Bila saya mula berjinak-jinak melabon di dalam blog ini, terdapat pelbagai tanggapan umum tentang saya. Ada yang berkata saya berpolitik. Ada yang kata saya ini pejuang Islam(walaupun saya masih kabur dengan konotasi istilah ini. Mungkin saya ini digambarkan persis pejuang Taliban atau Tabligh atau ABIM atau Jim atau apa juga badan-badan dakwah tanah air). Ada juga yang mengatakan saya ini anti kerajaan. Ada juga secara terus-terusan mengatakan saya seorang ahli PAS yang teruk.
Saya secara jujurnya dan suci hati pada malam ini menafikan semua tuduhan yang dilemparkan kepada saya ini sekeras-kerasnya.
Tuduhan pertama. Saya sedang berpolitik.
Saya bukan berpolitik kerana saya tidak mewakili mana-mana parti politik. Saya juga belum pernah menggundi dan belum mendaftar sebagai pemilih.
Hanya ahli-ahli politik termasuk wakil-wakil rakyat atau pun ahli mana-mana parti politik yang menjalankan aktiviti parti boleh berpolitik. Sekiranya saya menulis tentang politik saya hanya menyatakan pandangan saya terhadap satu-satu perkara. Tidak lebih dari itu.
Begitu juga jika saya hadir di ceramah-ceramah Pakatan Rakyat atau pun Barisan Nasional. Ini tidak membawa apa-apa konotasi saya berpolitik. Justeru tuduhan pertama ini tidak boleh disabitkan ke atas saya.
Tuduhan kedua. Saya selaku pejuang Islam.
Tuduhan ini amat berat dah sepatutnya saya letak sebagai tuduhan pertama. Sekali lagi saya ingin ajukan pemeriksaan balas, apa kah definisi pejuang Islam itu. Adakah pejuang Islam ini dicapkan kepada saya hanya kerana saya memperkatakan sesuatu menurut kadar pengetahuan saya yang cetek ini tentang Islam atau pun kerana saya terlibat dengan mana-mana badan-badan dakwah tanah air.
Tidur di Masjid Seri Petaling tidak menjadikan saya ahli Tabligh. Berjanggut tidak menjadikan saya pejuang Taliban. Berbuka puasa di rumah Pak Syeikh (orang-orang ABIM dan teman-teman PKPIM tahu siapa orang ini) tidak menjadikan saya ahli kepada dua badan aktivis ini. Nah. jadi bagaimana tuduhan ini mahu juga disabitkan kepada saya.
Bagi saya label pejuang Islam itu terlalu kudus dan tak layak untuk dilekat kan kepada saya yang hina ini.
Tuduhan ketiga. Saya anti kerajaan.
Saudara-saudara harus memahami apa yang dimaksudkan dengan kerajaan sebelum ampuh menuduh saya anti kerajaan. Memberi pendapat kepada keberobokan yang berlaku dalam sistem pemerintahan negara bukan bererti saya anti kepada kerajaan.
Jika kita sedang memandu di lorong yang betul. Shahadan ada manusia secara melulu dari arah bertentangan masuk ke lorong kita, kita bunyikan hon dan memaki sepatah dua pemandu tersebut tidak bermakna kita benci kepada kereta atau kenderaan manusia itu. Kita menyatakan pandangan kita kepada pemandu kenderaan terbabit. Bukan kerana kita bencikan kenderaan yang tidak salah satu apa pun itu.
Kita harus menerima hakikat Barisan Nasional bukan kerajaan. Mereka hanya pemandu kepada kenderaan yang diberi nama Kerajaan Malaysia yang turut sama membonceng wakil-wakil rakyat selain daripada Barisan Nasional dalam badan legistatif, ahli-ahli kabinet dari badan eksekutif dan badan kehakiman. Dan pemilik sebenar kepada kenderaan tersebut (yang diberi nama Kerajaan Malaysia) adalah seluruh warga Malaysia.
Jadi jika gaya pemanduan Barisan Nasioanal merbahaya maka wajib ditegur agar kenderaan itu tidak terbabas. Jika terbabas Ini akan menyakit hati pemilik kenderaan tersebut kerana kerosakan pada mana-mana bahagian kenderaan itu bermakna satu bentuk kerugian kepada pemilik kenderaan. Kos membaiki harus ditanggung. Begitu juga kerugian masa sepanjang kenderaan itu dibaik pulih. Siapa pun tak akan berani memandu kenderaan yang rosak apatah lagi kenderaan itu agak uzur.
Tuduhan terakhir dan teragung dari segala tuduhan adalah saya seorang ahli PAS yang teruk. Saya tidak faham sampai sekarang bagaimana tuduhan ini boleh terpacul oleh manusia yang paling rapat lebih rapat dari urat leher saya sendiri satu ketika dahulu. Sekira-kira ingin saya ketawa terguling-guling di lantai HS café ketika mendengar pertuduhan ini.
Masakan tidak saya terguling, usahkan menjadi seorang ahli, borang ahli PAS pun belum pernah saya tengok bagai mana rupa dan bentuknya. Malah saya juga tidak ingin menjadi ahli parti tersebut. Tak kan saya ingin menjadi ahli parti yang ingin mengaharamkan semua jenis konsert rock termasuk lah gig-gig walaupun gig tersebut berkisar tentang anti pembantaian Israel ke atas Palestin. Rugilah kalau diharamkan. Akan hilang lah fungsi Teratak Dangdut di Chow Kit dan Blue Planet berhampiran Jalan P.Ramlee.
Saya tak ingin menyertai mereka yang menghalang minat saya. Tak kebulur orang kata. Saya cuma terkadang agak simpati dengan PAS. Itu sahaja.
Tidak lebih daripada melihat seorang lelaki yang hampir mati pucuk yang cuba memuaskan isterinya yang muda bergetah. Segala macam akar kayu ditelan. Segala macam bomoh menelek. Namun gagal juga.
Walhal dalam dunia yang serba berinternet ini lelaki itu perlu mendapatkan nasihat pakar sakit tuan(seperti Dr. ismail Tambi) bagaimana cara-cara yang sebetulnya mengembalikan darah satrianya. Bukan percaya buta-buta dengan bomoh-bomoh minyak lintah. Ada rawatan saintifik (yang berasaskan ilmu dan pengetahuan) yang boleh diberi kepada lelaki ini.
Saya seorang yang teruk.Benar kerana saya punya seribu macam kelemahan. Begitu juga siapa-siapa pun di dalam muka bumi ini. Tiada yang sempurna. Namun tidak ada kene mengena sifat buruk saya itu dengan minat dan apa yang saya percaya tentang kehidupan ini.
Saya suka mencari dan belajar sendiri tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak. Sebab kebebasan itu hanya akan dapat kita rasa nikmatnya ketika ia sudah tiada. Saya pernah hilang kebebasan dan pernah merana. Dan kini saya kembali bebas dan saya akan cuba membuat perkara kebaikan dengan kebebasan saya ini. Para ortopedik moral jangan menyibuk. Saya akan terus melabon walau datang seribu macam tuduhan pun.
1 comment:
aku tau ko manusia jenis ape,heheheheh wahahaha hehehehe
Post a Comment