tetapi inilah juga sebenarnya alasan yang digunakan Mahathir ketika krisis Kehakiman (pemecatan Tun Salleh Abbas) suatu ketika dahulu. Beliau ketika itu tiba-tiba pula meyatakan titah Agong tidak boleh dipersoal lantas tribunal yang di bentuk untuk memecat Salleh Abbas penuh dengan noda dan dosa serta dipertikai kan kelayakan hakim-hakim yang menganggotai tribunal tersebut.



Cukuplah Mahathir. Cukuplah. Ketika umur begini gunakanlah ruang waktu yang ada untuk muhasabah, muzakarah dan munajat lah banyak-banyak. Gunakan ilmu yang bersarang di dada ke jalan yang memberi manfaat kepada manusia lain. Bukankah beliau amat bangga dengan PPSMI? Buka satu institut untuk anak-anak luar bandar khasnya yang terkesan dengan polisi ini. Jadikan Malaysia pusat rujukan science and mathematics seantero donia. Bukankah lebih molek.


Mengenai hal beliau yang nampak begitu anti kan Saudara Anwar Ibrahim tidak lah berhajat saya mengulasnya dengan panjang lebar sebab sebenarnya saya cukup tahu orang yang bernama Mahathir Mohamad itu amat-amat rindukan bekas timbalannya itu hahahahahah. Begitu juga dengan senarai ratusan syarikat yang dipengerusikan anak-anak beliau Marina, Mukhriz dan Mokhzani yang tersiar dalam sebuah akhbar pembangkang suatu ketika dahulu kerna terlampau banyak. Tak terdaya saya nak menaipnya. Ini bukan tilikan penulis-penulis politik melainkan hanya idea romantik saya pada Tun Dr Mahahir A/L Mohamad sahaja.



Dengan ledakan teknologi maklumat tanpa sempadan kini seharusnya rakyat perlu lebih cekap dan teliti dalam menerima apa-apa berita dari sesiapa hatta bidadari dari langit sekali pun turun. Bukan lah menadah telinga sahaja dalam menerima apa-apa berita, qaul, hikam atau pun madah tanpa merujuk asalnya dan percaya bulat-bulat.

Monday, 9 March 2009

Sajak Tentang PPSMI


Lalu, aku sayu dan aku pilu;
lalu, aku ragu dan aku malu …

Buah ranum pada tangkai;
bahasa gugur dari hati,
sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang,
sekali pincang,
iktibar apakah semua ini?

Lalu pemimpin angkuh berkata …
Aku apa peduli
Kalaupun Shakespear turun ke bumi!

Lalu Sasterawan Negara bersumpah lagi …

Jangan berikan undi,
pada mereka yang menghina bahasa sendiri.

Jangan diundi pemimpin yang …
bertelinga satu,
berlidah dua.
(A. Samad Said - Sasterawan Negara)