Showing posts with label Dunia. Show all posts
Showing posts with label Dunia. Show all posts

Thursday, 7 May 2009

Maka matilah demokrasi di Perak


Maka matilah demokrasi di negeri Perak

Tubuhnya terbujur kaku di kaki istana

Tiada bertutup tiada berkapan

Dihina dinista tiada bersopan



Mukanya penuh dengan air ludah kering

Dari mulut juak-juak yang mabuk harta dan kuasa

Tangan dan kaki dibelenggu dengan rantai emas bukan tulen

Ditendang rusuk mudanya atas nama Raja dan istana



Kerna tiada menahan lagi akan rakyat jelata dengan nasib sang demokrasi mulia

Maka jasad yang terbujur kaku itu pun ditandu semula

Di arak keliling negeri bagi dilihat oleh anak muda dan pak tua

Ini nasibmu jika terus medokong murka



Rakyat jelata enggan diam dan membuta

Perkara haram ini tidak boleh dibiar berkuasa

Haram dan jadah tampuk dipegang

Sudah mengidam harta dan lenang


Sang demokrasi akan dipuja dan dimantera

Tika bulan penuh nanti akan dihidup semula

Biar semangat dan roh marhaen meresap semula

Biar hidup bersendi adil, bertulang saksama

Thursday, 2 April 2009

Gila-gila dan saya




Malam ni sewaktu Najib sudah berkira-kira untuk melangkah ke Pejabat Perdana Menteri, ketika Nizar sedang ligat di Bukit Gantang saya berehat depan laptop. Ke sana ke sini saya masuk. Jumpa lah satu blog pasal majalah satira no 1 dalam Malaysia. Tak lain dan tak bukan 'Gila-gila'(GG). Saya punya pengalaman yang romantik dengan (GG). Sekitar berumur 5 tahun GG merupakan antara komik yang wajib berada di rumah saya kerana ayah saya antara pelanggan setia komik ini sejak dari usia mudanya juga.




Komik yang berkonsepkan 'Mad' gaya Malaysia ini sering menggeletek jiwa saya dan komik ini tak pernah kekeringan idea dalam menyajikan isu-isu semasa, satira politik dunia dan tanah air dengan gayanya tersendiri. Saya pandai membaca pun kerana GG. Saya sering meminta ibu bacakan GG ketika kecil (kerana belum pandai membaca). Sampai satu masa saya disindir ibu, "Kalau nak baca GG belajar la membaca". Saya pun tidak ingat bilakah saya mula mengenal huruf dan ayat. Namun tak dapat dinafikan GG lah cinta hati saya yang pertama dalam membaca. Malah album pertama GG (Gila-gila Hits) dan album keduanya turut saya beli dengan duti raya yang kami kumpulkan adik-beradik.






Pendekar Jaki dan Jaki Jipang (karya Asan), Sembang-sembang (Nuds), Manjalong (Cik Li), Liza (Zunar), Meor vs Ibrahim (Imuda) tulisan-tulisan Wak Samad (A.Samad Ismail) antara ruangan-ruangan yang saya minati. Kartun-kartun lain lukisan Pak Jab (Rejabhad), Kerengge, Lee Inas, Zainal Buang Hussein, Ambo dan ramai lagi kartunis lain sentiasa mekar dan segar idea mereka dalam berkarya.




GG tidak menghidangkan lawak-lawak bangsat, murah ataupun kering dari idea dan mesej. Sindiran atau pojokan terhadap sesetengah perihal masyarakat Malaysia khasnya dan dunia amnya seringkali menjadikan GG sebuah komik yang utuh berprinsip dan bermaruah. Jiwa tempatannya juga membat kan kita seolah-olah berada di tengah masyarakat sewaktu membaca nya. Karya Amir Astar (Koleksi Shah-Shahwati) turut saya bawa ke bumi Jordan ini buat oleh-oleh merehat otak.




Saya akui, tidak semua anak muda yang boleh menerima GG. Mereka mungkin lebih senang dengan budaya 'Manga' melalui komik-komik dan kartun dari luar. Namun seperti yang saya katakan tadi GG punya identitinya tersendiri dan adunan ciri-ciri tempatan dan global yang ada dalam GG itulah yang menjadi rencah, perasa dan bahan utama dalam GG.


Sesudah mejangkau 31 tahun nyata GG tak lekang dek hujan dan tak lapuk dek panas. Hampir terlupa saya ingin mengucapkan selamat hari ulang tahun pada 1 April yang lalu. Salut Gila-Gila. Salut.