“Rakyat harus bersabar dan terus menyokong kerajaan. Ini perkara wajib. Kerna kerajaan telah banyak berkorban untuk kemaslahatan rakyat. Rakyat harus terus diam dan jangan melawan”. Pak menteri menanggal kan kaca mata dan sapu tangan merah hati di keluarkan dari poket bajunya. Dewan P, Kampung Hulu senyap sebentar bagai kampong itu baharu sahaja di langgar garuda besar. Sebatang pen dari bawah tempat rakyat berhimpit-himpit jatuh dan bunyi jelas bergema dek kerna kesunyian yang bukan dibuat-buat itu. Kaca mata pak menteri dikenakan kembali di atas batang hidung nya yang mancung bak seludang itu. Nafasnya di tarik dalam-dalam. “Seperti mana yang kita semua tahu, parti-parti lain selain kerajaan tidak langsung memikirkan rakyat-rakyat sekalian. Hanya tahu menabur janji yang seratus peratus bohong dan dusta”. “Betul tu”. Jerit seorang anak muda bertopi biru dari bawah. “Mereka tu bukan tahu apa. Mereka bukan tahu pasal ekonomi. Mereka bukan tahu pasal politik. Mereka bodoh tuan-tuan. Mereka jahil. Silap-silap jika kita terus menyokong mereka alamat nasib kita sama lah macam rakyat Iraq”. Menggeleng seorang pakcik tua berbaju batik. Entah kerana khusyuk dengan ceramah ni atau kerana mengenang kan nasib rakyat Iraq yang hari-hari ditimpa bom sebesar guni baja di bawah rumah.
“Kalau tuan-tuan pilih kerajaan, saya jamin tuan-tuan akan hidup senang. Tuan-tuan akan terus mendapat baja. Kampong tuan-tuan ini akan ditar sehingga kepintu rumah. Surau tuan-tuan akan di beri peruntukan baru untuk kerja-kerja mengecat tak kurang seribu ringgit. Ini janji saya tuan”.Rakyat hanya mengangguk. Imam tua kampung pun turut sama mengangguk. Mungkin cantik lah surau lepas ni bercat baru. Cat yang lama sudah turun warnanya. Seingat beliau cat yang digunakan untuk surau dulu tu pun pak menteri ni yang bagi. Di wakilkan kepada ketua cawangan kampung ni 18 tahun sudah. Memang elok sangat di cat baru. 5 tahun sudah ada juga terdengar cerita dapat cat baru tapi katanya tak sempat di bawa ke surau sebab ketua cawangan guna sedikit buat dapur barunya. Selepas tu cerita cat baru lenyap begitu sahaja. Namun imam tua buat-buat lupa sebab mahu menyambung dengar ucapan pak menteri.
“Tuan-tuan mesti ingat kalau tuan-tuan pilih selain kerajaan, habislah negara ni. Negeri ni akan terjual kebangsa lain. Mereka tu bukan Islam tuan-tuan. Kerajaan ni sahaja yang Islam” sambung lagi pak menteri sambil membetulkan songkok baldu tebal 3 ¼ inci tinggi buatan Jalan Masjid Keling di ibu kota itu. Terbayang ketua kampung kalau negeri Islam ini dapat ke bangsa lain. Mahu silap-silap disuruh pulak makan babi yang haram tu. Kalau di suruh meneguk air kuning berbusar bercap sauh kapal sanggup lagi. Itu minuman hariannya waktu dalam askar dulu. Walaupun kedua-dua nya sama haram, belum sanggup lagi ketua kampung tu menjamah daging kerbau pendek itu. Menelan air ludah ketua kampung menahan geli geleman membayangkan binatang tak berleher itu.
Pak menteri menyambung lagi. Kali ini agaknya luar biasa kuatnya suara pak menteri tak seperti mula-mula berceramah tadi. “Cuba tuan-tuan fikirkan kan kalaulah tuan-tuan tak memilih kerajaan yang ada sekarang, nasib tuan-tuan akan di serahkan kepada barat. Barat akan mengintai-intai kita dan mengawal kita dari jauh. Azan tak boleh nak kuat-kuat lagi. Ceramah-ceramah agama akan di haramkan. Silap-silap surau pun akan dirobohkan macam Melaka dilanggar feringggi dulu. Habis masjid-masjid di Melaka tu kene roboh tuan-tuan. Kubur-kubur lama di bongkar di ambil nesan nya buat bina kota. Tiang-tiang seri di buat kayu api, perempuan-perempuan Melayu habis dikerjakan benggali putih tu. Hancur kita tuan-tuan hancur”.tegasnya lagi bukan main-main.
“Jadi saya menyeru tuan-tuan terus mengundi kerajaan. Jangan percaya parti lain. Parti kita bagus dan memperjuangkan nasib orang kita tuan-tuan. Nanti selepas ini kalau menang saya akan datang kampung tuan-tuan tiap malam jumaat. Kita buat kenduri dan baca Qulhu.
Orang kampung menepuk tangan sebaik pak menteri menyudahkan ucapannya. Pak menteri bersalam dengan orang di atas pentas. Dua tiga orang kampung juga kelihatan menghulur tangan kepada pak menteri. yang lain tidak.Entah kerana sudah bosan dengan ucapan itu dan menunggu jamuan nasi kuning yang dari tadi merasuk perut. Bukankah Pak menteri datang nak menyelamatkan kita agar kampung kita tak tergadai, bukankah Negara kita aman damai kerana pak menteri menjaga kita. Bukankah……dalam kabut manusia menderu ke bawah khemah, termenung seorang ibu beranak tujuh yang telah sepuluh tahun hilang suaminya. Di kendong anaknya yang tertidur dek kerna lama sangat ucapan Pak menteri tadi. Di bawa anak nya yang kecil sekali itu menuju ke khemah jamuan sambil mengeluarkan kan plastik merah dari buntil kainnya. Dia sedar dia datang malam ni bukan kerana percayakan pak menteri.Sudah galak benar orang-orang besar bersyarah di Kampung Hulu ni dari dulu. Tapi dia terpaksa. Dia datang kerana perutnnya dan perut anak-anaknya sudah meragam meminta makan sedang dirumahnya tong berasnya sudah lama tidak berisi. Gobok lauknya hanya penuh dengan sawang dan lipas beraja. Dia sedar kampungnya yang jauh sekali dari pandangan mata orang apatah lagi mata pak menteri yang datang kemari hanya ketika menjelangnya pilihan raya tak boleh berubah. Dia sedar dan ramai orang kampung nya pun sedar. Kampungnya akan terus bangsat di di hinggap kemiskinan. Sepanjang kampungya di bawah parti pak menteri, tak beranjak sedikit pun walau seinci nasib nya dan nasib orang-orang kampung. Yang mengipas akan terus mengipas, yang menjilat akan terus menjilat, yang barua akan terus jadi barua. Dia tahu dia orang tiada. Tapi jiwanya bukan berharga sehelai kain batik.Dan kali ini dia nekad. Orang-orang kampung juga nekad mereka tahu mereka tak mahu di patuk sial lagi. Mereka tahu Pak Menteri menipu lagi.
Thursday, 6 November 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment